Browsing Tag

zikir amalan salafussoleh

Zikir
Isu,

Boleh amalkan zikir daripada ulama dan salafussoleh, tapi pastikan tiada elemen-elemen yang dilarang syarak

Boleh amalkan zikir daripada ulama dan salafussoleh, tapi pastikan tiada elemen-elemen yang dilarang syarak

APABILA video melibatkan ibu kepada seorang selebriti berkongsikan amalan zikir dibacanya tular baru-baru ini, ada pihak kurang bersetuju dengannya.

Lebih-lebih lagi apabila wanita tersebut menyatakan jumlah spesifik yang perlu diucapkan. Tidak boleh lebih dan kurang sedikit pun. Sebaliknya, ia mesti dalam bilangan yang dinyatakan. Titik.

Ada pihak yang mengatakan bahawa amalan tersebut tidak pernah disebut dalam mana-mana nas pun.

Meskipun demikian, zikir diamalkannya itu pula sememangnya ayat al-Quran. Boleh dikatakan, ia sering kali diucapkan dalam kehidupan umat Islam.

Dari satu sudut, tidak salah kita mengamalkannya kerana ia merupakan bait-bait kalamullah juga. Malah, kalimah itu seakan ‘wajib’ dalam memenuhi tuntutan dan rutin kita seharian.

Baca juga Kedudukan Zikir Sangat Tinggi Berbanding Amalan Lain, Tapi Ramai Yang Pandang Remeh

Apakah makna sebenar zikir dan dari mana sumbernya? Mengapakah kita perlu memahatkan langkah untuk membasahkan lidah dengan lafaz mulia berkenaan? Apakah zikir terbaik untuk diamalkan sepanjang Ramadan?

Al-Quran, as-Sunnah sumber utama

Sinar Islam Plus mendapatkan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor bagi mengulas lanjut mengenai topik berkenaan.

DR WAN SALIM

Jelas beliau, meskipun sumber utama zikir ialah al-Quran dan as-Sunnah, tetapi tiada masalah andai umat Islam melafazkan zikir-zikir yang diamalkan oleh ulama terutama kelompok salafussoleh.

Namun beliau menegaskan, ada syarat-syarat tertentu yang mesti dipenuhi.

“Asalkan lafaz zikir tersebut tidak mengandungi elemen-elemen yang terlarang seperti memohon kepada makhluk dan sebagainya.

“Satu lagi, jangan sampai meninggalkan perkara-perkara yang fardu dan wajib,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Baca juga Zikir juga dikira sebagai sedekah, ramai yang mengabaikannya

Agamawan itu menambah, ungkapan zikrullah sebenarnya boleh dibaca dengan jumlah tertentu.

“Bagaimanapun, ia tidak boleh dianggap sebagai ketentuan yang diwajibkan oleh syariat,” tegas beliau.

Menyambung hujahnya, Dr Wan Salim menjelaskan, zikir begitu digalakkan dalam Islam sama ada menerusi lidah ataupun ingatan dalam hati.

Malah, katanya, zikrullah sebenarnya mempunyai pelbagai jenis.

Pendek kata, apa sahaja yang membawa seseorang kepada mengenal ALLAH SWT dan mendekatkan diri kepada-NYA, ia sebenarnya termasuk dalam kategori zikir, ungkapnya.

Antaranya, ia termasuklah membaca al-Quran, bermunajat (merayu kepada ALLAH menerusi doa), memohon keampunan-NYA dengan istighfar, selawat Nabi dan menghadiri majlis ilmu.

Baca juga Antara baca al-Quran dan zikir, mana satu yang lebih afdal…

“Semua itu merupakan sebahagian amalan soleh yang mempunyai banyak kelebihan seperti menzahirkan pergantungan hati seseorang kepada Penciptanya.

Zikir

APA sahaja yang membawa seseorang kepada mengenal ALLAH SWT dan mendekatkan diri kepada-NYA, ia termasuk dalam kategori zikir. -Foto: 123rf

“Semakin bertambah iman seseorang kepada Tuhannya, maka semakin banyaklah zikirnya iaitu dengan memuji, mengagung dan menyucikan ALLAH SWT daripada sifat-sifat yang tidak layak bagi-NYA,” katanya.

Kelebihan berzikir

Pernyataan itu dikukuhkan lagi dengan firman ALLAH SWT supaya memperbanyakkan amalan mulia berkenaan.

Antaranya dalam Surah al-Ahzab, ayat 41 yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Ingatlah kepada ALLAH, dengan mengingat (nama- NYA) sebanyak-banyaknya.”

Dalam firman-NYA yang lain: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu pasukan (musuh), maka berteguh hatilah dan sebutlah (nama) ALLAH banyak-banyak (berzikir dan berdoa) agar kamu beruntung.” (Surah al-Anfal, ayat 45)

Jika disingkap satu persatu, terlalu banyak kelebihan apabila kita membasahkan lidah dan melazimkan hati dengan zikrullah.

Paling penting, jelas Dr Wan Salim lagi, mereka yang melazimkannya akan mendapat keredaan ALLAH SWT dan memperoleh kedudukan tinggi pada hari akhirat kelak.

“Bukan itu sahaja, zikir juga berupaya menggilap hati dan jiwa seorang manusia, di samping dimurahkan rezeki.

Zikir

TERLALU banyak manfaat dan imbalan apabila kita sering mengingati ALLAH SWT.

“Selain itu, dengan berzikir juga jiwa kita akan tenang dan tenteram dan mampu menghilangkan rasa dukacita dialami,” katanya.

Baca juga Begitu Hebatnya Nabi Idris Berzikir Sehingga Malaikat Suarakan Keinginan Bersahabat Dengan Baginda

Ternyata ia bukanlah omongan kosong. Dalam hadis sahih yang masyhur, Abu Musa al-Ash’ari RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Perumpamaan orang yang berzikir dan orang tidak berzikir adalah seperti orang yang hidup dan orang yang mati.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Melihat ungkapan itu, maka tidak hairanlah mengapa Rasulullah SAW memberi peringatan tersebut supaya kita sentiasa memulakan hari dengan berzikir kepada- NYA.

Ia merupakan suatu perkara paling berharga dan akan membimbing perjalanan kita di muka bumi yang fana ini.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.