Browsing Tag

Wanita dalam idah tunaikan haji

Wanita dalam idah tunaikan haji
Hukum, Istimewa Panggilan Baitullah,

Wanita yang masih dalam idah, bolehkah tunai haji?

Wanita yang masih dalam idah, bolehkah tunai haji?

TATKALA hati masih dirundung kesedihan akibat kematian suami, wanita dalam idah tersebut menerima perkhabaran gembira. Permohonan dirinya untuk menunaikan ibadah haji akhirnya diterima.

Namun begitu, memikirkan ‘tempoh menunggunya’ masih belum berakhir, hasrat tersebut mungkin terpaksa dilupakan begitu sahaja.

Masakan tidak, wanita itu masih dalam waktu ‘berkabung’. Begitupun, pendirian balu tadi menjadi goyah apabila mengenangkan haji merupakan ibadah yang diwajibkan oleh syarak apabila adanya kemampuan.

Sebenarnya, bolehkah wanita dalam idah pergi haji?

Baca juga Wanita dalam idah tak boleh beraya walaupun pergi rumah anak sendiri, ini penjelasan agamawan…

Menjawab persoalan itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri memberikan huraian panjang lebar dalam Maktabah Albakri.

DR ZULKIFLI

Jelas agamawan itu, wanita yang sedang dalam idah akibat kematian suami tidak boleh mengerjakan haji.

Beliau bersandarkan kepada fatwa daripada Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah yang menyatakan, kaum Hawa yang beridah kematian suami tidak boleh untuk bermusafir bagi melaksanakan waima ibadah haji mahupun umrah.

“Ini kerana tidak boleh baginya untuk keluar rumah semasa dalam tempoh idah berkenaan melainkan adanya hajat atau keperluan.

“Apatah lagi, haji sebenarnya termasuk dalam jenis ibadah yang diwajibkan ke atas orang Islam secara tarakhi (boleh ditangguhkan) selepas memenuhi syarat istita’ah, dan bukannya mesti secara faur (langsung dan segera).

“Ketahuilah, wanita dalam idah tersebut tidak dikira berdosa jika menangguhkan ibadah hajinya pada tahun berikutnya hingga dia selesai menjalani idahnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #1646: Wanita dalam Iddah Menunaikan Haji.

Pandangan tersebut dikukuhkan lagi dengan fakta yang turut dikemukakan dalam Kitab Mughni al-Muhtaj.

Baca juga Jemaah haji Malaysia meninggal dunia, ini tatacara uruskan jenazah di Makkah atau Madinah

Dr Zulkifli kemudian menukilkan pandangan Ibn Hajar al-Haitami dalam Kitab al-Zawajir ‘an Iqtiraf al-Kaba’ir yang menyatakan, wanita idah yang keluar dari rumahnya sebelum selesainya tempoh berkenaan tanpa sebarang alasan diizinkan syarak, ia adalah termasuk dalam dosa-dosa besar.

Wanita dalam idah

WANITA dalam idah kerana kematian suami tidak boleh untuk bermusafir untuk tunaikan ibadah haji mahupun umrah. -Foto: Unsplash

“Ini kerana menjadi kewajipannya untuk berada di rumah sebagaimana ditetapkan oleh ALLAH SWT bagi memelihara nasab dan selainnya,” katanya.

Ujar mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu, pendapat itu juga selari dengan garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkaitan wanita beridah kerana kematian suami.

Jakim menyenaraikan beberapa perkara yang mesti dipatuhi iaitu:

– Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.

– Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Andai pernikahan dilangsungkan juga semasa dalam tempoh tersebut, ia tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.

– Tidak dibenarkan keluar rumah termasuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.

Wanita dalam idah

HARAM wanita dalam idah menerima pinangan atau berkahwin dengan lelaki ajnabi. -Foto: 123rf

Antara keperluan penting yang membolehkan kaum Hawa keluar dari rumah adalah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang keperluan asasi (andai tiada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak.

Ia dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab sebagaimana disyariatkan. Bagaimanapun, keharusan itu hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.

Begitupun, pengecualian diberikan kepada individu tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya.

Termasuk dalam larangan bermusafir adalah menunaikan ibadah fardu haji dan umrah.

– Berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya sepanjang tempoh perkahwinan.

– Wajib berkabung sepanjang tempoh idah.

– Memakai pakaian berwarna terang atau berwarna-warni yang boleh menarik perhatian orang yang memandang.

– Memakai barangan kemas walaupun sebentuk cincin, gelang, rantai dan barang-barang perhiasan lain yang diperbuat daripada emas, perak dan permata.

Wanita dalam idah

WANITA dalam idah tidak boleh memakai perhiasan termasuk emas. -Foto: 123rf

– Memakai wangi-wangian pada anggota badan, rambut dan pakaian.

– Bersolek, memakai celak, berinai dan memakai minyak rambut serta perbuatan-perbuatan lain yang dianggap sebagai berhias pada pandangan masyarakat setempat.

Bagi wanita yang kematian suami ketika dirinya sudah pun berada di Makkah dan sukar serta payah untuknya pulang ke tanah air bagi membolehkannya menjalani iddah di rumah, Dr Zulkifli berpandangan, tidak mengapa dia berada di sana dan menyelesaikan ibadah hajinya.

“Ia dengan syarat sepanjang tempoh tersebut, dia hendaklah meninggalkan semua perkara yang mempunyai unsur-unsur berhias sama ada pada pakaian atau tubuh badan (iaitu semasa dalam berkabung) sekalipun ia tidak termasuk dalam larangan ihram haji.

“Pada masa sama, jangan tinggalkan perkara-perkara lain yang diwajibkan ke atas wanita beridah sedaya mungkin. Kemudian, segera pulang selepas menunaikan ibadah haji andai mampu berbuat demikian,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.