Browsing Tag

waktu bekerja

SOLAT
Gaya Hidup,

Sesungguhnya kerja harian itu cuma selingan sambil menunggu waktu solat

DALAM hidup ini, pernah atau tidak kita berfikir mengenai solat itu cuma selingan ketika waktu bekerja atau kerja itu cuma selingan ketika menunggu waktu solat?

Dengan tuntutan kerja dan tanggungjawab yang ada, pasti akan ada yang menjawab solat itu cumalah selingan ketika waktu bekerja.

Namun sedarkah kita dalam menjalani rencah hidup seharian, sebagai khalifah dan hamba-NYA di bumi yang sementara ini sebenarnya kerja itu hanyalah selingan untuk menunggu waktu solat.

Demikian antara ungkapan yang dikongsi oleh pensyarah di Fakulti Pengajian Pengajian al-Quran dan as-Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Ahmad Kamil Jamilin atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kamilin Jamilin menerusi satu hantaran video di laman media sosialnya baru-baru ini.

Baca Juga Bukan semata-mata dapatkan gaji, ketahui konsep sebenar bekerja dalam Islam

Kongsinya, apa-apa pekerjaan yang memudahkan untuk kita solat terutamanya berjemaah di masjid, itulah keberkatan daripada ALLAH SWT dan itulah pekerjaan yang baik dan barakah bagi kita bila kita kerja dan terfikir serta menantikan waktu solat.

“Bukannya di waktu solat kita terfikirkan tentang pekerjaan. Harus diingat, jangan jadikan alasan bekerja sebagai alasan kita meninggalkan perintah ALLAH.

“Pernah saya melihat satu ungkapan di masjid ayat dia sangat menusuk jiwa iaitu “kerja ini cuma selingan yang mengisi masa sementara kita menanti waktu solat,” katanya.

DR KAMILIN JAMILIN

Barakahnya gaji yang diterima

Sememangnya bekerja adalah tuntutan Islam. Bahkan banyak ayat al-Quran memperkatakan tentang perkara ini.

Sebagaimana dipetik melalui laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Terengganu, yang memetik mafhum firman ALLAH SWT:

“Katakanlah wahai Muhammad, “Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka ALLAH dan Rasul-NYA serta orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan dan kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH) yang mengetahui perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian DIA memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (Surah at-Taubah ayat 105)

Dalam surah al-Jumuah ayat 10 juga disebutkan yang mafhumnya: “Kemudian setelah selesai solat, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing), dan carilah limpah kurniaan ALLAH, serta ingatlah ALLAH sebanyak-banyaknya (dalam setiap keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan akhirat).”

Berdasarkan perintah di atas, dapat disimpulkan peri pentingnya untuk seseorang itu bekerja demi empat tuntutan berikut:

Artikel Berkaitan 

1.Keperluan diri

Rasulullah SAW mengiktiraf kemulian orang yang rela berpenat lelah mencari rezeki demi mencukupkan keperluan dirinya. Hal ini ditekankan di dalam mafhum sabda Baginda :

Jika seseorang di antara kamu pada tengah hari mengambil kayu di belakangnya, sehingga dia dapat bersedekah darinya dan mencegah daripada meminta-minta, maka yang demikian adalah lebih baik baginya dari meminta-minta kepada orang lain sama ada diberi atau tidak kerana tangan yang di atas adalah lebih baik daripada tangan yang di bawah, mulailah daripada yang terdekat.”

2.Keperluan keluarga

Islam agama sempurna yang penuh dengan ketertiban dan kekemasan. Islam menggalakkan umatnya untuk bersungguh-sungguh dalam setiap pekerjaan yang dilakukan. Ini kerana, bekerja merupakan salah satu wasilah atau cara untuk mendapatkan rezeki.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya ALLAH menyukai seseorang jika apabila kamu melakukan sesuatu tugasan, maka kamu akan melakukannya dengan itqan (bersungguh-sungguh)”.

3.Keperluan masyarakat

Tidak semua individu ada kepakaran dalam semua bidang. Justeru bagi anda yang memiliki sesuatu kepakaran dan bekerja berasaskan skil yang dimilikinya telah menyempurnakan tuntutan fardu kifayah untuk kemaslahatan masyarakat.

4.Memakmurkan bumi ALLAH

Pekerjaan yang dilakukan oleh manusia mempunyai hubung kait dengan unsur kehidupan manusia di dunia secara amnya selain memelihara segala nikmat ALLAH yang dikurniakan di muka bumi ini.

pekerjaan terbaik

APA-apa pekerjaan yang dilakukan atas usaha sendiri secara jujur seperti yang diperintahkan ALLAH SWT pasti akan diberkati oleh-NYA. Foto: 123RF

Itqan bukan mainan

Adapun seseorang yang asyik bekerja tanpa menghiraukan waktu solat, dibimbangi ia tidak mendapat keberkatan. Walaupun gajinya atau pendapatannya adalah halal tetapi pada hakikatnya ia tidak bernaung di bawah payung agama.

Firman ALLAH dalam surah al -Mu’minun, ayat 1-2: “Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya”.

Antara kepentingan itqan di dalam melaksanakan sesuatu pekerjaan ialah untuk mendapatkan pahala dan ganjaran daripada ALLAH kerana DIA sangat kasih kepada orang-orang yang tekun dalam melakukan sesuatu perkara.

Di samping itu juga, sifat tekun akan membezakan antara orang yang benar-benar berusaha dengan orang yang sambil lewa ketika bekerja. Dengan sifat ketekunan juga, ia akan menambakan keberkatan di dalam setiap perkara yang kita lakukan.

Justeru, bertakwalah kepada ALLAH SWT dengan sentiasa memberikan usaha yang terbaik dalam melakukan apa jua pekerjaan kerana di situlah kemungkinan punca rezeki mata wang dan sumber makanan yang akan diberikan pula kepada isteri, anak cucu kita yang akan berterusan mengalir darah di dalam tubuh badan mereka.

Ketekunan merupakan salah satu lambang keislaman. Selain ikhlas dan komited beribada, tekun dan rajin bekerja adalah ciri Muslim sejati yang pasti mengundang segunung Rahmat daripada ALLAH AZZA WA JALLA.

Sebagaimana mafhum firman ALLAH dalam surah al-an’am, ayat 162 : “Katakanlah, sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk ALLAH Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam”.