Browsing Tag

wanita haid

wanita ziarah kubur
Hukum,

Bolehkah wanita haid menziarahi pusara?

Bolehkah wanita haid menziarahi pusara?

TANGGAL 1 Syawal dirasakan tidak lengkap jika tidak berkunjung ke tanah perkuburan melihat pusara sanak saudara selepas melaksanakan solat sunat Aidilfitri pagi itu. Amalan tersebut sememangnya sudah menjadi adat resam orang Melayu sejak sekian lama.

Namun, bagi kaum Hawa, mereka pasti ada pengalaman pernah ditegur oleh orang-orang tua untuk tidak turut serta kerana dikatakan wanita berhaid tidak boleh memasuki kawasan tanah perkuburan.

Apakah pandangan Islam tentang isu itu?

Secara umumnya, wanita dibenarkan menziarahi perkuburan ahli keluarga, sahabat dan sebagainya selagi mereka memelihara syariat serta adab ketika menziarahi tanah perkuburan.

Demikian kenyataan Timbalan Dekan (Jaringan) Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim dalam artikel diterbitkan sebuah media tempatan.

Pandangan itu berdasarkan riwayat yang disampaikan oleh Anas bin Malik RA, “Suatu ketika, Nabi SAW terserempak dengan seorang wanita yang sedang menangis dan meraung di atas pusara anaknya. Lantas Nabi SAW bersabda: Wahai perempuan, takutlah kamu kepada ALLAH SWT dan bersabarlah. Wanita itu pun berkata: Apakah yang kamu tahu mengenai masalah yang menimpa diriku ini?

“Nabi SAW tidak berkata apa-apa dan hanya terus berlalu pergi. Lantas wanita itu diberi maklum bahawa lelaki yang menegurnya itu adalah baginda Nabi. Alangkah terkejutnya wanita itu dan dia terus mendapatkan baginda di rumahnya. Setibanya di depan pintu rumah Rasulullah, dia berkata: “Sesungguhnya aku tidak mengenalimu”. Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kesabaran itu sangat tinggi martabatnya.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Ujar Izhar, hadis berkenaan menunjukkan wanita ditegah menziarahi tanah perkuburan kerana dibimbangi tidak mampu mengawal emosi dan meratap yang mana dilarang dalam agama.

Tiada dalil melarang
Dalam pada itu, pendakwah Indonesia, Buya Yahya berkata, tidak ada sebarang dalil sama ada daripada al-Quran atau as-Sunnah yang melarang wanita yang haid mahupun mengandung pergi ke tanah perkuburan.

“Pada dasarnya, tiada larangan bagi wanita untuk melakukan solat jenazah, mengiringi jenazah atau menziarahi kubur.

“Yang menyebabkan wanita dilarang (melakukan perkara tersebut) adalah kerana faktor-faktor seperti terpaksa berhimpit dengan lelaki ajnabi, tempat itu tidak baik (sempit dan sebagainya) atau wanita tersebut tidak mampu mengawal emosi. Dalam situasi sebegitu, kaum hawa tidak dianjurkan ke tanah perkuburan.

“Namun, jika kawasan perkuburan itu luas, tidak perlu bersesak dengan kaum lelaki dan sebagainya, maka boleh sahaja wanita mengunjungi tempat tersebut,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video disiarkan di laman sosial miliknya.

Ada pendapat mengatakan makruh

Walau bagaimanapun, pihak Mufti Wilayah Persekutuan berpendapat hukumnya adalah makruh bagi wanita menziarahi kubur, sama ada berhaid atau tidak.

Namun, jika tujuannya adalah untuk menziarahi makam Rasulullah SAW dan orang-orang soleh serta pusara kaum kerabat, maka hukumnya adalah sunat dengan syarat menjaga adab-adab ziarah.

Antara adab menziarahi tanah perkuburan bagi wanita adalah:

1. Menutup aurat dengan sempurna
2. Menjaga pergaulan antara lelaki dan perempuan
3. Tidak membuat bising dengan jeritan atau tangisan yang melampau
4. Bukan dalam edah
5. Tidak melakukan perkara khurafat

Justeru, tidak kira sama ada pada Hari Raya atau hari-hari lain, yang paling utama aktiviti menziarahi kubur itu dijadikan peringatan kepada kita terhadap kematian lantas mendekatkan diri kepada ALLAH SWT.