Browsing Tag

wuduk

Tidur
Gaya Hidup,

Tidur pun boleh dapat pahala, amalkan 9 perkara ini

TIDUR juga boleh mendatangkan ganjaran pahala jika kena dengan caranya. Ia bukanlah perbuatan yang sia-sia atau sekadar untuk menghilangkan rasa kantuk, berehat atau melepaskan lelah selepas seharian bekerja.

Ramai yang menganggap sedemikian selama ini. Hakikatnya, tidur begitu berharga jika kita tahu cara memanfaatkannya untuk meraih imbalan.

Caranya mudah sahaja iaitu dengan mengikuti segala petunjuk yang diajarkan oleh Rasulullah SAW. Terdapat beberapa sunnah yang boleh kita teladani daripada baginda.

Dengan merujuk kepada portal kalamsindonews.com, people.utm.my, republika.co.id, Facebook We Love Islam, Sinar Islam Plus menyenaraikan sembilan perkara yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika hendak tidur.

Perinciannya seperti berikut:

1. Berwuduk sebelum tidur.

Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

Perkara itu ada disebutkan dalam sebuah hadis yang masyhur.

Tidur

BIASAKAN diri untuk berwuduk sebelum tidur. -FOTO: 123RF

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu pergi ke tempat perbaringan kamu, maka hendaklah kami wuduk seperti kamu wuduk untuk solat, kemudian berbaringlah di lambung sebelah kananmu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

2. Mengibas katil.

Baca juga Sunnah kibas tilam sebelum tidur. Ini sebabnya

Perbuatan itu meskipun kelihatan remeh, namun ada ganjaran pahala jika kita melakukannya. Masakan tidak, ia merupakan antara sunnah Nabi Muhammad SAW.

Baginda SAW bersabda: “Apabila salah seorang di antara kamu hendak tidur di atas tempat tidurnya, maka hendaklah dia mengibaskan kain di atas tempat tidurnya terlebih dahulu, kerana dia tidak mengetahui apa yang ada di atasnya…” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

3. Membaca doa sebelum tidur.

Baca juga Baca al-Quran sebelum tidur tanpa menutup aurat, ini hukumnya yang wajib kita tahu

Hidup itu insya-ALLAH dan mati itu suatu yang pasti. Baik hidup mahupun mati, kedua-duanya adalah milik ALLAH SWT. Namun begitu, andai kita membaca doa sebelum melelapkan mata, tidur kita sebenarnya dikira sebagai ibadah.

Tidur

LAZIMKAN diri membaca doa tidur sebelum melelapkan mata.

Daripada Hudzaifah, katanya: “Apabila Nabi Muhammad SAW hendak tidur, baginda akan mengucapkan Bismikallahumma amuutu wa ahya (Dengan nama-MU ya ALLAH, saya mati dan saya hidup) dan Alhamdulillahillazi ahyaana ba’da maa amatana wa ilaihin nusyur (Segala puji bagi ALLAH yang telah menghidupkan kami setelah kami mati dan kepada-NYA kami kembali).” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

4. Baca Surah al-Ikhlas.

Baca juga Baca ayat al-Quran atas katil atau sambil berbaring, adakah dikira tidak beradab?

Ketahuilah bahawa hitungan pahala jika kita membaca Surah al-Ikhlas sebanyak tiga kali sebelum tidur umpama mengkhatamkan al-Quran!

Diriwayatkan oleh Abu Darda’ RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Adakah kamu tidak mampu membaca dalam satu malam satu pertiga al-Quran?” Mereka (para sahabat) berkata: “Bagaimana seseorang membaca sepertiga al-Quran?” Sabda baginda SAW: “Qul huwallu ahad (Surah al-Ikhlas) menyamai sepertiga al-Quran.” (Hadis Riwayat Muslim)

5. Berselawat.

Baca juga Rupanya ada hukum-hakam selawat yang ramai tidak tahu

Sesiapa yang melazimkan dan banyak membaca selawat, mereka antara individu yang bakal mendapat syafaat di akhirat kelak.

Tidur

BANYYAK bertasbih dan berselawat sebelum melelapkan mata. -FOTO: 123RF

Perkara itu ada dijelaskan dalam sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang paling berhak bersamaku pada hari kiamat ialah orang yang paling banyak membacakan selawat kepadaku.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

6. Banyakkan bertasbih.

Baca juga Jari jadi saksi di akhirat kelak, ini sebabnya Rasulullah SAW gunakannya bila berzikir dan bertasbih

Saidina Ali RA bercerita bahawa Fatimah AS mengeluh kerana penat bekerja. Maka Fatimah mencari bagida SAW, tetapi tidak bertemunya dan hanya dapat menemui Aisyah RA, lalu beliau pun menceritakan keperluannya.

Ketika Nabi Muhammad SAW datang, Aisyah mengkhabarkan kedatangan Fatimah, maka baginda mendatangi Ali dan Fatimah sewaktu mereka sedang berada di tempat tidur.

Lantas Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah kalian berdua aku ajarkan perkara yang lebih baik dari yang kalian minta? Jika kalian telah berada di tempat tidur, kalian bacalah takbir 34 kali, tasbih 33 kali dan tahmid 33 kali. Itu semua lebih baik buat kalian berua daripada seorang pembantu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

7. Membaca Surah al-Kafirun.

Baca juga Baca Surah al-Kafirun sebelum tidur untuk bebaskan diri daripada kemusyrikan – Pendakwah

Sesungguhnya enam ayat dalam surah itu begitu bernilai.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Bacalah Surah al-Kafirun, kemudian tidurlah engkau di penghujung ayatnya kerana ia melepaskanmu daripada kesyikiran.” (Hadis Riwayat Abu Daud)
 

8. Membaca ayat Kursi.

Baca juga Ayat Kursi Paling Agung Dalam Al-Quran, Rugi Jika Kita Tidak Amalkannya

Ketahuilah bahawa ayat Kursi menjadi pelindung diri supaya kita tidur dalam peliharaan ALLAH SWT dan syaitan tidak berani mendekati.

