Browsing Tag

Ziarah-menziarahi

Rumah terbuka
Isu,

Ziarah-menziarahi tidak terikat ketika Aidilfitri sahaja, tetapi juga pada hari-hari lain

Ziarah-menziarahi tidak terikat ketika Aidilfitri sahaja, tetapi juga pada hari-hari lain

MASIH ramai menganggap bahawa ziarah-menziarahi merupakan amalan pada Hari Raya Aidilfitri atau Aidiladha semata-mata.

Memperbetulkan persepsi itu, Pegawai Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara Cawangan Selangor, Ustaz Khairul Azwad Ibrahim menegaskan, perbuatan baik tersebut bukan hanya terikat ketika Aidilfitri sahaja, tetapi pada hari-hari lain juga.

“Amalan kunjung-mengunjungi bertujuan merapatkan silaturahim dengan didasari kasih sayang.

“Semoga perbuatan itu menjadi penyebab untuk kita mendapat keredaan ALLAH SWT,” katanya.

Sesungguhnya, perilaku mulia itu bertepatan dengan hadis Rasulullah SAW: “Seorang lelaki menziarahi saudaranya di satu perkampungan lain. Lalu ALLAH menghantar malaikat untuk menemuinya. Malaikat itu bertanya: Ke manakah engkau mahu pergi? Jawab lelaki itu: Aku mahu menziarahi saudaraku yang ada di kampung ini. Malaikat berkata: Adakah engkau ada harta yang ingin diberikan kepadanya? Lelaki itu berkata: Tidak. Sesungguhnya aku mencintainya kerana ALLAH. Malaikat itu berkata: Sesungguhnya aku adalah utusan ALLAH yang dihantar kepada engkau. ALLAH mencintai engkau sebagaimana engkau mencintai saudara engkau itu.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Tamu datang membawa rezeki, muliakan seikhlas hati di Syawal ini

Apabila didatangi tetamu, Ustaz Khairul Azwad mengingatkan tuan rumah supaya melayani individu tersebut dengan sebaiknya andai kehadiran mereka dengan niat yang baik.

USTAZ KHAIRUL AZWAD

Perkara tersebut dirakamkan oleh ALLAH menerusi firman-NYA: “Sudahkah sampai kepadamu (wahai Muhammad) perihal tetamu Nabi Ibrahim yang dimuliakan? Ketika mereka masuk mendapatkannya lalu memberi salam dengan berkata: “Salam sejahtera kepadamu!” Ia menjawab: Salam sejahtera kepada kamu! “(Sambil berkata dalam hati): mereka ini orang-orang yang tidak dikenal. Kemudian ia masuk mendapatkan ahli rumahnya serta dibawa keluar seekor anak lembu gemuk (yang dipanggang). Lalu dihidangkan kepada mereka sambil berkata: “Silalah makan”. (Surah al-Dzariyat, ayat 24-27)

Beliau kemudian menukilkan pandangan Imam an-Nawawi tentang kalamullah tersebut yang menyatakan: “Melayan tetamu adalah sunnah. Jika seseorang bertandang ke rumahnya dan tidak ada mudarat baginya, sunat untuk melayan tetamu tersebut.”

Melihat ungkapan tersebut, ujar beliau, jelaslah bahawa dalam Islam, tiada larangan untuk menziarahi rumah seseorang tanpa jemputan jika baik tujuannya.

“Namun demikian, seorang tetamu itu tetap tidak dibenarkan masuk ke rumah sekiranya tidak diizinkan oleh tuan rumah sebagaimana firman ALLAH dalam Surah an-Nur, ayat 27.

Baca juga Islam sangat muliakan tetamu, tapi boleh ke kita tolak orang datang ziarah?

“Sebaiknya saranan saya, hubungi tuan rumah terlebih dahulu untuk mendapatkan keizinanannya sebelum berziarah. Ia bagi mengelakkan ketidakselesaan kepada tuan rumah,” terangnya panjang lebar.

Balas semula kunjungan

Menyambung hujahnya, penceramah itu kemudian menyarankan kita supaya membalas kunjungan saudara-mara dan handai taulan meskipun sudah bertemu mereka di rumah sendiri atau di manamana.

Ini kerana katanya, amalan itu bertepatan dengan ajaran Islam itu sendiri.

Ziarah-menziarahi

ZIARAH-MENZIARAHI antara satu sama lain dan balaslah kehadiran tetamu kita dengan kunjungan ke rumahnya semula kerana amalan itu bertepatan dengan ajaran Islam. -Foto: 123rf

Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat maka jangan sakiti jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan ALLAH dan hari akhirat maka muliakanlah tetamunya…” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ustaz Khairul Azwad kemudian memetik pandangan al-Munawi tentang hadis berkenaan yang menyatakan, antara cara untuk mencapai kesempurnaan iman: “Iaitu dia hendaklah memuliakan tetamunya sama ada kaya atau miskin. Sambut tetamu dengan wajah ceria, beri hadiah dan membalas ziarah tersebut dengan menziarahi dan bertandang ke rumah tetamu tersebut.”

Pun demikian, terdapat segelintir orang yang menyimpan rasa kecil hati kerana tiada sesiapa pun mahu bertandang ke rumahnya walaupun individu berkenaan sudah menziarahi semua sanak saudara, tetangga mahupun kenalannya.

Baca juga Jangan simpan prasangka buruk pada orang lain, ini sebabnya… 

Dalam hal itu, beliau menasihatkan agar tuan rumah bersangka baik dengan mereka.

“Bagi diri kita pula, perlu bermuhasabah sama ada kita ada menyebabkan saudara atau kenalan terguris. Sebaiknya kita menziarahi semula saudara atau kenalan yang telah mengunjungi kita kerana perbuatan tersebut adalah tanda kesempurnaan iman sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Al-Munawi,” titipnya.

Kepada satu soalan, Ustaz Khairul Azwad menjawab: “Sebilangan masyarakat kita tidak ingin berziarah sekiranya tidak dijemput. Barangkali mereka tidak mahu menyusahkan tuan rumah andai hadir tanpa diundang.

“Ada pula yang beranggapan bahawa ziarah atau datang berhari raya itu perlu mendapatkan jemputan tuan rumah kerana ia dikira seperti sebuah majlis rumah terbuka atau kenduri doa selamat.

“Memang benar jika majlis yang besar atau melibatkan ramai orang perlu mendapatkan jemputan serta undangan dari tuan rumah.

“Berbeza pula jika tuan rumah tidak kisah tetamu datang berhari raya kerana maklum tentang kebiasaan masyarakat setempat. Pada ketika itu, tiada masalah untuk bertandang. Kita sebagai saudara atau kenalan rapat hanya perlu memaklumkan kepada tuan rumah jika ingin berziarah.”