Browsing Tag

Usia

Umur
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Umur anugerah dan rahsia ALLAH, jangan alpa dengan nikmat kurniaan-NYA

ISLAM mengajar umatnya memahami bahawa umur merupakan anugerah ALLAH SWT. Malah, setiap fasa kehidupan waima muda mahu pun tua mempunyai tujuan dan nilai yang penting.

Bagaimanapun, masih ada segelintir orang yang menyimpan persepsi ‘orang muda hidup lama, yang tua pergi dulu’.

Baca juga Usah persiakan usia, mengabaikannya lebih teruk daripada kematian

Namun begitu, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Nurzahidah Jaapar mengingatkan, perihal usia merupakan urusan dan rahsia ALLAH.

USTAZAH NURZAHIDAH

“Bahkan, umat Islam dituntut sentiasa bersedia dengan jangkaan kematian kerana ia kunci menyuburkan iman,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Lantaran itu, beliau berpesan agar setiap Muslim disunatkan mengingati hal-hal kematian dan memohon keampunan-NYA agar ditempatkan dalam kalangan para anbia, siddiqin, syuhada dan solihin.

Baca juga Mengingati mati mengurangkan hasrat duniawi kita. Ketahuilah, sakit bukanlah syarat kepada kematian

“Benar, manusia sentiasa alpa dalam hal itu. Suka atau tidak, kita perlu melakukan perubahan terhadap diri seiring peningkatan usia. “Paling tidak pun, lakukan refleksi diri dengan mengambil ibrah daripada peristiwa Maal Hijrah.

“Sebaik memasuki tahun baharu dalam kalendar Hijriah, maka detik itu menjadi kesempatan melihat kembali pencapaian, kegagalan dan pengalaman belajar sepanjang tahun sebelumnya,” terangnya.

Bersihkan hati, murnikan niat

Bukan itu sahaja, ujar Ustazah Nurzahidah, Maal Hijrah merupakan waktu terbaik membersihkan hati dan memurnikan niat dalam kehidupan.

Pensyarah itu menambah, pertambahan usia sepatutnya mendorong kita memperbaiki sikap, tujuan dan niat dalam semua aspek kehidupan.

“Ia termasuklah perihal ibadah, hubungan sosial dan kehidupan seharian.

“Antara langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan kesedaran diri mengenai usia yang dikurniakan oleh ALLAH adalah dengan cara membaca dan memahami al-Quran, menyedari keterbatasan manusia dalam urusan dunia serta menggali ilmu dan bimbingan duniawi, juga ukhrawi,” ungkapnya.

Baca juga Mengapa hati mudah goyah ketika hijrah?

Bagi mendapatkan umur yang berkat, Ustazah Nurzahidah berkongsikan satu doa yang boleh diamalkan. Doa itu berbunyi: “Ya ALLAH, berikanlah aku umur yang panjang dengan kesihatan badan, kesempatan dalam taubat, memanfaatkan rezeki dan beramal soleh dalam kehidupan yang baik.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Umur

BERDOALAH supaya ALLAH SWT memberi keberkatan pada umur kita. -Foto: 123rf

Seperkara lagi, ahli akademik itu mengingatkan, dalam kita melakukan penghijrahan ke arah yang positif, konsistensi dan kesabaran menjadi kunci utama dalam menghadapi cabaran berkenaan.

Oleh itu, katanya, betapa pentingnya seseorang individu untuk menetapkan niat dan azam di sebalik perubahan tersebut, sekali gus menjadi motivasi untuk mereka terus beristiqamah.

“Selain itu, tingkatkan pengetahuan dan ilmu mengenai hukum-hakam agama. Pemahaman yang jelas akan memberi manfaat terhadap transisi dilakukan. Paling penting, cari komuniti dan persekitaran yang betul untuk berubah.

“Satu lagi, jangan lupa untuk berdoa dan melazimkannya bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada-NYA. Selanjutnya, kenali cabaran untuk istiqamah dan mencari solusi menghadapinya.

“Kemudian, semak perkembangan yang dicapai dan kenali perkara yang masih perlu diperbaiki. Akhir sekali, letaklah kebergantungan dan tawakal kita kepada-NYA,” ungkapnya.