Tidur

BACALAH ayat Kursi, Surah al-Kafirun dan al-Ikhlas sebelum tidur kerana ia merupakan antara sunnah Nabi Muhammad SAW. -FOTO: FREEPIK

Sabda Nabi Muhammad SAW: “Jika kamu hendak tidur, bacalah ayat Kursi sampai selesai satu ayat. Maka akan ada penjaga dari ALLAH untukmu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sampai pagi.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

9. Letak tangan di bawah pipi kanan.

Ia merupakan sunnah Rasulullah SAW. Perkara itu ada diriwayatkan oleh Imam an-Nasa’i dengan sanad yang sahih, selain Imam al-Bukhari dalam Adabul Mufrad dan dihuraikan panjang oleh Imam Ibn Jahar al-Asqalani dalam Fathul Bari yang meriwayatkan daripada al-Barra’ bahawa: “Apabila Nabi Muhammad SAW hendak tidur malam, baginda meletakkan tangannya yang kanan di bawa pipinya yang kanan lalu berdoa: “Ya ALLAH, lindungilah aku daripada azab-MU pada hari ketika ENGKAU membangkitkan hamba-hamba-MU.”

Melihat kepada semua amalan itu, tidak susah sebenarnya untuk kita meraih pahala sekalipun ketika ingin melelapkan mata.

Sesungguhnya, Islam itu agama yang syumul dan begitu kaya dengan adab. Justeru, ikutilah panduan syariat ditetapkan untuk menyimpan bekalan untuk alam akhirat yang kekal abadi.

wuduk penyeri wajah
Isu,

Naikkan seri wajah dengan air wuduk, benarkah begitu?

BENARKAH wuduk boleh menyerikan wajah?

“Cantiknya kulit awak. Awak pakai pencuci muka apa?”

“Tak pakai apa-apa pun. Ambil wuduk saja.”

Begitulah seloroh yang biasa didengar dalam perbualan sesama kaum hawa. Apabila ditanya tentang cara menaikkan seri wajah, segelintir bergurau mengamalkan pengambilan air wuduk sebagai kaedahnya.

Namun, apakah cara sebenarnya menaikkan keserian diri dalam Islam? Adakah wuduk benar-benar mampu menjadi penyeri wajah?

wuduk

USTAZAH NORHAFIZAH MUSA

Antara cara menyerikan wajah adalah dengan mengamalkan doa ini yang pernah dikongsikan oleh pendakwah bebas, Ustazah Norhafizah Musa menerusi sebuah video yang disiarkan di laman YouTube.

Doa yang dimaksudkan oleh beliau adalah doa memohon cahaya daripada ALLAH SWT. Doa tersebut dipetik daripada bahagian akhir surah at-Tahrim ayat ke-8, doa tersebut berbunyi begini:

رَبّنَآ أَتْمِمْ لَنَا نُورَنَا وََٱغْفِرْ لَنَآ ۖ إِنَّكَ عَلَىٰ كُلِّ شَىْءٍ قَدِيرٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Sempurnakanlah bagi kami cahaya kami, dan limpahkanlah keampunan kepada kami; sesungguhnya ENGKAU MAHA KUASA atas tiap-tiap sesuatu.”

Baca juga Tidak boleh niat menunjuk-nunjuk, menyerupai mata binatang berikut pemakaian kanta lekap dalam Islam

“Ustaz sahaja yang memanggilnya doa naik seri sebab macam-macam (kebaikan) yang boleh dapat dari doa ini. Doa ini sempurna, memohon cahaya dari ALLAH. Hebat doa ini,” ujar Norhafizah.

Tambahnya, ada dua cara meningkatkan seri diri termasuk mengamalkan doa berikut. Cara kedua pula adalah menghindari diri daripada terus-menerus melakukan dosa.

Menurut Norhafizah lagi, kehidupan yang dikeruhi dengan dosa dan maksiat menjadi punca kurangnya seri dalam diri. Oleh itu, beliau mengingatkan orang ramai agar sentiasa bertaubat dan memohon cahaya daripada ALLAH SWT.

Hanya dengan menyucikan diri daripada dosa barulah akan ada keserian dalam diri, keluarga serta kehidupan, titipnya.

wuduk penyeri wajah

DEMI mengejar kecantikan, pelbagai kaedah digunakan oleh kaum wanita seperti menggunakan produk pencuci muka atau mengelak makanan berminyak.

Pendapat sama turut disuarakan pendakwah terkenal, Ustazah Asma’ Harun yang menganjurkan pendekatan berwuduk bagi menaikkan seri wajah.

Mana tidaknya, dari segi bahasa, wuduk itu sendiri bermaksud elok dan berseri. Tambahan pula, amalan berwuduk dapat menggugurkan dosa, jelas Asma’

Baca juga Menyambung bulu mata itu cantik tapi apakah sebenarnya hukum di dalam Islam?

Sepertimana yang disabdakan oleh Rasulullah SAW:

“Ketika membasuh kedua tangannya, keluarlah daripada kedua tangannya setiap dosa yang dilakukan oleh kedua tangannya bersama air atau bersama titisan air yang terakhir.

Sewaktu dia membasuh kedua-dua belah kakinya, keluarlah daripada kedua-dua kakinya setiap dosa yang dilangkah oleh kedua-dua kakinya bersama air atau bersama air terakhir sehinggalah setelah dia selesai berwuduk, dia bersih daripada dosa-dosanya.” (Riwayat Muslim)

wuduk penyeri

DALAM Islam, seri diri bukan sahaja meliputi paras rupa, bahkan termasuk hati yang bersih.

Bagi Ustazah Asma’, tiada amalan yang lebih baik melainkan berwuduk sebagai terapi rohani dan penyeri diri.

