Browsing Tag

Zikir sepanjang Ramadan

Zikir sepanjang Ramadan
Ibadah,

Amalkan zikir ini sepanjang Ramadan dan waktu terbaik untuk dibaca

Amalkan zikir ini sepanjang Ramadan dan waktu terbaik untuk dibaca

RAMADAN sememangnya menjadi bulan untuk kita menyulam ibadah. Alunan zikir merupakan salah satu daripada amalan yang dituntut.

Perbuatan mulia itu pasti ada nilai di sisi ALLAH SWT. Lebih-lebih lagi ungkapan suci itu banyak meniti pada bibir kita dalam bulan teragung itu.

Menerusi kitabullah, ALLAH SWT mengingatkan hamba-NYA supaya sentiasa berzikir mengingati-NYA. Renungilah sedalam-dalamnya ayat 17, Surah Ali ‘Imran: “…Dan orang yang memohon keampunan pada waktu sebelum fajar.”

Dalam ayat lain, ALLAH SWT berfirman: “Dan pada akhir malam mereka memohon keampunan kepada ALLAH.” (Surah al-Dzariyat, ayat 18)

Melihat dua bait kalamullah tersebut, pendakwah Ustaz Mustafar Mohd Suki menjelaskan, zikir yang paling terbaik adalah istighfar dengan lafaz astaghfirullahal ‘azim pada waktu sahur iaitu pagi.

USTAZ MUSTAFAR

Baca juga Boleh amalkan zikir daripada ulama dan salafussoleh, tapi pastikan tiada elemen-elemen yang dilarang syarak

“Ia sebenarnya sebagai pembuka lembaran hari yang baharu, di samping kita beristighfar atau mengungkapkan kalimah zikrullah itu supaya ALLAH SWT mengampunkan segala kekurangan kita dalam ibadah (yang dikerjakan) pada malam sebelumnya.

“Barangkali kita ada membaca al-Quran, berzikir, menunaikan solat tarawih dan seumpamanya. Mungkin ada sedikit sifat takabbur, riak, sum’ah dan sebagainya. Semoga ALLAH tutup kekurangan yang ada,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Agamawan itu turut berkongsi satu lagi zikir yang boleh diamalkan sepanjang Ramadan terutama pada 10 malam terakhir bulan mulia tersebut.

Zikir yang dimaksudkan adalah Allahumma innaka afuwwun, tuhibbul afwa fa’fu anni (Ya ALLAH, sesungguhnya ENGKAU MAHA PEMAAF, dan suka memberi maaf, maka maafkanlah aku) yang sering dilazimkan oleh kebanyakan umat Islam.

“Ungkapan mulia itu memang ada disebutkan dalam hadis sahih Saidatina Aisyah RA riwayat Imam Muslim,” ungkapnya.

Kepada satu soalan, Ustaz Mustafar menjawab: “Dalam hadis ataupun sunnah, tidak disebut had bilangan tertentu berapa kali untuk melafazkan astaghfirullahal ‘azim, Allahumma innaka afuwwun karim tuhibbul ‘afwa fa’ fu anni dan sebagainya.

“Namun begitu, sebagai usaha untuk istiqamah, tiada masalah untuk kita secara peribadinya menetapkan had bacaan itu sendiri. Misalnya 100 kali atau 200 kali.

Baca juga Zikir yang memenatkan 70 malaikat mencatatnya “Jazallahu Anna Sayyidina Muhammadan….”

“Bagaimanapun, tak boleh kita sebarkannya (kepada orang lain) dan kata ia mesti dibaca 100 atau 200 kali.”

Tidak dinafikan ramai yang suka kongsikan lafaz zikir untuk diamalkan sepanjang Ramadan di media sosial masing-masing. Adakalanya zikrullah berkenaan begitu asing bunyinya pada pendengaran kita.

Dalam hal itu, pendakwah tersebut memberi peringatan tegas dan bernilai buat kita.

Utamakan zikir daripada al-Quran, hadis

Jelas beliau, sebaiknya pastikan bait-bait zikrullah yang dititipkan itu datang dari sumber yang tsabit dan sahih daripada Nabi Muhammad SAW.

“Ketahuilah, amalan zikir tidak boleh direka-reka ataupun dicedok daripada sumber yang tidak pasti atau diragui,” pesannya.

Dalam hal itu, Rasulullah SAW pernah memberi amaran supaya tidak berdusta atas namanya. Baginda SAW bersabda: “Barang siapa yang berdusta di atas namaku dengan sengaja, maka siaplah tempatnya di dalam neraka.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Tilik ayat al-Quran sesuka hati, neraka harganya!

Aisyah RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Barang siapa mengada-ngadakan sesuatu yang baru dalam perkara (agama) kami, dan tidak ada (dalil) dari perkara (agama) ini, maka hal itu tertolak.” (Hadis Riwayat Muslim)

Pendek kata, ujar Ustaz Mustafar, sebaiknya kita mengutamakan amalan zikir yang datang daripada al-Quran mahupun as-Sunnah sebagaimana saranan Baginda SAW.

“Sebenarnya, terlalu banyak lafaz zikir yang diajar sebagaimana disebut dalam nas. Antaranya La ilaha illallah, Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu akbar, Subhanallahi wa bihamdihi dan Subhanallahil ‘azim.

“Ya, semua itu sewajarnya menjadi makanan harian kita untuk diamalkan secara umumnya,” ungkapnya.

Adakah waktu khusus dan terbaik untuk mengamalkan zikrullah sepanjang Ramadan ini?

Menjawab pertanyaan itu, beritahu Ustaz Mustafar, sebenarnya semua masa dalam bulan Ramadan adalah waktu terbaik.

Namun secara spesifiknya, sebagaimana disebut oleh Rasulullah SAW adalah pada sepanjang malam, ungkapnya.

“Dalam hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari, ada dinyatakan tentang ganjaran bagi mereka yang menghidupkan malam al-Qadr. Ia bermaksud mendirikan malam dengan amalan-amalan seperti solat, zikir, baca al-Quran dan sebagainya.

Zikir sepanjang Ramadan

SEMUA masa dalam bulan Ramadan adalah waktu terbaik untuk berzikir, namun secara spesifiknya seperti yang disebut oleh Rasulullah SAW, lakukanlah sepanjang malam atau ketika waktu sahur. -Foto: Unsplash

“Kemudian, waktu kedua terbaik adalah waktu sahur dan ketika masa kita berdoa,” ujarnya.

Baca juga Zikir untuk 100 kebaikan, dijauhkan 100 keburukan

Sesungguhnya, kata penceramah tersebut, terlalu banyak imbalan yang bakal diraih apabila kita beribadah dalam bulan Ramadan termasuk berzikir.

Betapa kasih dan sayangnya ALLAH SWT kepada hamba-NYA apabila memberi ganjaran berlipat kali ganda apabila beramal dalam bulan Ramadan.

Penyataan itu dikuatkan dengan hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Setiap amalan anak Adam akan digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda sehingga 700 kali ganda…” (Hadis Riwayat Muslim)

“Demikianlah kelebihan apabila kita beramal ibadah pada bulan Ramadan. Bukan itu sahaja, jika dilihat pada amalan zikir itu sendiri, memang sudah dinyatakan dengan jelas dalam banyak hadis berkenaan fadilat yang bakal diperoleh,” katanya mengakhiri perkongsian ilmunya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.