Browsing Tag

umur kurniaan ALLAH

Umur
Gaya Hidup, Gaya Hidup,

Umur anugerah dan rahsia ALLAH, jangan alpa dengan nikmat kurniaan-NYA

ISLAM mengajar umatnya memahami bahawa umur merupakan anugerah ALLAH SWT. Malah, setiap fasa kehidupan waima muda mahu pun tua mempunyai tujuan dan nilai yang penting.

Bagaimanapun, masih ada segelintir orang yang menyimpan persepsi ‘orang muda hidup lama, yang tua pergi dulu’.

Baca juga Usah persiakan usia, mengabaikannya lebih teruk daripada kematian

Namun begitu, Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor, Ustazah Nurzahidah Jaapar mengingatkan, perihal usia merupakan urusan dan rahsia ALLAH.

USTAZAH NURZAHIDAH

“Bahkan, umat Islam dituntut sentiasa bersedia dengan jangkaan kematian kerana ia kunci menyuburkan iman,” katanya kepada Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Lantaran itu, beliau berpesan agar setiap Muslim disunatkan mengingati hal-hal kematian dan memohon keampunan-NYA agar ditempatkan dalam kalangan para anbia, siddiqin, syuhada dan solihin.

Baca juga Mengingati mati mengurangkan hasrat duniawi kita. Ketahuilah, sakit bukanlah syarat kepada kematian

“Benar, manusia sentiasa alpa dalam hal itu. Suka atau tidak, kita perlu melakukan perubahan terhadap diri seiring peningkatan usia. “Paling tidak pun, lakukan refleksi diri dengan mengambil ibrah daripada peristiwa Maal Hijrah.

“Sebaik memasuki tahun baharu dalam kalendar Hijriah, maka detik itu menjadi kesempatan melihat kembali pencapaian, kegagalan dan pengalaman belajar sepanjang tahun sebelumnya,” terangnya.

Bersihkan hati, murnikan niat

Bukan itu sahaja, ujar Ustazah Nurzahidah, Maal Hijrah merupakan waktu terbaik membersihkan hati dan memurnikan niat dalam kehidupan.

Pensyarah itu menambah, pertambahan usia sepatutnya mendorong kita memperbaiki sikap, tujuan dan niat dalam semua aspek kehidupan.

“Ia termasuklah perihal ibadah, hubungan sosial dan kehidupan seharian.

“Antara langkah yang boleh diambil untuk meningkatkan kesedaran diri mengenai usia yang dikurniakan oleh ALLAH adalah dengan cara membaca dan memahami al-Quran, menyedari keterbatasan manusia dalam urusan dunia serta menggali ilmu dan bimbingan duniawi, juga ukhrawi,” ungkapnya.

Baca juga Mengapa hati mudah goyah ketika hijrah?

Bagi mendapatkan umur yang berkat, Ustazah Nurzahidah berkongsikan satu doa yang boleh diamalkan. Doa itu berbunyi: “Ya ALLAH, berikanlah aku umur yang panjang dengan kesihatan badan, kesempatan dalam taubat, memanfaatkan rezeki dan beramal soleh dalam kehidupan yang baik.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Umur

BERDOALAH supaya ALLAH SWT memberi keberkatan pada umur kita. -Foto: 123rf

Seperkara lagi, ahli akademik itu mengingatkan, dalam kita melakukan penghijrahan ke arah yang positif, konsistensi dan kesabaran menjadi kunci utama dalam menghadapi cabaran berkenaan.

Oleh itu, katanya, betapa pentingnya seseorang individu untuk menetapkan niat dan azam di sebalik perubahan tersebut, sekali gus menjadi motivasi untuk mereka terus beristiqamah.

“Selain itu, tingkatkan pengetahuan dan ilmu mengenai hukum-hakam agama. Pemahaman yang jelas akan memberi manfaat terhadap transisi dilakukan. Paling penting, cari komuniti dan persekitaran yang betul untuk berubah.

“Satu lagi, jangan lupa untuk berdoa dan melazimkannya bagi meningkatkan keimanan dan ketakwaan kepada-NYA. Selanjutnya, kenali cabaran untuk istiqamah dan mencari solusi menghadapinya.

“Kemudian, semak perkembangan yang dicapai dan kenali perkara yang masih perlu diperbaiki. Akhir sekali, letaklah kebergantungan dan tawakal kita kepada-NYA,” ungkapnya.

ANEKDOT

Tinta ulama tentang ibrah Maal Hijrah berkaitan nikmat usia

Baca juga Fahami Konsep Hijrah Rasulullah

i. Pentingnya memanfaatkan waktu.

Ulama menekankan kepentingan setiap masa dalam kehidupan dengan tidak mensia-siakan waktu yang diberikan dan berusaha mengisi saban hari dengan ibadah, amal soleh dan kebaikan kepada manusia.

ii. Tidak menilai seseorang berdasarkan usia.

Umur

UMUR bukan faktor penentu kemuliaan seseorang kerana ALLAH SWT memandang berdasarkan kepada akhlak, keberkatan amal pengetahuan dan kualiti ibadah. -Foto: 123rf

Para ulama begitu menitik beratkan soal penilaian terhadap seseorang tidak boleh disandarkan semata-mata atas usia.

Ini kerana faktor penentu kemuliaan seseorang pada pandangan ALLAH SWT adalah berdasarkan kepada akhlak, keberkatan amal perbuatan, pengetahuan dan kualiti ibadah.

iii. Menambahkan kesyukuran.

Seharusnya sebagai seorang hamba, kita bersyukur kepada ALLAH SWT atas setiap nikmat umur yang diberikan. Setiap tahun, banyak anugerah berharga yang kita raih.

Ia sepatutnya menjadi kesempatan buat kita untuk memperbaiki diri, mendekatkan diri kepada-NYA dan berbuat kebaikan.

iv. Perbaiki hubungan antara manusia.

Manfaatkanlah usia yang diberikan untuk memperelok hubungan dengan keluar, teman dan masyarakat sekitar. Ketahuilah bahawa berbuat baik, memberi manfaat dan menghindari konflik akan membawa berkat dalam hidup kita.

v. Tetapkan tujuan kehidupan yang bermakna.

Rebutlah peluang Maal Hijrah tahun ini untuk berbuat demikian, di samping memberikan fokus kepada akhirat demi meninggalkan warisan yang baik.

vi. Renungkan kematian sebagai motivasi untuk berhijrah.

Ia menjadi antara cara kita menjalani hidup dengan penuh keimanan dan bertanggungjawab.