Browsing Tag

umat Nabi Muhammad

Balasan dosa
Isu,

Begitu beruntungnya umat Nabi Muhammad SAW, banyak balasan ditangguh hingga kiamat

BERBANDING dengan umat terdahulu, umat Nabi Muhammad SAW begitu istimewa. Masakan tidak, sebahagian besar balasan dosa akan ditangguhkan sehingga hari akhirat kelak.

Mengulas lanjut, pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah menjelaskan, apabila manusia pada zaman lampau melakukan maksiat, mereka terus ditimpakan musibah, bala mahupun bencana.

“Maknanya, di dunia sudah ditimpa azab. Pada hari kiamat nanti pun akan dikenakan balasan.

“Berbeza dengan umat Nabi Muhammad yang mana ALLAH SWT hanya menurunkan balasan sekali-sekala di muka bumi ini. Mudah kata, tak semestinya orang yang berbuat dosa akan dikenakan kafarah di dunia,” katanya ketika dihubungi Sinar Islam Plus baru-baru ini.

Tutur beliau lagi, semua ‘kesengsaraan’ yang dilihat pada mata kasar manusia itu adakalanya merupakan rahmat ALLAH SWT. Ia supaya kita kembali insaf daripada perbuatan dosa yang dilakukan.

Baca juga Ujian bukan untuk merendahkan martabat manusia, tapi mempersiapkan kita dengan kejayaan

ALLAH SWT berfirman: “Telah terlihat kerosakan di darat dan di laut disebabkan oleh perbuatan tangan manusia, ALLAH mahu mereka merasakan sebahagian daripada (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).” (Surah al-Rum, ayat 41)

USTAZ MOHAMAD HADI

Dari satu sudut, Ustaz Mohamad Hadi menjelaskan, kafarah juga merupakan balasan daripada ALLAH SWT atas kekhilafan yang dilakukan.

“Di sebalik hukuman itu, terselit rahmat (kasih sayang). Barangkali jika tiada kafarah, orang itu akan terus-menerus melakukan dosa sampai bila-bila.

Baca juga Kafarah bukan balasan Tuhan, tapi satu bentuk rahmat ALLAH

“Ini dikatakan istidraj iaitu bermacam-macam dosa dilakukan, tetapi ALLAH tetap berikannya kekayaan, rezeki melimpah-ruah, kesenangan, hidup selesa dan sebagainya sehinggakan sampai satu saat nanti dia mati dalam keadaan melakukan dosa,” hurainya panjang lebar.

Baca juga Bila rezeki dan darjat bertambah, tapi ibadah ditinggalkan… Berhati-hatilah, itu tanda istidraj

Pendek kata, kafarah itu merupakan satu bentuk peringatan daripada YANG MAHA ESA, ungkapnya.

“Lazimnya, orang yang dikenakan kafarah di dunia ialah mereka yang derhaka kepada ibu bapa. Boleh jadi hidupnya tidak berkat dan melarat asbab perbuatannya itu.

“Barangkali juga anaknya menderhaka kepadanya sebab balasan dosa yang dilakukan kepada orang tuanya. Sebab itulah kita diharamkan sama sekali menderhaka kepada insan yang melahir, mendidik dan membesarkan kita.

Baca juga Anak Derhaka Tak Layak Cium Bau Syurga! Ini Yang Perlu Diketahui

“Selain itu, dosa berbuat zalim dengan orang lain juga antara maksiat yang mengundang hukuman di dunia lagi. Takutlah kita kepada doa orang yang dizalimi kerana doanya tiada hijab dengan ALLAH SWT,” ujarnya.

Balasan dosa

INGATLAH, balasan dosa menderhaka kepada ibu bapa akan ‘dibayar’ ALLAH SWT di dunia lagi. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Justeru, beliau mengingatkan kita agar tidak mengundang kemurkaan ALLAH SWT.

“DIA boleh timpakan apa sahaja yang dikehendaki-NYA. Itu jika di dunia. Bayangkan andai kita tidak bertaubat di muka bumi ini, pastinya pada hari akhirat kelak, lagi teruk balasan dikenakan,” jelasnya.