ANEKDOT

Tinta ulama tentang ibrah Maal Hijrah berkaitan nikmat usia

Baca juga Fahami Konsep Hijrah Rasulullah

i. Pentingnya memanfaatkan waktu.

Ulama menekankan kepentingan setiap masa dalam kehidupan dengan tidak mensia-siakan waktu yang diberikan dan berusaha mengisi saban hari dengan ibadah, amal soleh dan kebaikan kepada manusia.

ii. Tidak menilai seseorang berdasarkan usia.

Umur

UMUR bukan faktor penentu kemuliaan seseorang kerana ALLAH SWT memandang berdasarkan kepada akhlak, keberkatan amal pengetahuan dan kualiti ibadah. -Foto: 123rf

Para ulama begitu menitik beratkan soal penilaian terhadap seseorang tidak boleh disandarkan semata-mata atas usia.

Ini kerana faktor penentu kemuliaan seseorang pada pandangan ALLAH SWT adalah berdasarkan kepada akhlak, keberkatan amal perbuatan, pengetahuan dan kualiti ibadah.

iii. Menambahkan kesyukuran.

Seharusnya sebagai seorang hamba, kita bersyukur kepada ALLAH SWT atas setiap nikmat umur yang diberikan. Setiap tahun, banyak anugerah berharga yang kita raih.

Ia sepatutnya menjadi kesempatan buat kita untuk memperbaiki diri, mendekatkan diri kepada-NYA dan berbuat kebaikan.

iv. Perbaiki hubungan antara manusia.

Manfaatkanlah usia yang diberikan untuk memperelok hubungan dengan keluar, teman dan masyarakat sekitar. Ketahuilah bahawa berbuat baik, memberi manfaat dan menghindari konflik akan membawa berkat dalam hidup kita.

v. Tetapkan tujuan kehidupan yang bermakna.

Rebutlah peluang Maal Hijrah tahun ini untuk berbuat demikian, di samping memberikan fokus kepada akhirat demi meninggalkan warisan yang baik.

vi. Renungkan kematian sebagai motivasi untuk berhijrah.

Ia menjadi antara cara kita menjalani hidup dengan penuh keimanan dan bertanggungjawab.

Usia
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Usah persiakan usia, mengabaikannya lebih teruk daripada kematian

USIA kita dihitung menggunakan kalendar Masihi. Lantaran itu, tidak hairanlah mengapa kebanyakan orang memandang kalendar Masihi untuk mengira tahun baharu. Jarang sekali kalendar Hijrah dilihat sebegitu walaupun kita sudah pun berganti tahun baharu 1445 Hijrah tiga hari lalu.

Bukan mahu membuat kesimpulan mudah, tetapi itulah persepsi ramai. Malah, masih ada lagi yang menganggap Maal Hijrah hanyalah sebagai ‘pesta’ cuti umum dan tiada apa-apa yang istimewa tentangnya.

Hakikatnya, seiring dengan waktu, umur kita kian meningkat. Tempoh masa kita di muka ini tidak lama. Hanya ALLAH SWT sahajalah yang MAHA MENGETAHUI.

Masih ramai yang tidak sedar bahawa kematian semakin mendekat. Bahkan hari, bulan dan tahun yang bersilih ganti menunjukkan betapa singkatnya masa dan mendekatkan kita kepada hari terakhir kehidupan di alam fana ini.

Baca juga Awal Muharam, simbol pengertian hijrah sebenar

Usia yang tersisa itu masih lagi digunakan untuk perkara sia-sia.

Sewajarnya, bagaimanakah cara sepatutnya kita menggunakan usia yang dikurniakan ALLAH SWT itu? Mengapa umat Islam perlu berubah dan meraih keberkatan umur?

Bangga dengan kalendar Hijrah

Sinar Islam Plus mendapatkan pendakwah terkemuka, Dr Fauzi Deraman bagi mendasari topik berkenaan.