“Percaya atau tidak, memang wuduk menjadi penyeri wajah. Bukan (hanya) pada zahir wajah nampak berseri, malah hati juga akan berseri. Oleh itu, wuduk adalah suatu terapi rohani yang sangat hebat,” jelasnya.

Dalam Islam, keserian diri bukan sekadar pada wajah, malah termasuk hati dan kehidupan secara keseluruhan. Selain itu, sentiasa berdoa agar diberikan cahaya oleh ALLAH SWT.

Foto: Unsplash & Pexels

Bangkit semangat
Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

no comment

SETIAP kali ingin menunaikan ibadah tidak kiralah waima fardu mahupun sunat seperti membaca al-Quran, umat Islam pasti akan mengambil wuduk.

Bahkan, terdapat segelintir orang juga biasa berwuduk sebelum tidur. Ini kerana kita digalakkan berbuat demikian bagi memohon perlindungan ALLAH SWT sepanjang tempoh berkenaan.

Walaupun semua orang sudah biasa seperti kata peribahasa alah bisa, tegal biasa dalam bab ini, namun masih ada sebilangan individu yang kurang cakna tentang perkara makruh ketika berwuduk.

Ini kerana kebanyakan daripada kita lebih terdedah dengan anggota wajib dan perkara sunat ketika berwuduk.

Pendakwah Azhar Idrus berkongsi ilmu tentang perkara makruh ketika berwuduk sebagaimana disebutkan dalam Kitab Buhairah al-Azhar Syarah Matan Safinah an-Najah menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Berikut merupakan perkara makruh ketika berwuduk:

1. Berlebihan menggunakan air.

Ketahuilah, makruh menggunakan air berlebih-lebihan ketika mengambil wuduk. Umpamanya, menyimbah air yang terlalu banyak atau dengan cara berlebih-lebihan kerana ia termasuk perbuatan membazir dan menyalahi sunah.

Seperkara lagi, membiarkan air paip terbuka selepas selesai membasuh satu anggota tanpa segera membasuh anggota lainnya juga termasuk sebagai perbuatan membazir.

Seandainya tidak mahu menutup paip, hendaklah segera membasuh anggota wuduk dari awal sampai selesai supaya kemudahan utiliti itu tidak di bazirkan begitu sahaja.

Sebaiknya, seseorang yang berwuduk itu hendaklah membasuh dan menyapu sekadar perlu iaitu mengikut apa yang disuruh oleh syarak sekalipun dirinya berwuduk dengan air yang banyak seperti air sungai atau laut.

Firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu sekalian berlebih-lebihan kerana sungguhnya ALLAH tidak suka akan orang-orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah lalu dekat Sa’ad RA dan beliau sedang mengambil wuduk. Lalu baginda bertanya: “Apakah pembaziran ini wahai Sa’ad?” Kata Sa’ad: “Adakah ketika berwuduk pun ada pembaziran?” Sabda baginda lagi: “Ya. Walaupun kamu sedang berwuduk di sungai yang mengalir.” (Riwayat Ahmad, Ibn Majah dan al-Baihaqi)

Dalam sebuah hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda: “Bahawasanya nanti akan ada pada umat ini satu golongan yang melampau pada bersuci dan berdoa.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Ibn Majah)

Sesungguhnya, orang yang suka berlebih-lebihan menggunakan air ketika berwuduk sebenarnya terpedaya dengan perintah agama dan mewarisi penyakit waswas.

Perkara makruh ketika wuduk

USAH berlebih-lebihan ketika mengambil wuduk walaupun menggunakan yang tidak bertuan seperti air tasik, sungai dan sebagainya.

Ia tidak kiralah sama ada seseorang itu berwuduk dengan air miliknya sendiri atau kemudahan air tidak bertuan seperti air tasik, sungai dan laut.

Adapun, seandainya seseorang itu berwuduk dengan air yang diwakafkan seperti di masjid atau surau atau di rumah orang, maka membazir di situ hukumnya adalah haram.

Dalam hal itu, Syeikh Ahmad Syarif An-Na’san berkata: “Dan para fuqaha Mazhab Hanafi dan Syafie telah menyebut sesungguhnya air yang diwakafkan untuk orang ramai menggunakannya buat bersuci dengannya, maka berlebih-lebihan pada menggunakannya adalah haram.”

Dalam Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah, ada dinyatakan bahawa: “Sesungguhnya air yang diwakafkan atas orang yang bersuci dengannya dan daripada air yang disediakan untuk madrasah atau sekolah, maka membazir padanya adalah haram kerana penggunaan yang lebih itu tiada diizinkan dengannya.”

Baca juga Al-Bazan Stesen Minuman dan Wuduk Moden Dilancar di Jeddah

2. Mendahulukan anggota yang kiri berbanding kanan.

Walaupun membasuh anggota wuduk yang kanan seperti tangan dan kaki adalah sunat, tetapi makruh seseorang itu membasuh sebelah kiri terlebih dahulu tanpa sebarang keuzuran. Ini kerana ia menyalahi sunah.

3. Mengelap air bekas wuduk.

Perkara makruh ketika wuduk

JIKA tiada keperluan, usahlah kita mengelap air bekas wuduk kerana ia mempunyai kesan-kesan ibadah.

Walaupun bukan semua, namun kebanyakan dalam kalangan kita gemar mengelap bekas air wuduk pada anggota badan. Ketahuilah bahawa makruh kita berbuat demikian.

Ini kerana, Nabi Muhammad SAW tidak melakukan sedemikian. Tambahan pula, air bekas wuduk pada badan itu sebenarnya adalah kesan-kesan ibadah.

Diriwayatkan daripada Maimunah RA, beliau berkata: “Sesungguhnya Nabi Muhammad SAW telah diberikan dengan sehelai tuala kecil selepas berwuduk maka baginda tidak menyapunya.” (Riwayat Muslim)

Adapun, jika seorang itu mengelap bekas air pada badannya selepas mengambil wuduk seperti kerana sangat sejuk atau atau luka pada badannya, maka ia tidaklah makruh.