Bersyukur atas qada dan qadar

Meskipun ALLAH menurunkan ‘balasan buruk’, namun Ustaz Mohamad Hadi mengingatkan, ia tidak akan jadi penghapus dosa andai kita tidak reda dan sabar menerimanya.

Demikianlah syarat utama yang menggugurkan noda, ungkapnya.

Jelas beliau, terdapat empat tingkatan manusia apabila menghadapi musibah seperti kafarah tersebut sebagaimana dinyatakan oleh Syeikh Muhammad bin Shalih al-Utsaimin:

  1. Marah – Hukumnya haram dan termasuk dalam dosa besar.
  2. Bersabar – Ini merupakan perkara yang wajib ada pada kita.
  3. Reda – Keadaan yang mana seorang Muslim menerima ujian tersebut dan tidak berasa berat dengannya.
  4. Bersyukur – Seseorang itu berasa sebegitu kerana menganggap musibah yang diturunkan itu boleh meningkatkan kebaikan dan kecintaan-NYA kepada ALLAH, selain meraih keampunan-NYA.

Melihat kepada fakta berkenaan, pendakwah itu menitipkan pesan agar kita bersyukur atas qada dan qadar yang ditentukan oleh-NYA. Ia sebagaimana dilakukan oleh Rasulullah SAW. Aisyah RA berkata bahawa: “Rasulullah SAW apabila menyaksikan hal-hal yang disukai (menyenangkan), maka baginda mengucapkan ‘Alhamdulillahil lazi bini’matihi tatimmus solihat’ (Segala puji bagi ALLAH dengan nikmat-NYA, sempurnalah segala kebaikan). Sedangkan apabila baginda menyaksikan hal-hal yang tidak menyenangkan, maka baginda mengucapkan ‘Alhamdulillah ‘ala kulli hal (Segala puji bagi ALLAH atas setiap keadaan).” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Baca juga Puji ALLAH saat senang dan ketika diuji dengan musibah

Baik dalam keadaan menyenangkan mahupun kesukaran, agamawan itu mengingatkan, semua itu adalah daripada ALLAH SWT.

“Maknanya, kita ambil yang positif, ‘ALLAH tegur dan marah aku, jadi aku kena kembali kepada-NYA dan berhenti berbuat dosa’.

“Kita sedar bahawa diri yang berdosa dan tidak marah atas apa yang berlaku serta menyalahi sesiapa,” ungkapnya.

Benarkah orang yang kena kafarah di dunia tidak akan ditimpa balasan lagi di akhirat kelak?

Menjawab persoalan itu, Ustaz Mohamad Hadi lantas menidakkannya. Sebaliknya beliau menjelaskan, selagi seseorang itu tidak bertaubat daripada dosa-dosanya, maka selama itulah dosa-dosanya tidak akan ‘terangkat’.

“Andai pelakunya bertaubat, hukumannya di akhirat kelak akan diangkat. Bagaimanapun, jika di dunia pun dia tidak kembali kepada ALLAH, bukan sahaja di muka bumi ini dia kena (kafarah), pada hari kiamat juga tidak akan terlepas.

“Ia sepertimana Firaun. Walaupun telah dihukum di dunia, pada hari akhirat nanti, dia tetap akan mendapat balasan,” terangnya.

Begitupun, andai ia melibatkan dosa membabitkan hukuman Islam seperti hudud, Ustaz Mohamad Hadi menjelaskan, mereka tidak akan dikenakan balasan lagi di akhirat.

Balasan dosa

MESKIPUN seseorang sudah dikenakan kafarah di dunia, tetapi balasan dosa tetap akan dihitung pada hari akhirat kelak andai kita tidak bertaubat atas kesalahan yang dilakukan. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

“Sebagai contoh, jika seseorang disahkan mencuri dan dikenakan hukuman potong tangan, maka dosa mencuri itu tadi tidak lagi dihisab pada hari akhirat kelak.

“Ini kerana dia telah dihukum dengan hukuman dunia berdasarkan hukum Islam. Namun, ia tidak terpakai jika melibatkan hukuman sivil,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.