DR FAUZI -Foto: Mohd Rafiq Redzuan Hamzah

Sebelum memberikan komentar berkaitan usia, agamawan itu memulakan kalam tentang sikap segelintir umat Islam yang memandang remeh tentang Maal Hijrah.

Sebagai Muslim, jelas beliau, rujukan utama ialah al-Quran dan as-Sunnah. Kedua-duanya ada menjelaskan tentang takwim Hijri. Firman ALLAH yang bermaksud: “Sesungguhnya jumlah bulan menurut ALLAH ialah 12 bulan, (sebagaimana) dalam ketentuan ALLAH pada waktu DIA menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram…” (Surah at-Taubah, ayat 36)

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “…Satu tahun terdiri daripada 12 bulan, daripadanya terdapat empat bulan yang haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam) dan yang keempat ialah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Baca juga Penghijrahan sebenar pada awal Muharam

Melihat dalil berkenaan, jelas Dr Fauzi, sewajarnya kita memberi keutamaan kepada kalendar Hijrah.

“Dalam nas itu, tiada disebutkan tentang bulan Januari, Februari dan sebagainya. Sepatutnya kita bangga dengan takwim Islam, namun sayangnya kita bersifat sebaliknya.

“Sempena awal Muharam, saya ingin mengajak umat Islam kembali kepada tarikh Hijri yang menjadikan 1 Muharam sebagai bermulanya tahun baharu.

BERBANGGALAH dengan kalendar Hijrah kita yang mana Muharam menjadi permulaan tahun baharu. Seiring dengan pertambahan tahun, usia kita juga meningkat dan jangan persiakan umur yang masih tersisa itu. -Foto: Freepik

“Usah pula kita buat tidak kisah, sedangkan masa begitu penting hingga pepatah Arab menyatakan ‘waktu itu hidup’ dan ‘masa itu bagai pedang’. Bayangkan jika kita ‘memotong’ masa, kita pula akan ‘dipotongnya’,” katanya ketika ditemu bual Sinar Islam Plus di kediamannya di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, agamawan tersebut menjelaskan, agama Islam begitu menitik beratkan soal masa yang merujuk dalam pelbagai perkara.

Terlalu banyak hadis menceritakan tentang waktu lapang seperti lima perkara sebelum lima perkara dan dua kenikmatan yang sering dilupakan manusia.

Jelas Dr Fauzi yang juga Panel Penyemak Tafsir Pedoman Muttaqin, Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu, waktu lapang tersebut sebenarnya merujuk kepada umur.

Baca juga Jangan sia-siakan umur yang dikurniakan ALLAH SWT, ini sebabnya kenapa

“Ketahuilah bahawa umur merupakan nikmat yang sangat besar sehingga Imam Hasan al-Basri menyebut ‘Tidaklah datang suatu hari dari hari-hari di dunia ini melainkan ia berkata: “Wahai manusia! Sesungguhnya aku adalah hari yang baharu, dan sesungguhnya aku akan menjadi saksi (di hadapan ALLAH) atas apa-apa yang kalian lakukan padaku. Apabila matahari telah terbenam, maka aku akan pergi meninggalkan kalian dan takkan pernah kembali lagi hingga hari kiamat”,” ungkapnya sambil menjelaskan betapa mahalnya masa dan usia kita.

Usia tidak terhitung nilainya

Benarkah jika mereka yang berusia 40 tahun tidak berubah, maka dirinya kekal sebegitu sampai bila-bila?

MANFAATKAN usia kita dengan sebaiknya dengan melakukan kebaikan sebagai aset untuk dituai pada hari akhirat kelak. -Foto: 123rf

Menjawab persoalan itu, Dr Fauzi yang juga Naib Yang Dipertua I Persatuan Ulama Malaysia menjelaskan, sememangnya terdapat hadis yang menyebut sedemikian, tetapi ada beberapa perawinya yang ditolak menjadikan riwayat itu tidak kuat.

Bagaimanapun, katanya, ayat 15 dalam Surah al-Ahqaf ada memerihalkan tentang usia 40 tahun di mana mereka perlu merefleksi diri dengan segala nikmat kurniaan ALLAH dan perkaitan berbakti kepada ibu bapa.

