Browsing Tag

waktu mustajab doa

Doa dibaca Nabi Muhammad
Ibadah,

Jom pakat baca Doa ini pada Hari Arafah, tidak semestinya tunggu jemaah haji wukuf

Jom pakat baca Doa ini pada Hari Arafah, tidak semestinya tunggu jemaah haji wukuf

PASTI ramai umat Islam yang akan mengambil peluang untuk berpuasa pada Hari Arafah keesokan harinya. Istimewanya hari itu kerana dinyatakan sebagai hari yang paling disukai oleh ALLAH SWT dalam bulan Zulhijjah.

Bahkan, Rasulullah SAW mengkhabarkan kepada kita bahawa berpuasa pada Hari Arafah akan menghapuskan dosa setahun yang lalu serta setahun yang akan datang.

Justeru, pada hari tersebut, setiap orang disarankan untuk banyak berdoa memohon ampun serta meminta apa sahaja yang diingini kepada ALLAH. Hal itu kerana sebaik-baik doa yang dipohon adalah pada hari Arafah.

Sabda Nabi SAW, “Sebaik-baik doa adalah doa pada hari Arafah.” (Hadis Riwayat Tirmizi)

Jadi, orang yang berpuasa pada hari itu akan mendapat keistimewaan yang berganda iaitu doa yang mustajab kerana berpuasa dan juga kerana Hari Arafah sendiri.

Baca juga Mengapa hari ke-8 Zulhijjah dinamakan Hari Tarwiyah dan apa kelebihan di sebalik hari ini?

doa Hari Arafah

JANGAN lepaskan peluang berdoa pada Hari Arafah, iaitu antara waktu paling mustajab doa. Foto: 123RF

Ramai salah faham waktu mustajab doa Hari Arafah
Perihal waktu mustajab berdoa pada Hari Arafah, pendakwah Ustaz Muhammad Fahmi Rusli berkata, ada suatu salah faham yang berleluasa dalam umat Islam di Malaysia.

Menurut beliau, wujud segelintir masyarakat setempat yang percaya bahawa waktu paling mustajab berdoa pada hari berkenaan menyamai waktu jemaah haji sedang berwukuf di Arab Saudi.

“Masyarakat kita ada satu falsafah. Dia hendak cari waktu mustajab doa itu (dengan menyamakan) pada waktu jemaah haji wukuf di Saudi.

“Dia kata waktu mustajab berdoa di Malaysia adalah 6.36 petang, contohnya, kerana pada saat itu, jemaah haji (sedang berwukuf) di Mekah,” ujarnya menerusi rancangan My #HadithTime yang disiarkan di laman sosial.

doa Hari Arafah

USTAZ FAHMI RUSLI

Bagi Fahmi, beliau tidak bersetuju amalan mengkhaskan satu waktu tertentu paling mustajab untuk berdoa pada Hari Arafah di Malaysia dengan menyamakan pada masa jemaah haji berwukuf.

“Sebenarnya tidak betul kefahaman begini kerana waktu mustajab doa adalah pada Hari Arafah. Nabi kata sebaik-baik doa adalah pada hari Arafah. Hari Arafah pula adalah 9 Zulhijjah.

“Nabi tidak sebut sebaik-baik doa adalah pada hari jemaah haji berwukuf di Arafah. Nabi tidak kata secara spesifik waktu mustajab doa seolah-olah kita di Malaysia perlu ikut waktu bila jemaah haji wukuf di Arafah,” jelasnya.

Sebaliknya pendakwah berkenaan mengingatkan bahawa keseluruhan tarikh 9 Zulhijjah itu dikira waktu mustajab dan rakyat Malaysia boleh berdoa pada bila-bila masa sahaja sepanjang tempoh tersebut tanpa menunggu masa tertentu.

SEBENARNYA keseluruhan Hari Arafah adalah waktu mustajab berdoa tanpa perlu menetapkan detik spesifik. Foto: 123RF

Doa yang sesuai dibaca pada Hari Arafah
Jika anda mencari doa sesuai pada Hari Arafah, berikut antara doa yang banyak dibaca oleh Nabi SAW dan para sahabat adalah:

لا إلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَريكَ لَهُ ، لَهُ المُلْكُ وَلَهُ الحَمْدُ ؛ وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
(La ilaaha illaAllah wahdahu la syariikalahu, lahul mulku walahul hamdu, wahuwa ‘ala kulli syai’in Qadiir)

Maksudnya: “Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain ALLAH Yang Maha Esa, tidak ada sekutu bagi-NYA, milik-NYA segala kekuasaan dan bagi-NYA segala pujian, dan DIA-lah Yang Maha Kuasa atas setiap sesuatu.”

Selain itu, jika anda ingin memecahkan sedikit rutin berdoa dengan doa yang jarang-jarang diucapkan, boleh juga berdoa dengan doa ini:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ في قَلْبِي نُورًا، وفي بَصَرِي نُورًا، وفي سَمْعِي نُورًا، وعَنْ يَمِينِي نُورًا، وعَنْ يَسارِي نُورًا، وفَوْقِي نُورًا، وتَحْتي نُورًا، وأَمامِي نُورًا، وخَلْفِي نُورًا، واجْعَلْ لي نُورًا

Maksudnya: “Ya ALLAH, jadikanlah di dalam hatiku cahaya, dan di pandanganku cahaya, dan pada pendengaranku cahaya, dan dari kananku cahaya, dan dari kiriku cahaya, dan di atasku cahaya, dan di bawahku cahaya, dan di depanku cahaya, dan di belakangku cahaya, berilah aku cahaya.” (Sahih Bukhari, no. 6316)

Ini adalah doa yang biasa dibaca oleh Rasulullah SAW ketika bangun untuk menunaikan solat Subuh. Ia boleh dibaca juga pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi dalam masa yang berbaki sebelum kita memasuki gerbang 10 Zulhijjah.

Sumber: Tzkrh & Ramai salah faham waktu mustajab doa pada Hari Arafah

Foto: 123RF