Browsing Tag

Urus harta

Urus harta
Berita Semasa,

Jom rancang urus harta dan pewarisan bersama MAINS

Jom rancang urus harta dan pewarisan bersama MAINS

HARTA merupakan keperluan asasi kepada manusia. Tanpa harta, seseorang itu sukar untuk meneruskan kelangsungan hidup dan memungkinkan hidupnya menjadi melarat. Tetapi sekiranya seseorang itu memiliki harta, mereka akan dapat menjalani kehidupan dengan baik dan mengecap kebahagiaan.

Umat Islam amatlah digalakkan membuat perancangan dan pengurusan harta kerana dalam rezeki seseorang ada hak orang lain dan setiap manusia perlu mengelakkan dirinya daripada memakan harta secara haram.

Perancangan harta yang bijak mampu memberikan kemudahan dan keselesaan kepada waris atau mereka yang menikmati harta tersebut. Jika tiada perancangan atau tidak diurus dengan bijak, ia akan menimbulkan kesulitan kepada waris-waris terutama dalam keadaan pemilik harta meninggal dunia dan mempunyai liabiliti yang belum dilangsaikan sebelum kematiannya.

Baca juga WAKAF: Hebatnya Erti Memberi

MAINS berperanan menjalankan pengurusan Zakat, Kaunseling, Wakaf dan Mal di Negeri Sembilan secara profesional dan teratur. Sejajar dengan matlamat dan objektif MAINS dalam memantapkan lagi Institusi Pengurusan Harta di Negeri Sembilan supaya dapat membentuk, membina dan menjana sistem ekonomi umat Islam di Malaysia secara amnya dan di Negeri Sembilan secara khususnya agar lebih kukuh dan memberi manfaat kepada semua.

Urus dan rancang agar tidak dibazirkan

Perkhidmatan Mal yang disediakan oleh MAINS adalah melibatkan pengurusan harta Orang Islam khususnya yang merangkumi Pengurusan serta Pelaksanaan Hibah dan Wasiat, Runding Cara Faraid, Pengurusan Tuntutan Harta Pusaka, Penyerahan dan Penyaluran Wang Tidak patuh Syariah, Harta Luqatah (iaitu harta yang dijumpai), Penyerahan Wang Infaq dan Wang Orang Berhutang.

Urus harta

URUS harta bersama MAINS yang menyediakan pengurusan harta orang Islam, merangkumi pengurusan serta pelaksanaan hibah dan wasiat, runding cara faraid, pengurusan tuntutan harta pusaka dan banyak lagi. -Gambar hiasan

Usaha dilaksanakan MAINS bagi pengurusan harta dan perancangan pewarisan amat di tekankan dalam memberi kefahaman konsep pengurusan harta berasaskan syariah dan undang-undang Malaysia serta meningkatkan kemahiran berkenaan kaedah pengendalian harta yang tepat dan efisien.

Harta yang dimiliki pada hari ini seharusnya diurus dan dirancang dengan baik dan sempurna agar ia tidak dibazirkan dan dibelanjakan dengan cara yang bertentangan dengan syarak.

Perancangan harta yang dimaksudkan adalah seseorang itu perlu merancang perjalanan hartanya semasa hidup dan selepas kematiannya. Jadi, seseorang itu boleh menentukan perjalanan hartanya dan kepada siapakah hartanya patut diberikan untuk dimanfaatkan dan perlu memastikan pemberian tersebut sah dari sudut undang-undang terpakai. ALLAH SWT berfirman di dalam Surah al-Kahfi ayat 46 yang bermaksud: “Harta benda dan anak pinak itu ialah perhiasan hidup di dunia; dan amal-amal soleh yang kekal faedahnya itu lebih baik pada sisi Tuhanmu sebagai pahala balasan dan lebih baik sebagai asas yang memberi harapan.

Ayat ini menjelaskan bahawa antara perhiasan di dunia adalah tarikan terhadap lelaki dan perempuan, keinginan untuk berpasangan dan beranak-pinak atau sebagainya. Apa-apa yang disebut sebagai harta.

Baca juga (LIVE) WAKAF : Hebatnya Erti Memberi

Agihan dana secara tepat

Islam telah menentukan beberapa instrumen dalam perancangan harta pusaka iaitu wasiat, faraid, hibah, infaq, wakaf dan sebagainya. Jadi, kita sebagai umat Islam yang berpengetahuan haruslah mula merancang aset dan liabiliti dalam pemilikan kita supaya urusan pusaka selepas kematian dapat diuruskan dengan lancar oleh waris-waris kita selepas kematian.

Urus harta

RANCANGLAH aset dan liabiliti dalam pemilikan kita supaya urusan pusaka selepas kematian dapat diuruskan dengan lancar oleh waris-waris kita selepas kematian. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik

Bagi agihan dana pengurusan harta orang Islam di MAINS telah disalurkan kepada:

  1. Wang Fidyah: Program MAINS CARE melibatkan bantuan makanan tengah hari kepada pelajar penerima rancangan makanan tambahan (RMT) untuk sekolah-sekolah terpilih di Negeri Sembilan.
  2. Wang Tidak Patuh Syariah:Pembinaan gazebo di sekolah dan masjid untuk ruangan menunggu. Selain itu, MAINS turut akan membina tempat ruang rehat dan solat di kawasan peranginan terpilih.

Sehingga Julai 2023 untuk hibah jumlah permohonan ialah 74 pemohon. Manakala wasiat sebanyak 19 permohonan dan bagi faraid sebanyak 156 permohonan.

Peningkatan jumlah ini menjadi sebahagian sasaran utama MAINS agar lebih ramai masyarakat peka terhadap urusan pengurusan harta dan perancangan pewarisan.

Permohonan yang diterima semakin meningkat saban tahun. Ini menunjukkan bahawa masyarakat kita telah ramai membuka mata dalam menyelesaikan isu serta membuat perancangan awal terhadap harta-harta mereka.

Oleh yang demikian, MAINS menyediakan perkhidmatan pengurusan harta orang Islam khususnya kepada seluruh masyarakat di Negeri Sembilan bagi mendapatkan khidmat nasihat dan bantuan yang diuruskan dengan baik dan fi yang rendah.

Untuk maklumat lanjut berkenaan perkhidmatan Mal (pengurusan harta orang Islam) MAINS, layari www.mains.gov.my atau hubungi talian 013-7743662.

***Artikel ditulis oleh Ketua Penolong Pengarah Bahagian Mal, Jabatan Wakaf MAINS, Ahmad Naim Azlan