4. Membasuh anggota wuduk lebih tiga kali.

Ketika berwuduk, usahlah kita berlebih-lebihan. Makruh hukumnya kita membasuh atau menyapu anggota wuduk lebih dari tiga kali. Sebenarnya, apa sahaja perintah daripada Nabi Muhammad SAW yang datang kepada kita adalah disunatkan membasuh atau menyapu anggota wuduk hanya tiga kali sahaja.

Begitupun, seandainya kita membasuh kurang dari tiga kali juga, ia dihukumkan makruh melainkan kerana keuzuran seperti tidak cukup air.

Daripada ‘Amr bin Syuaib daripada bapanya daripada datuknya menceritakan bahawa Nabi Muhammad SAW memberi tunjuk ajar kepada seorang lelaki tentang cara berwuduk.

Beliau berkata: “Kemudian Nabi Muhammad SAW membasuh kedua kakinya tiga kali lalu bersabda: “Seperti inilah cara berwuduk. Maka siapa yang menambah atas bilangan ini atau mengurangkannya, maka sungguhnya dia telah berbuat salah dan zalim.” (Riwayat Abu Daud)

Perkara makruh ketika wuduk

JANGAN membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali kerana ia merupakan perkara yang dimakruhkan.

Ketika menjelaskan hadis berkenaan, Imam Nawawi berkata: “Maknanya barang siapa meyakini bahawa lebih dari tiga kali atau kurang daripadanya adalah sunah, maka sungguhnya dia telah berbuat salah dan zalim kerana dia sesungguhnya telah menyalahi akan sunah yang telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad SAW.” (Kitab al-Majmu’)

Hukum itu juga terpakai jika kita berwuduk menggunakan air yang diwakafkan atau milik orang lain.

5. Menampar anggota wuduk.

Maksud menampar anggota wuduk adalah apabila seorang itu mengambil air, lalu ditepuknya dengan kuat pada mukanya ketika membasuh muka atau anggota wuduk yang lain. Mengertilah bahawa perbuatan seperti itu tidak manis ketika beribadah.

Kadangkala air yang ditepuk dengan kuat itu tidak meratai anggota wuduk. Maka, jadi tiada sah wuduknya.

Syeikh Khatib Al-Bujairimi berkata: “Dan bahawasanya janganlah yang berwuduk itu menampar akan mukanya dengan air.” (Kitab Tuhfatul Habib)

Sementara itu, Syeikh Ahmad Syarif An-Na’san pula menjelaskan: “Para fuqaha telah memberi nas bahawa makruh menampar muka atau anggota wuduk yang lain dengan air. Dan disebut khusus akan muka itu kerana muka itu adalah anggota yang terlebih mulia.” (Kitab Bahrul Ra’iq dan Asnal Matalib)

6. Menyuruh orang lain membasuh anggota wuduk sendiri.

Andai tiada keuzuran pada diri, janganlah sesekali kita menyuruh orang lain membasuh dan menyapu anggota wuduk sendiri.

Dalam hal itu, Syeikh Ibnu Hajar menjelaskan bahawa: “Dan dimakruhkan meminta tolong orang lain membasuh segala anggota wuduknya melainkan kerana uzur.” (Kitab Minhajul Qawwim)

Ini kerana Rasulullah SAW tidak pernah menyuruh orang lain membasuh anggotanya ketika berwuduk.

Begitupun, seandainya seseorang itu uzur seperti sakit atau ada kekangan dari segi keupayaan, maka dibolehkan meminta orang lain membasuhkan anggota wuduknya.

7. Berwuduk di tempat kotor.

Perkara ini kelihatan remeh, namun tidak boleh dibuat main kerana makruh kita berwuduk di tempat yang kotor.

Ia ada dijelaskan dalam Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah iaitu: “Dimakruhkan mengambil wuduk pada tempat yang najis kerana wuduk itu adalah bersuci, maka elakkan dari tempat yang najis atau dari tempat berkeadaan yang seperti itu kerana sesungguhnya air wuduk itu dihormati.”

Perkara makruh ketika wuduk

PASTIKAN tempat wuduk itu bersih daripada najis.

Oleh sebab itu, sesiapa yang berwuduk di dalam tandas, maka sunat bagi dirinya menjiruskan dulu air pada lantai tandas berkenaan sebelum berwuduk supaya bersih daripada najis.

8. Sengaja meninggalkan sunat-sunat berwuduk.

Barangkali ramai yang kurang cakna tentang hal ini. Meskipun ia hanya melibatkan sunah wuduk, namun maknanya begitu besar sehingga makruh hukumnya bagi sesiapa yang meninggalkan sunat-sunat wuduk dengan sengaja.

Contohnya, meninggalkan bacaan basmalah pada permulaannya dan meninggalkan basuhan anggota yang bukan difardukan seperti meninggalkan berkumur serta memasukkan air ke dalam hidung dan selainnya,

Sebahagian fuqaha berkata, meninggalkan sunat-sunat wuduk itu adalah khilaful awla iaitu menyalahi yang lebih utama.

Adapun, andai berlaku keuzuran seperti seseorang itu terlupa membaca basmalah atau meninggalkan membasuh angggota yang sunat kerana masa solat telah sempit atau seumpamanya, maka tidaklah makruh hukumnya berbuat demikian.

Justeru, ambil beratlah tentang perihal wuduk kita kerana ia menjadi antara perkara yang mempunyai kaitan dengan kesahan solat kita.

Foto: Freepik, 123rf & Unsplash

2775031-1929506542
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Al-Bazan Stesen Minuman dan Wuduk Moden Dilancar di Jeddah

no comment

EMPAT stesen air minumam dan berwuduk yang mengambil inspirasi kaedah penyediaan air bersejarah di bandar itu dilancarkan Wakaf Raja Abdul Aziz Ain Al-Aziziah, semalam.

