Browsing Tag

Wuduk gugurkan dosa

Bercakap ketika berwuduk
Ibadah,

Wuduk gugurkan dosa kecil, perhati setiap anggota sunat ketika bersuci

WUDUK gugurkan dosa kita. Itu fakta yang kebanyakan orang pandang remeh.

Malah, ada orang yang enggan melakukan perkara-perkara sunat ketika mengambil air sembahyang. Misalnya berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam hidung dan membasuh seluruh kepala.

Ketahuilah bahawa setiap basuhan air wuduk tadi membantu kepada penghapusan dosa-dosa kita, kata Rektor di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof  Dr Muhamad Rozaimi Ramle menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

DR ROZAIMI

Ia sebagaimana disebutkan dalam riwayat yang mana ‘Amru bin ‘Abasah RA dalam sebuah hadis panjang berkaitan pengislamannya menyebut: “Aku pun berkata: “Wahai Nabi ALLAH, ceritakan kepada aku tentang wuduk.”

Baginda bersabda: “Tidaklah seseorang itu pergi kepada air wuduk, lalu dia berkumur-kumur, memasukkan air ke dalam hidung dan mengeluarkannya melainkan gugur dosa wajahnya, gugur dosa mulutnya, gugur dosa hidungnya. Kemudian apabila dia membasuh wajahnya sebagaimana yang ALLAH arahkan, gugurlah dosa wajahnya dari hujung janggutnya bersama-sama air wuduk itu. Apabila dia membasuh kedua tangannya hingga kedua siku, gugurlah dosa kedua-dua tangannya dari hujung jarinya bersama air wuduk itu. Kemudian dia menyapu kepalanya, maka gugurlah dosa-dosa kepalanya dari hujung-hujung rambut bersama air. Kemudian dia membasuh kedua kaki hingga buku lali, lalu gugurlah dosa kedua kakinya dari hujung jarinya. Seandainya dia mendirikan solat, memuji ALLAH dengan pujian yang layak untuk-NYA, dan mengosongkan hatinya untuk ALLAH, dosa-dosanya akan meninggalkannya sebagaimana hari ibunya melahirkan dia.” (Sahih Muslim)

Baca juga Berwuduk dalam keadaan tidak berpakaian, sah atau tidak?

Benarlah, ALLAH SWT tidak menjadikan sesuatu itu sia-sia. Pasti ada manfaat di sebaliknya. Begitu juga dengan wuduk bagi menyucikan diri daripada berhadas.

Selain mengikut sunnah Rasulullah SAW, sebenarnya terlalu banyak fadilat apabila kita memelihara wuduk masing-masing dan memastikan diri dalam keadaan bersuci.

Wuduk gugurkan dosa

JANGAN berlebih-lebihan dan membazir ketika berwuduk. -Foto: 123rf

Sinar Islam Plus memetik beberapa keutamaan menjaga wuduk daripada laman web dalamislam.com, Republika dan idntimes.com.

Berikut perinciannya:

1. Penghapus dosa dan pemberi syafaat.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa tidur di malan hari dalam keadaan suci (berwuduk), maka malaikat akan tetap mengikuti, lalu ketika ia bangun nescaya malaikat itu akan berucap ‘Ya ALLAH ampunilah hambamu si fulan kerana ia tidur di malam hari dalam keadaan selalu suci’.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Baca juga Usah melampau ketika berwuduk

2. Memberi cahaya kepada anggota wuduk ketika kiamat.

Pada hari akhirat kelak, umat Nabi Muhammad SAW akan dikenali cahaya daripada anggota-anggota wuduknya. Itulah yang membezakan kita daripada umat-umat nabi lain.

Sabda baginda SAW: “Sesungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat nanti dalam keadaan dahi, kedua tangan dan kaki mereka bercahaya kerana bekas wuduk.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

3. Ukuran perhiasan di akhirat.

Wuduk gugurkan dosa

WUDUK bukan sahaja menggugurkan dosa kecil, tetapi juga salah satu amalan yang membawa kita ke syurga. -Foto: 123rf

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Perhiasan seorang mukmin di akhirat akan sesuai dengan jangkauan wuduknya.” (Hadis Riwayat Muslim)

4. Wuduk sebahagian daripada iman.

Baginda SAW bersabda: “Bersuci (berwuduk) adalah setengah daripada iman.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Ini Perkara Makruh Ketika Wuduk Yang Sering Dilakukan Tanpa Sedar

5. Amalan yang membawa ke jannah.

Daripada Umar RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Tidaklah seseorang dari kalian berwuduk secara sempurna, lalu mengucapkan ‘Asyhadu an laa ilaha illallah wahduu laa syarika lah wa asy-hadu anna Muhammadan ‘abdudu wa rasuuluh (Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan kecuali ALLAH semata yang tiada sekutu bagi-NYA dan bahawa Muhammad adalah hambadan utusan-NYA) melainkan kelak akan dibukakan untuknya lapan pintu syurga yang kepadanya dipersilakan untuk masuk melalui pintu mana sahaja yang dia sukai.” (Hadis Riwayat Muslim)

6. Dikeluarkan kesalahan dari badan.

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berwuduk, lalu memperelokkan wuduknya, nescaya kesalahan-kesalahannya keluar dari badannya hingga keluar dari bawah kuku-kukunya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Wuduk

JANGAN membasuh anggota wuduk melebihi tiga kali kerana ia merupakan perkara yang dimakruhkan. -Foto: 123rf

Melihat kepada kelebihan yang ada pada amalan mulia itu, rugi andai jika membiarkan ia berlalu begitu sahaja.

Andai wuduk kita terbatal, segeralah mengambil semula air sembahyang. Biarkan diri kita dalam keadaan sentiasa bersuci.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.