Browsing Tag

upah dagung

Tukang sembelih
Ibadah,

Haram upah daging kepada tukang sembelih dan orang yang melapah

RAMAI yang memilih untuk mendapatkan khidmat tukang sembelih untuk mengorbankan haiwan korban pada hari raya haji nanti berbanding menyembelihnya sendiri.

Walaupun individu yang berkorban disunatkan berbuat demikian, namun barangkali mereka ada sebab tersendiri untuk tidak melakukannya.

Cuma ada satu perkara yang perlu diingat, tukang sembelih tadi tidak boleh diberikan upah berbentuk daging korban!

Bagaimanapun, andai upah diberikan berbentuk wang yang dibayar daripada duit penganjur sendiri, laman web pic.upm.edu.my menjelaskan, ia diharuskan hukumnya.

Baca juga Boleh Wakilkan Orang Lain Untuk Sembelih Haiwan Korban Sendiri, Tetapi Ini Yang Perlu Kita Tahu

Ia berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abdurrahman bin Abi Laila bahawa Saidina Ali RA berkata: “Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Dan aku dilarang supaya tidak memberi upah kepada penyembelih daripadanya (haiwan korban). Maka untuk upahnya, kami ambilkan dari wang kami sendiri.” (Hadis Riwayat Muslim)

Melihat dalil berkenaan, laman web pic.edu.my menjelaskan, haram seorang penyembelih mengambil sagu hati daripada haiwan korban berkenaan, tetapi dibolehkan jika ia diambil daripada harta penganjur atau orang yang melakukan korban.

Tukang sembelih

MESKIPUN tukang sembelih dan tukang lapah tidak boleh mengambil sagu hati daripada haiwan korban berkenaan, tetapi mereka dibolehkan jika ia diambil daripada harta penganjur atau orang yang melakukan korban. -Foto: Bernama

Perkara sama turut dinukilkan dalam kitab Ma’alim al-Sunan dan al-Minhaj Syarh Sahih Muslim.

“Pihak masjid atau penganjur juga boleh menetapkan harga korban termasuk kos pengurusan yang munasabah kepada mereka yang menyertai ibadah korban di sesuatu tempat.

“Kos pengurusan itu boleh diperuntukkan sebahagiannya kepada tukang sembelih kerana menggunakan kepakarannya dalam urusan tersebut.

“Begitu juga halnya dengan kos-kos yang perlu ditanggung oleh penyembelih seperti pengangkutan dan masa yang telah diperuntukkan,” katanya.

Bagaimanapun, ada kes yang mana terdapat tukang sembelih turut menerima daging korban daripada haiwan yang disembelihnya. Bagaimana pula penilaiannya dalam kes sebegitu?

Jawapan sebenarnya turut bersandarkan kepada hadis yang dikemukakan tadi.

Laman web people.utm.my menjelaskan, andai tukang sembelih tadi diberikan haiwan korban disebabkan faktor kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran dan sebagainya, maka ia dibolehkan. Itu yang dijelaskan dalam Dar al-Fikr, Damsyik.

Baca juga Cara Terbaik Agihkan Daging Korban

Hakikatnya, bukan sekadar tukang sembelih, tetapi juga tukang lapah juga tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil daging korban berkenaan.

Tukang sembelih

ANDAI tukang sembelih diberikan haiwan korban disebabkan faktor kemiskinannya atau sebagai hadiah kerana dia jiran dan sebagainya, maka ia dibolehkan untuk menerimanya. -Foto: Bernama

“Ketahuilah bahawa daging atau apa-apa sahaja dari binatang korban hendaklah disedekahkan kepada yang berhak seperti fakir miskin.

“Memberi daging korban kepada penyembelih, pelapah atau petugas sebagai upah hasil kerja yang mereka lakukan adalah termasuk dalam hukum jual beli, iaitu menjual daging untuk membeli tenaga kerja yang dilarang,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web people.utm.my.

Dalam hal itu, al-Imam al-Syafie dan tokoh-tokoh dalam Mazhab Syafie bersepakat, tidak boleh sedikit pun sembelihan ketika haji dan umrah serta sembelihan korban dijual.

“Ia sama ada korban nazar ataupun sunat. Hal ini termasuklah daging, lemak, kulit, tanduk, bulu dan sebagainya.

“Tidak boleh kulit atau selainnya dijadikan upah untuk penyembelih,” tegas laman web berkenaan.

Meskipun demikian, hadis tersebut bukanlah bermaksud kita dilarang terus daripada memberikan upah kepada tukang sembelih dan tukang lapah.

Baca juga Elakkan mencampur daging korban setelah sembelih, ini penjelasannya

“Cuma ia hanya melibatkan bahagian korban sahaja. Andai melibatkan selainnya seperti wang dan sebagainya yang bukan daripada bahagian korban, maka ia dibolehkan,” katanya.

Tukang sembelih

JIKA upah kepada tukang sembelih melibatkan selain daripada bahagian korban berkenaan seperti wang dan sebagainya, maka ia dibolehkan. -Foto: 123rf

Justeru, laman web berkenaan mengingatkan agar petugas korban tidak sesekali mengambil sendiri bahagian daripada sembelihan tadi sebagai habuan untuk mereka.

“Tidak kiralah dari bahagian mana pun termasuk kaki, kepala, ekor dan lain-lain melainkan yang dihadiahkan oleh orang yang berkorban atau diterima agihan kepada penerima lain yang layak,” katanya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.