Stesen air Al-Bazan diterjemahkan sebagai tangki air, berdasarkan sistem pengedaran air Jeddah sebelumnya.

Stesen air itu disediakan di bandar Jeddah untuk sumber bekalan air utama bagi penduduk Jeddah.

Al-Bazan lengkapi ciri moden dengan kaedah penyahgaraman air laut.

Sebelum Al-Bazen yang dibina daripada dana wakaf, penduduk Jeddah menerima air mereka daripada seorang lelaki yang disebut ‘saggah’ (lelaki air) yang mengambilnya dari luar kota dan mengedarnya ke setiap daerah di Jeddah.

Ketua Hubungan Masyarakat, Wakaf Raja Abdul Aziz Ain Al-Aziziah, Sakhr Al-Asmari, berkata idea utama di sebalik projek ini adalah membekalkan air kepada masyarakat dan mengingatkan mereka akan transformasi luar biasa yang telah dilalui kota itu.

“Wakaf itu mengutamakan beberapa tempat penting di Jeddah termasuklah di tepi laut dan akan ada lebih banyak lagi stesen air akan dibina di masa akan datang.

“Al-Bazan dengan ciri moden berada di kawasan berlainan yang akan menyediakan air bersih untuk minuman dan berwuduk kepada orang ramai. Ia dibina dengan ciri moden bertujuan memperindahkan kawasan kemudahan awam yang menyerupai saluran paip utama dari lembah.

“Wakaf tersebut berperanan untuk menyediakan air minum percuma dan bersih kepada penduduk Jeddah. Infrastrukturnya dilengkapi dengan ciri moden bagi penyahgaraman air laut sebagai sumber utama untuk dibekalkan ke beberapa wilayah di Arab Saudi.

“Wakaf ini juga dibina secara menyeluruh dengan melalui beberapa proses, ia seperti mencari stesen penyiraman daripada sumber air untuk penyahgaraman dan akan melalui ke desa-desa terpencil di seluruh wilayah. Ia dilaksanakan untuk mencapai tujuan bagi memenuhi salah satu komponen Wawasan 2030 yang dihasratkan oleh pengasasnya, Raja Abdul Aziz,” kata, Al-Asmari.

 

Sumber: Arab News

 

Surah al-Maidah
Isu, Pilihan Editor,

Amalkan surah al-Maidah pada waktu duha, ada 45 nasihat bernilai terkandung di dalamnya

APABILA berbicara tentang Surah al-Maidah, barangkali ramai yang masih samar-samar dengan fadilat, mahupun manfaat yang terkandung di dalamnya.

Masakan tidak, surah tersebut tidak begitu menonjol bagi sesetengah individu jika dibandingkan dengan surah-surah terkemuka lain seperti Yasin, al-Mulk dan al-Waqiah.

Kepada mereka yang beranggapan sedemikian, nyahkan jauh-jauh pandangan tersebut. Ingatlah bahawa setiap bait-bait kalam ALLAH SWT itu begitu berharga dan tersemat hikmahnya tersendiri untuk dijadikan pedoman hidup kita sepanjang zaman.

Sesungguhnya, Surah al-Maidah sarat dengan panduan untuk diaplikasikan dalam kehidupan seharian kita di bumi yang fana ini.

Apakah inti pati dan pengajaran yang boleh diambil daripada Surah al-Maidah? Benarkah ia merupakan surah terakhir yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW?

45 nasihat bernilai

Sebagai tanda pengenalan, Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom mengajak kita menyelami latar belakang Surah al-Maidah.

DR MOHD NASIR

Jelas beliau, surah kelima dalam al-Quran itu dikategorikan sebagai surah Madaniyyah iaitu diturunkan selepas hijrah Nabi Muhammad SAW.

Namun begitu, katanya, terdapat pandangan menyatakan, Madaniyyah bermaksud surah berkenaan diturunkan di Madinah.

“Dinamakan sebagai al-Maidah (hidangan) kerana pada ayat 112 dalam surah berkenaan, terdapat kisah Nabi Isa AS dan para pengikutnya yang mendapat nikmat hidangan makanan.

“Sajian itu diturunkan oleh ALLAH SWT sebagai rezeki kepada mereka dan sebagai bukti kenabian Nabi Isa AS,” katanya baru-baru ini.

Begitu istimewanya Surah al-Maidah itu apabila ia diturunkan sebanyak 120 ayat sekali gus, ungkapnya.

Perkara tersebut, dijelaskan dalam Kitab Tafsir al-Quran Ibn Kathir yang mana terdapat riwayat daripada Asma’ binti Yazid mengatakan: “Pada ketika aku sedang memegang tali ikatan unta Nabi Muhammad SAW, tiba-tiba turun kepada baginda Surah al-Maidah secara keseluruhan. Kerana beratnya surah ini, sehingga berdetak kaki hadapan unta tersebut.”

Jelas ahli akademik berkenaan, riwayat itu mengambarkan bahawa betapa beratnya wahyu yang diturunkan kepada baginda SAW sehingga unta yang ditunggangi berjalan dalam keadaan yang payah.

“Hal yang demikian kerana surah ini mengandungi 120 ayat yang agak panjang setiap satunya. Selain itu, mesej-mesej yang terkandung di dalam setiap ayatnya juga mempunyai pelbagai tema dan tajuk yang utama dan penting yang perlu diambil berat mengenainya,” katanya.

Surah al-Maidah

CARILAH guru yang benar-benar muktabar dan faqih dalam bidangnya apabila kita ingin menuntut ilmu berkaitan dengan al-Quran.

Dalam Hadis Riwayat al-Hakim, Aisyah RA berkata bahawa: “Surah al-Maidah adalah surah yang terakhir diturunkan kepada Nabi Muhammmad SAW. Apa sahaja yang kalian temukan dari yang halal, maka halalkanlah. Dan apa sahaja yang kalian temukan dari yang haram, maka haramkanlah.”

