Browsing Tag

wanita bertarawih di rumah atau masjid

Bertarawih di rumah
Ibadah,

Antara bertarawih di rumah dan masjid, mana satu paling terbaik untuk wanita?

Antara bertarawih di rumah dan masjid, mana satu paling terbaik untuk wanita?

SEPERTIMANA kaum Adam, golongan wanita juga mahu bertarawih sepanjang bulan Ramadan. Maklum sahajalah, peluang keemasan itu bukan selalunya ada.

Ia hanya muncul 30 hari dalam setahun. Sudah pastilah semua orang berlumba-lumba untuk menunaikannya.

Tatkala melihat orang lelaki mahupun muslimat lain di masjid, ada juga kaum Hawa yang terpaksa memendam rasa kerana terpaksa menunaikannya secara bersendirian di dalam rumah.

Baca juga Mudah sahaja rupanya solat tarawih di rumah. Ini caranya

Memikirkan anak kecil tiada siapa yang mahu menjaganya. Jika dibawa ke masjid, bimbang pula jika mengganggu jemaah yang lain.

Akhirnya, mereka terpaksa memilih untuk menunaikannya di rumah sahaja. Ia lebih selesa dan selamat untuk anak kecil dipantau. Sambil-sambil beribadah, tanggungjawab sebagai ibu juga tidak diabaikan.

Ketahuilah bahawa solat seorang wanita muslimah itu lebih afdal dan baik apabila dikerjakan di rumah.

Demikian fakta yang dijelaskan oleh Naib Pengerusi 2 Majlis Ulama ISMA (MUIS), Ustazah Nur Fatin Halil.

USTAZAH NUR FATIN

Perkara itu disebutkan secara jelas dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Solat seorang wanita di rumahnya adalah lebih baik daripada solat di biliknya, dan solat di tempat tidurnya lebih baik daripada solat di rumahnya.” (Sunan Abi Daud)

Dalam sebuah hadis lain yang diriwayatkan dalam Musnad Imam Ahmad, Ummu Humaid al-Sai’idi, isteri kepada Abu Humaid RA datang bertemu Nabi Muhammad SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku suka solat bersamamu.”

Baginda menjawab: “Sungguh aku mengetahui bahawa engkau suka menunaikan solat bersamaku, akan tetapi solatmu di tempat tidurmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di bilikmu, dan solatmu di bilikmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di rumahmu, dan solatmu di rumahmu adalah lebih baik dibandingkan solatmu di masjid kaummu, dan solatmu di masjid kaummu lebih baik dibandingkan solatmu di masjidku.”

Baca juga Raih Keampunan Dengan Bertarawih, Rugi Jika Tinggalkan Begitu Sahaja

Kemudian Ummu Humaid meminta dibangunkan baginya masjid (tempat solat) di tempat paling tersorok dan paling gelap di dalam bilik tidurnya. Maka beliau solat di sana sampai bertemu dengan ALLAH SWT. (Hadis Riwayat Ahmad)

Berdasarkan kedua-dua hadis berkenaan, ujar Ustazah Nur Fatin, jelaslah bahawa semakin tertutup tempat solat wanita itu dan jauh dari percampuran dengan lelaki, maka ia adalah tempat yang afdal untuk wanita menunaikan solat.

“Bagaimanapun, ia bukanlah bermakna suatu larangan untuk wanita ke masjid.

Bertarawih di rumah

MESKIPUN tempat yang lebih afdal untuk wanita untuk menunaikan solat di rumah, tetapi ia bukanlah bermakna larangan untuk kaum Hawa pergi ke masjid. -Foto: Bernama

“Bahkan, terdapat hadis lain yang melarang para lelaki daripada menghalang isteri-isteri mereka keluar ke masjid,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web MUIS.

Meskipun tiada halangan tersebut, pendakwah itu menjelaskan, terdapat garis panduan yang perlu dipenuhi oleh wanita muslimah andai mereka mahu keluar menghadiri solat tarawih di masjid.

Berikut syarat-syarat yang perlu dipenuhi:

1. Menjaga aurat, tidak berhias-hias (tabarruj) dan memelihara pandangan.

ALLAH SWT berfirman: “Dan katakanlah kepada para perempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya, memelihara kemaluannya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dadanya…” (Surah an-Nur, ayat 31)

Baca juga Buat wanita di luar sana, ini persiapan penting untuk sambut bulan Ramadan

2. Tidak memakai wangi-wangian.

Rasulullah SAW bersabda: “Janganlah kamu menegah wanita-wanitamu pergi ke masjid ALLAH. Dan hendaklah mereka keluar ke masjid tidak memakai wangi-wangian.” (Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)

3. Mendapat keizinan suami.

Bertarawih di rumah

DAPATKAN keizinan suami terlebih dahulu untuk keluar ke mana-mana termasuk ke masjid bagi mendirikan solat tarawih berjemaah. -Foto: 123rf

4. Tiada percampuran lelaki dan wanita serta segera pulang usai solat.

Dalam sebuah hadis, Ummu Salamah RA menceritakan para wanita yang hadir solat berjemaah apabila selesai salam, mereka segera bangkit meninggalkan masjid dan pulang ke rumah, sementara Rasulullah SAW dan para jemaah lelaki duduk sebentar (untuk memberi laluan kepada jemaah wanita beredar). Apabila Rasulullah bangkit, maka bangkit pula jemaah lelaki tersebut. (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Andai semua garis panduan itu dipenuhi dan pada masa sama kehadiran wanita tersebut tidak menimbulkan fitnah, ujar Ustazah Nur Fatin, maka dibolehkan mereka untuk ke masjid dan berlumba-lumba mengumpul pahala lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan yang penuh barakah.

Bahkan, katanya, terdapat situasi tertentu yang mana seorang wanita digalakkan untuk ke masjid sekiranya solat di rumah ALLAH itu lebih meningkatkan kekhusyukan dan menambahkan penghayatan melalui bacaan imam apabila solat berjemaah berbanding sembahyang bersendirian di rumah.

“Bukan itu sahaja, sebenarnya apabila wanita ke masjid, banyak manfaat yang diraih lebih-lebih lagi jika mereka mengikuti pengisian dan ceramah agama.

“Suatu perkara yang harus diingat, perlu dipastikan juga agar ketiadaan wanita tadi rumah kerana pergi ke masjid tidak memberi kesan terhadap tanggungjawabnya sebagai isteri dan ibu,” terangnya panjang lebar.

Kepada kelompok ibu yang mempunyai anak kecil, kata Ustazah Nur Fatin, jangan bimbang soal ganjaran pahala besar dan seumpamanya.

Bertarawih di rumah

WANITA tetap juga mendapat pahala seperti ke masjid walaupun tidak berkesempatan ke sana sekiranya mereka mendorong dan mempersiapkan suami masing-masing untuk ke masjid. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

“Ketahuilah, wanita juga tetap mendapat pahala seperti ke masjid walaupun tidak berkesempatan ke sana sekiranya mereka mendorong dan mempersiapkan suami masing-masing untuk ke masjid,” katanya.

Baca juga Amalan yang boleh dilakukan oleh wanita ketika haid

Ia sebagaimana disebutkan dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa menunjukkan kepada kebaikan, ia mendapatkan pahala seperti orang yang mengerjakannya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Sebelum mengakhiri perkongsian ilmunya, Ustazah Nur Fatin menitipkan pesan, solat tarawih merupakan amalan sunat yang boleh dilakukan di mana-mana sahaja.

“Tidak semestinya ia dilakukan di masjid terutamanya bagi wanita,” ujarnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.