“Malah, ada tabiin pernah mengingatkan supaya kita berwaspada apabila usia menginjak 40 tahun.

“Meskipun hadis tadi tidak boleh dijadikan asas, tetapi apabila sudah masuk 40 tahun, ramai pakar moden menyatakan, ia merupakan umur yang matang.

“Bahkan, Nabi Muhammad menerima wahyu pada usia 40 tahun. Sementara itu, Imam Malik pernah berkata bahawa beliau melihat ramai dalam kalangan ulama apabila mencecah umur berkenaan, mereka akan menumpukan kepada akhirat,” ujarnya.

Keberkatan umur

Dalam pada itu, Dr Fauzi turut mengingatkan, usia merupakan suatu nikmat tidak tenilai.

Jelasnya, setiap orang bertanggungjawab dengan nikmat yang dikurniakan. ALLAH SWT akan bertanya apa yang dilakukan dengan umur.

“Mengertilah, hanya kebaikan menjadi aset kita. Di sebalik umur yang ada, laburkan ia dengan kebaikan supaya ia membiak dan memberi manfaat di akhirat.

Baca juga Buat kebaikan tak semestinya dengan sesuatu yang ‘grand’

“Kebaikan dimaksudkan adalah apa sahaja perbuatan yang menepati syariat dan perintah ALLAH SWT serta Rasulullah SAW. “Sebab itulah Saidina Umar RA pernah menyebut supaya kita mengaudit diri sebelum diaudit di akhirat nanti. Ini termasuklah dalam soal pelaburan masa dan umur,” ungkapnya.

Kepada satu soalan, Dr Fauzi menjawab: “Selain bersedekah, menghubungkan silaturahim dan menjadi jiran yang baik antara amalan yang boleh memanjangkan umur seseorang sebagaimana disebut dalam hadis.

MENGHUBUNGKAN silaturahim antara amalan yang boleh ‘memanjangkan’ umur seseorang. -Foto: 123rf

“Cuma dari segi tafsirannya pula, ada ulama menyatakan bahawa usia kita sebenarnya sudah tetap. Tidak akan lewat ataupun dipercepatkan. Maknanya, ia bermaksud keberkatan dalam umur. “Barangkali ALLAH SWT memberikan masa kepada kita. Dalam erti kata lain, kita boleh lakukan banyak perkara walaupun hidup dalam satu tempoh tertentu, berbanding dengan orang lain yang hidupnya lebih lama.

“Sementara itu, sebahagian ulama berpandangan, maksud umur yang berkat adalah disebabkan sebutan yang baik. Mungkin seseorang sudah lama meninggal dunia, tetapi kebaikannya sepanjang hayat menjadi sebutan dan orang sentiasa memujinya seolah-olah dia masih hidup.”

Sesungguhnya, nikmat usia tidak boleh dipersiakan begitu sahaja, malah sesiapa yang mengabaikan kurniaan yang satu itu lebih teruk daripada kematian!

Pernyataan itu sering kali ditekankan oleh ramai ulama, kata Dr Fauzi.

“Ada sebab mereka berhujah sedemikian. Jika diteliti, segala amalan yang dilakukan akan membawa kepada akhirat. Apabila kita mengabaikan usia dengan perbuatan tidak bermanfaat, apa yang akan dibawa ke alam yang kekal abadi kelak?

“Hakikatnya, kematian hanya memutuskan kita dengan dunia, tetapi mengabaikan umur akan membuatkan kita seolah-olah mengetepikan akhirat,” ungkapnya.

Baca juga 4 amalan ini akan memberatkan amalan di akhirat

Sebelum menutup tirai bicaranya, Tokoh Maal Hijrah peringkat Wilayah Persekutuan 1442 Hijrah itu berpesan kepada umat Islam agar konsisten melaburkan usia sebagai aset di akhirat kelak.

“Laburkan umur untuk kebaikan-kebaikan yang akan dibawa apabila menghadap ALLAH.

“Rebutlah masa yang ada untuk melakukan sebanyak mungkin amal sebagai bekalan untuk alam yang kekal buat selama-lamanya,” titipnya.