Berdasarkan hadis itu, Dr Mohd Nasir menjelaskan, sebahagian ulama berpendapat, ia merupakan surah terakhir diturunkan kepada baginda SAW yang melengkapkan kesempurnaan Islam.

“Begitupun, terdapat pandangan lain mengatakan bahawa surah terakhir diturunkan ialah Surah at-Taubah atau Surah an-Nasr,” katanya.

Baca juga Surah ar-Rahman Menyingkap Sifat Pemurah ALLAH SWT

Amalan ayat tertentu

Sesungguhnya, kelebihan al-Quran sebagai mukjizat agung dan wahyu daripada ALLAH SWT memang tidak dapat disangkal lagi.

Surah al-Maidah


AMALKANLAH membaca Surah al-Maidah yang mempunyai kelebihan tersendiri untuk menjadikan kita manusia yang tidak tergelincir daripada cara hidup Islam.

Jelas pensyarah itu, kitab paling suci tersebut terkandung pelbagai fadilat dan kurniaan yang tidak terhingga.

“Kalamullah itu antaranya memberitahu kepada semua hamba-NYA, untuk kita hampir kepada ALLAH adalah dengan cara berdoa, ruqyah dan mengamalkan ayat-ayat tertentu.

“Malah, mengamalkan bait-bait suci itu juga sebenarnya termasuk dalam amal ibadah dan zikir yang dituntut dalam Islam. Ketahuilah bahawa zikir dan doa daripada al-Quran mempunyai kelebihan tersendiri. Ia boleh memberikan ketenangan jiwa kepada mereka yang melazimkannya,” terangnya.

Begitupun, Dr Mohd Nasir memberi peringatan mesra dalam hal itu. Sebelum mengamalkan ayat-ayat tertentu sebagai doa dan ruqyah, rujuk dahulu kepada sumber serta dalil yang sahih.

“Semua itu perlu dirujuk kepada ahlinya iaitu mereka yang kuat akidahnya, sahsiah, akhlak dan amalan yang selari dengan Islam. Ia bagi mengelakkan penyalahgunaan ayat-ayat al-Quran untuk tujuan dan cara yang salah walaupun kelihatan seperti baik dan betul.

“Secara umumnya, umat Islam diharuskan untuk mengguna dan mengamalkan ayat-ayat al-Quran sebagai doa dan ruqyah. Terdapat banyak dalil yang menjelaskan tentangnya,” tegasnya.

Sementara itu, pendakwah Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad menjelaskan, menurut Tafsir Ibn Kathir, istimewanya Surah al-Maidah apabila ia mengandungi 45 nasihat berbeza yang disampaikan oleh Nabi Muhammad SAW menerusi wahyu daripada ALLAH SWT.

DA’I FUAD

Ia termasuklah perintah ALLAH SWT yang menyuruh hamba-hamba-NYA agar tolong-menolong dalam melakukan kebaikan dan bertakwa kepada-NYA, ungkapnya.

Terdapat juga ayat-ayat yang mengandungi jawapan ALLAH SWT kepada ahli kitab apabila mereka mendustai Nabi Muhammad SAW.

“Antara isi pentingnya merujuk tentang larangan pembunuhan, merompak waima mengambil hak orang lain termasuk nyawa dan menjaga maqasid syariah.

“Apa yang kita dapat lihat daripada keseluruhan kandungan dalam Surah al-Maidah adalah ia banyak berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia, hubungan dengan haiwan, sesama insan, kewajipan dalam menjalankan tanggungjawab, membersihkan harta dengan melakukan infak serta larangan berlaku zalim kepada manusia lain,” katanya.

Sempurnakan perjanjian

Mengapakah Surah al-Maidah begitu sinonim dengan nama lain iaitu al-Uqud yang bermaksud perjanjian?

Baca juga Jangan Khianati Amanah, Ia Prasyarat Menilai Keimanan

Menjawab persoalan itu, Da’i Fuad menjelaskan, kalimah al-Uqud disebut pada ayat pertama surah berkenaan.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, penuhi serta sempurnakanlah perjanjian-perjanjian. Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatangbinatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu. (Halalnya binatang-binatang ternak dan sebagainya itu) tidak pula bererti kamu boleh menghalalkan perburuan ketika kamu dalam keadaan berihram. Sesungguhnya ALLAH menetapkan hukum apa yang Ia kehendaki.” (Surah al-Maidah, ayat 1)

Mengulas mengenai firman berkenaan, Dai’e Fuad berkata, sebagai seorang manusia yang berpegang kepada sesuatu perjanjian, ingatlah ia merupakan satu indikator besar untuk menafikan diri kita daripada menjadi orang munafik.

“Justeru, wajib kita melunaskan janji yang dibuat sepenuhnya. Tidak kiralah janji sebagai seorang ayah dan ibu, walaupun hanya sekadar janji membelikan manisan untuk anak-anak.

“Begitu juga dengan janji daripada pemimpin kepada orang pimpinannya dan orang bawahan ataupun rakyat terhadap kesetiaan kepada para pemimpin dan juga negaranya,” katanya.

Surah al-Maidah


ANTARA inti pati penting Surah al-Maidah, ia berkait rapat dengan kehidupan seharian manusia, hubungannya terhadap haiwan, sesama insan, kewajipan dalam menjalankan tanggungjawab membersihkan harta dengan melakukan infak serta larangan berlaku zalim kepada manusia lain.

Pun demikian, ujar pendakwah itu, janji yang paling besar bagi umat Islam adalah janji yang sering kali diucapkan tatkala membaca doa iftitah ketika solat.

