Browsing Tag

Wanita uzur

Wanita dalam idah tunaikan haji
Ibadah,

Wanita uzur tidak wajib puasa, tetapi bukan makan secara terbuka pada siang Ramadan

Wanita uzur tidak wajib puasa, tetapi bukan makan secara terbuka pada siang Ramadan

DISEBABKAN datang bulan, wanita uzur tidak boleh meneruskan ibadah puasa mereka. Sebaliknya, ia perlu digantikan pada hari yang lain.

Boleh dikatakan semua maklum dengan perkara itu. Malangnya, sudah tahu diri tidak boleh berpuasa, boleh pula individu berkenaan makan secara terbuka pada siang bulan Ramadan.

Lebih menyedihkan apabila mereka tanpa segan silu mengunyah makan di hadapan orang yang sedang berpuasa. Perbuatan tersebut seolah-olah tidak menghormati orang lain yang sedang menunaikan ibadah berkenaan.

Kepada para wanita yang tidak boleh berpuasa Ramadan kerana keuzuran, Pensyarah Kanan dan Sarjana Islam di Institut Islamik Toronto, Ontario, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty menasihatkan agar mereka tetap menghormati kesucian Ramadan dengan memilih untuk makan dan minum secara sembunyi-sembunyi daripada mempamerkannya secara terbuka.

Wanita uzur

ANDAI tidak boleh berpuasa disebabkan keuzuran yang dibenarkan oleh syarak, hindari diri daripada makan secara terbuka pada siang bulan Ramadan. -Foto: Unsplash

“Ya, tidak salah wanita haid makan dan minum kerana mereka tidak berpuasa atas alasan yang sah di sisi syarak,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal About Islam.

Baca juga Perhatikan enam golongan yang tetap tidak boleh makan, minum walaupun puasa Ramadannya telah batal

Berdasarkan sumber sahih, ujar agamawan itu, Rasulullah SAW pernah makan dan minum ketika dalam perjalanan semasa bulan Ramadan.

“Begitu juga dengan para sahabat yang mengambil makanan dan minuman jika mereka ‘melangkau’ puasa kerana bermusafir atau sakit.

“Oleh itu, tidak perlu bagi wanita haid menahan diri daripada makan dan minum sekiranya tidak dapat berpuasa,” ungkapnya.

Fakta sama turut dikemukakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Menerusi artikel yang disiarkan dalam Maktabah Albakri, beliau merujuk kepada pandangan mantan Mufti Besar Arab Saudi yang menyebut dalam fatwanya, Fatawa Nur ‘ala al-Darb bahawa:

“Sesiapa yang berbuka puasa pada bulan Ramadan kerana keuzuran, maka hendaklah dia berbuka secara sembunyi. Ia seperti seorang yang musafir tidak diketahui oleh orang lain bahawa dia sedang musafir.

Wanita uzur

SESIAPA yang berbuka puasa pada bulan Ramadan kerana keuzuran, maka hendaklah dia berbuka secara sembunyi. -Foto: Canva

“Begitu juga dengan wanita yang tidak diketahui oleh orang lain bahawa dia sedang haid. Maka, hendaklah dia makan dan minum secara sembunyi supaya dia tidak dituduh bermudah-mudahan dengan arahan ALLAH SWT.

“Bagaimanapun, jika dia berada dalam kalangan orang yang mengetahui bahawa dia adalah seorang musafir, dan dia dalam kalangan wanita yang mengetahui bahawa dia sedang haid, maka tidak salah untuk dia makan di sisi mereka dan berbuka. Hal ini kerana mereka mengetahui keadaannya dan keuzurannya, dan begitu juga dengan seorang musafir dalam kalangan orang yang mengetahui keadaan musafirnya.

Baca juga Makan secara terbuka bagi yang uzur puasa Ramadan, ini ulasan Dr Zulkifli

“Manakala jika dia makan di hadapan orang lain, sedangkan mereka tidak mengetahui keadaannya, maka tidak sepatutnya baginya untuk makan dan minum di hadapan mereka. Bahkan, wajib baginya menyembunyikannya supaya dia tidak dituduh melakukan kejahatan.”

Justeru, Dr Zulkifli menasihatkan agar mereka yang dalam keuzuran untuk berpuasa boleh makan dan minum di tempat yang sunyi daripada penglihatan orang ramai.

Tujuannya bagi memelihara diri kita daripada fitnah dan menyelamatkan orang ramai daripada sangkaan buruk, lalu mereka mendapat dosa, ungkapnya.

“Ia kecuali bagi mereka yang dalam keadaan jika orang di sekelilingnya tahu tentang keuzurannya itu yang dibenarkan oleh syarak untuk tidak berpuasa,” ujarnya.

***Foto: Unsplash