“Itu merupakan janji kita kepada ALLAH SWT. Bayangkan sekurang-kurangnya lima kali sehari kita melafazkan ungkapan ‘Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk-MU serta tidak mensyirikkan-MU, ya ALLAH’. Justeru, perjanjian itu mesti ditunaikan dengan sedaya upaya,” katanya.

Kepada satu soalan, Da’i Fuad menjawab: “Mengamalkan ayat 114, Surah al-Maidah (agar rezeki tidak akan pernah habis) sebenarnya merupakan amalan para alim ulama, tetapi ia bukanlah datang melalui dalil yang khusus.

“Sebaliknya, ia diambil dari sudut mujarrabat iaitu kemujaraban yang diamalkan oleh para alim ulama yang mana ia dapat mengambil kelebihan daripadanya.”

Meskipun tiada nas yang menyatakan waktu tertentu untuk membaca Surah al-Maidah, namun Da’i Fuad menyarankan agar kita mengamalkannya pada waktu duha.

“Ia berdasarkan kepada kesesuaian pesanan dan kandungan surah berkenaan yang membawa kepada turunnya rezeki daripada ALLAH SWT, nasihat tentang pekerjaan dan hubungan tentang keimanan.

“Kepada mereka yang mahu menyusun atur jadual harian masing-masing, boleh selitkan bacaan Surah al-Maidah pada waktu duha. Semoga kita beroleh manfaat dengan mengamalkannya,” katanya.

Wuduk didik umat Islam ke arah sifat mahmudah, gugurkan dosa

DALAM Surah al-Maidah terkandung pensyariatan berwuduk menerusi ayat keenam. Ia merupakan satu cara untuk bersuci dan membersihkan manusia daripada kekotoran sebelum menghadap ALLAH SWT dan melakukan apa sahaja jenis ibadah.

Dari segi istilahnya, pendakwah Mohd Fauzi Mustaffa menjelaskan, wuduk bermaksud membasuh dan menyapu anggota-anggota tertentu dengan niat tertentu.

MOHD FAUZI

“Terdapat bahagian anggota tubuh yang kita sapu saja, basuh atau gosok. Semuanya dilakukan dengan niat-niat tertentu sama ada untuk menunaikan solat, membaca al-Quran, tawaf dan seumpamanya.

“Mudah kata, dalam bab amal ibadah, kita diwajibkan untuk berwuduk supaya diri berada dalam keadaan elok dan bersih. Kajian saintifik menyatakan, manusia sentiasa terdedah dengan kekotoran terutama pada anggota wuduk.

“Justeru, apabila anggota-anggota wuduk seperti muka, tangan, kaki dibasuh, ia membersihkan bahagian tersebut. Seterusnya mengelakkan jangkitan kuman bukan sahaja kepada diri, malah orang yang menunaikan ibadah berhampiran kita,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, agamawan itu menambah, dari segi manfaatnya kepada rohani, mengambil air sembahyang sebenarnya berupaya menggugurkan dosa-dosa kita menerusi anggota wuduk.

“Ulama tasawuf berkata, anggota wuduk hakikatnya merupakan zon ataupun daerah yang sering berdosa. Umpamanya, tangan banyak memegang, mengambil rasuah dan seumpamanya.

“Apabila kita mencucinya dengan wuduk, maka keluarlah dosa-dosa kita melaluinya. Begitu juga dengan anggota wuduk yang lainnya. Malah, ada seorang ulama tafsir menyatakan bahawa wuduk mendidik kita dengan sifat mahmudah.

“Maka sebab itulah Nabi Muhammad SAW menyuruh kita berwuduk apabila sedang marah kerana ia mampu menangkis sifat berkenaan,” jelasnya.

Kepada satu soalan, Mohd Fauzi menjawab: “Wuduk merupakan satu terapi terbaik untuk kesihatan manusia waima dari segi jasmani dan rohani.

“Dalam satu kajian di Arab Saudi yang dilakukan untuk menguji sampel bekas basuhan air wuduk, hasilnya mendapati air berkenaan terdapat kandungan bakteria kolon yang tinggi. Asbab berwuduk menyebabkan gugurnya bakteria berkenaan.

“Bahkan, dalam perubatan akupuntur dan kaedah urutan yang dilakukan oleh masyarakat kita, kebanyakannya menggunakan titik rawatan pada bahagian anggota wuduk seperti kaki dan bahagian wajah.”

ANEKDOT

IBRAH daripada Surah al-Maidah

Surah al-Maidah

JANGAN pernah sesekali meninggalkan al-Quran yang menjadi mukjizat teragung Nabi Muhammad SAW.

– Surah al-Maidah mempunyai keistimewaannya tersendiri kerana mengandungi pelbagai tema dan tajuk.

– Antara tema yang terkandung dalam surah itu adalah berkaitan dengan hukum-hakam makanan, kisah para anbia dan umat terdahulu, hari kiamat, larangan bersikap berlebihan (ghuluww) serta perihal akidah.

– Banyak pengajaran dan ibrah yang dapat diambil daripada surah tersebut. Antaranya adalah mengenai larangan minum arak, berjudi, menyembelih haiwan untuk berhala dan menenung nasib.

– Kisah al-Maidah itu sendiri mempunyai banyak pengajarannya. Disebutkan dalam ayat ke-112 bahawa para pengikut Nabi Isa AS telah meminta untuk mendapatkan makanan daripada ALLAH SWT dengan menurunkannya dari langit bagi memenuhi keperluan mereka akibat kemiskinan.

– Seterusnya dengan makanan itu juga, mereka mempunyai tenaga untuk terus beribadah kepada ALLAH SWT.

– Namun Nabi Isa AS meminta agar mereka bertawakal kepada-NYA ketika mencari rezeki jika benar-benar beriman kepada-NYA.

– Akhirnya, ALLAH SWT menurunkan makanan dari langit sebagai bukti kenabian dan kebenaran risalah yang dibawa oleh Nabi Isa AS.

Sumber: Timbalan Pengarah Pusat Islam Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mohd Nasir Masroom

Foto Sinar Harian & 123rf

Berita Semasa,

Tersentuh rakan bukan Islam sama jantina, batal ke wuduk kita?

ANTARA perkara yang membatalkan wuduk adalah apabila bersentuhan lelaki dan wanita yang bukan muhrim tanpa berlapik. Begitu juga apabila suami tersentuh isteri berdasarkan kepada Mazhab Syafie.

Dalam bab wuduk ini, memang kita tak boleh buat main. Bukan apa, ia perkara utama yang perlu kita lakukan sebelum menunaikan solat dan menyentuh mushaf al-Quran.

Jika tiada wuduk atau tayamum, maka solat kita tidak sah. Itulah yang paling ditakuti. Malah, kalau kita terlupa berwuduk atau bertayamum sebelum tunaikan solat, solat tadi perlu diulang semula.

Andai kata, usai berwuduk, seorang wanita Muslimah bersentuhan dan berjabat tangan dengan wanita bukan Islam, adakah batal wuduknya?

Jika diteliti, persentuhan kulit yang melibatkan dua jantina yang berbeza iaitu lelaki dan wanita, memang terbatallah wuduk berkenaan jika tidak berlapik.

Namun begitu, seandainya ia melibatkan jantina yang sama, ia tidak membatalkan wuduk kita walaupun berlainan agama.

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyebut bahawa manusia itu dimuliakan.

“Implikasi kepada kemuliaan tersebut, manusia tidak akan dihukumkan najis apabila telah meninggal dunia. Tidak kiralah sama ada mereka seorang Muslim atau kafir (bukan Islam).

“Manakala firman ALLAH SWT dalam Surah at-Taubah, ayat 28 yang bermaksud ‘Sesungguhnya orang-orang Musyrik itu najis’. Najis yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah kepercayaan mereka atau perintah supaya menjauhi mereka seperti najis dan bukannya kenajisan pada jasad mereka.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/10)

Ketahuilah bahawa Islam tak pernah melarang kita daripada menyantuni dan berbuat baik kepada orang bukan Islam. Malah, kita diperintahkan berlaku adil dan menunjukkan akhlak yang baik kepada mereka.

Mudah-mudahan ia dapat menjadi sebab kepada dekatnya mereka dengan agama Islam yang suci ini.

Firman ALLAH SWT: “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahinah, ayat 8)

Ingat, hanya ada empat perkara saja yang membatalkan wuduk sepertimana yang disebutkan oleh Habib Hassan bin Ahmad al-Kaff dalam kitabnya, al-Taqrirat al-Sadidah iaitu;

1. Keluar sesuatu daripada kedua jalan (qubul dan dubur) melainkan keluar mani

Ini kerana apabila keluarnya mani, maka diwajibkan mandi dan ia menjadi keutamaan untuk dilakukannya terlebih dahulu.

2. Hilang akal sama ada tidur atau selainnya

Begitupun, wuduk tak akan batal sekiranya kita tidur dalam keadaan duduk yang tetap punggungnya di atas tempat duduknya.

3. Bersentuhan kulit antara wanita dan wanita ajnabi (boleh berkahwin) secara langsung iaitu tanpa lapik

4. Menyentuh qubul dan dubur dengan telapak tangan

Jadi, tak perlu risau andai kita tersentuh rakan bukan Islam yang sama jantina walaupun ketika dalam keadaan berwuduk kerana ia langsung tak menjejaskan wuduk kita.

(Sumber: Al-Kafi #1579: Adakah Batal Wuduk Bersentuhan dengan Bukan Muslim, laman web rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Bercakap ketika berwuduk
Agama, Panduan,

Bolehkah keringkan anggota wuduk?

KADANGKALA selepas berwuduk, ada orang lebih selesa untuk mengeringkan anggota wuduknya sebelum menunaikan solat.

Ada segelintir orang pula terus mendirikan solat sebaik sahaja berwuduk.

Bagaimana pandangan Islam tentang hal itu? Bolehkah kita mengeringkan anggota wuduk dengan tuala selepas selesai berwuduk?

Menjawab persoalan tersebut, terdapat hadis yang sahih riwayat Muslim bahawa Nabi Muhammad SAW menyatakan, apabila seseorang berwuduk, ketika membasuh muka, tangan dan kakinya akan gugurlah dosa-dosanya bersama mengalirnya air sehingga ke titisan yang terakhir.

Itu menandakan kelebihan wuduk boleh menghapuskan dosa-dosa.

Adapun dalam perihal hukum mengeringkan anggota wuduk, para ulama terbahagi kepada dua pandangan dengan hujah masing-masing.

Pendapat pertama menyatakan, hukumnya adalah harus. Pendapat itu ‘dipegang’ oleh sahabat Nabi Muhammad SAW seperti Anas bin Malik, Usman bin Affan dan lain-lain.

Anggota wuduk

JANGAN berlebih-lebihan dan membazir ketika berwuduk.

Demikian juga pendapat Imam Ahmad dalam masalah itu kerana asalnya tiada hadis yang jelas melarang perbuatan tersebut.

Sementara itu, pendapat kedua berpandangan makruh menyapu atau mengeringkan anggota wuduk selepas berwuduk.

Ini kerana dalam hadis riwayat Saidatina Maimunah dalam Sahih al-Bukhari, Nabi Muhammad SAW menolak ketika diberikan kain untuk mengelap anggota wuduk baginda.

Imam al-Rafie juga menyatakan, sunat ditinggalkan perbuatan mengeringkan anggota wuduk.

Kesimpulannya, jika ada keperluan dan hajat, maka tidak menjadi masalah untuk mengeringkannya.

Sebaliknya, sekiranya tiada keperluan, maka eloklah dibiarkan sahaja. Demikianlah pendapat Imam An-Nawawi.

***Artikel ditulis oleh pendakwah dan penulis, Ustaz Mustafar Mohd Suki