Browsing Tag

uae

t_213444327ad34a478ccfe9cafe0d6556_name_CW_0707_UAEAstronauts_19_scaled
Gaya Hidup, Jendela Dunia, Personaliti, Pilihan Editor,

Nora, Angkasawan Wanita Pertama Dunia Arab

no comment

DUA angkasawan baharu Emiriah Arab Bersatu (UAE) termasuk seorang wanita Arab pertama diperkenalkan pada sidang media yang berlangsung di Dubai, Rabu lalu.

Nora Al Matrooshi, 28 (kanan) dan Mohammed Al Mulla, 33 perlu menjalani latihan 30 bulan sebelum mendapat izin untuk berlepas ke angkasa lepas. Gambar: Bergaag.

Nora Al Matrooshi, 28, dan Mohammed Al Mulla, 33, secara rasmi terpilih sebagai anggota terbaharu Pertubuhan Angkasa negara itu.

Pengumuman itu dibuat Timbalan Presiden dan Penguasa Dubai, Sheikh Mohammed Rashid yang menyebut bahawa pasangan itu bakal mengharumkan nama UAE di ‘langit’.

Kedua-duanya sekarang ditempatkan sebaris dengan rakan sekerja Hazza Al Mansouri, warga UAE pertama yang pernah sampai ke angkasa bersama Sultan Al Neyadi.

Hazza Al Mansouri. Gambar: SpaceWatch.Global

Nora dan Mohammed dipilih daripada 4,305 permohonan di mana 1,400 daripadanya adalah wanita.

Bagi Nora Al Matrooshi, pemilihannya dianggap sebagai batu loncatan mewakili golongan wanita dari negaranya kerana berjaya terpilih sekali gus mereaalisasikan impiannya sejak kecil.

“Saya mula mengimpikan menjadi angkasawan sejak kecil ketika guru tadika meminta saya membina khemah dan membayangkan ia sebuah kapal angkasa untuk membawa kami ke bulan. Sejak itu saya menyimpan minat yang mendalam untuk menjadi seorang angkasawan.

Nora memasang impian untuk bergelar angkasawan sejak dia berada di pra-sekolah. Gambar: Sawt Beirut International.

“Walaupun saya bekerja di lapangan minyak dan gas selama beberapa tahun, namun impian untuk menjadi angkasawan tidak pernah hilang. Ini adalah satu peluang yang bakal mengubah kehidupan saya.

“Impian sejak kecil kini menjadi kenyataan. Sekarang saya semakin berani untuk bermimpi lebih jauh,” katanya.

Agensi angkasa lepas semakin terbuka berkenaan hal kesamarataan jantina dalam sektor angkasa, di mana sebelum ini ia lebih dominasi kaum lelaki sejak awal penerokaan angkasa lepas pada tahun 1960-an.

Sehingga tahun 2020, lebih 550 angkasawan telah dihantar ke angkasa lepas, namun hanya 65 orang daripadanya adalah wanita.

Pemilihan dua angkasawan baharu adalah cerminan fokus UAE pada peluang kesamarataan bagi wanita.

Mohammed Al Mulla (kiri) mendapat gelaran juruterbang termuda UAE. Gambar: sawahpress.com

Mohammed Al Mulla yang turut melakar sejarah negara Arab, adalah juruterbang termuda yang berkhidmat sebagai anggota Polis Dubai dan telah menerbangkan helikopter selama beberapa tahun.

Dia juga seperti Nora tidak sabar untuk menjadi sebahagian daripada pasukan angkasa UAE.

“Terpilih sebagai pelatih angkasawan adalah satu tanggungjawab besar. Saya dan Nora bersama-sama akan memastikan nama baik negara dijaga sebaik mungkin. Dan kami akan bekerja kuat bersama barisan angkasawan pertama lain untuk memastikan kita memiliki kumpulan yang hebat,” jelasnya.

Bilakah Nora Al Matrooshi layak ke angkasa?

Kedua angkasawan itu akan menjalani latihan intensif, sebelum layak mengukir nama dalam sejarah sebaris Hazza Al Mansouri, di mana beliau telah menghabiskan lapan hari di Stesen Angkasa Antarabangsa pada September 2019.

Ketua Program Angkasawan UAE, Salem Al Marri, berkata mereka berdua perlu melengkapkan latihannya selama 30 bulan sebelum dipertimbangkan untuk misi ke angkasa lepas.

Al Neyadi dan Maj Al Mansouri adalah pesaing bagi Nora dan Mohammed. Gambar: Esquire Middle East.

Sehingga kini, Al Neyadi dan Maj Al Mansouri adalah pesaing utama untuk pelepasan angkasawan dalam masa terdekat.

“Nora bakal berlepas dalam dekad ini sebaik tamat latihan. Namun yang lebih penting mesti lulus latihan dan dia layak untuk berlepas ke angkasa.

“Jika kita mendapat misi penerbangan lebih awal dalam tahun terdekat, kita akan memilih calon sedia ada iaitu Hazza dan Sultan. Sekiranya penerbangan itu lebih lewat, maka kita akan mempunyai empat calon sedia ada,” kata Al Marri.

Sumber: The National New

AFP_9D67FN
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Kedutaan Britain di UAE Kibar Bendera LGBT + Dapat Kecaman

no comment

KEDUTAAN Besar Britain di Emiriah Arab Bersatu (UAE) mendapat kecaman di media sosial selepas bertindak mengibarkan bendera pelangi di kediaman Duta Besarnya di Abu Dhabi sebagai memperingati Bulan Pride.

Walaupun sentiasa berusaha untuk dilihat sebagai suara Islam liberal di Timur Tengah, UAE masih menganggap homoseksual satu jenayah.

Ketika Kedutaan Besar Britain di UAE kelmarin, menyuarakan sokongannya terhadap hak LGBT + di media sosial yang disertakan gambar bendera pelangi dari kediamannya di samping bendera Union Jack, tindakan itu mendapat kritikan negatif.

Ratusan komen dari warga UAE konservatif menolak tindakan itu sebagai tidak dapat diterima, tidak sopan, menghina dan rasis, serta ramai yang mendesak kedutaan untuk segera menurunkan bendera itu.

Bendera LGBT+ di hadapan Kedutaan Besar Britain di UAE undang provokasi. Gambar: AFP/Getty Images

Ramai yang mengatakan bahawa ia bertentangan dengan Islam dan orang Inggeris cuba memaksakan pandangan mereka ke negara lain. Satu komen menyamakan langkah itu jika sebuah konsulat Britain di UK “menaikkan bendera swastika”. Sebilangan kecil yang menyokong tindakan kedutaan Britain itu hanyalah adalah ekspatriat dari negara Barat.

Walaupun terdapat penentangan yang keras terhadap sokongan secara terang terhadap hak LGBT+, beberapa penganalisis Emirat percaya langkah itu dilakukan ketika UAE bersiap untuk melucutkan status jenayah terhadap homoseksual.

Menurut sumber kerajaan, homoseksual diharapkan dapat dilucutkan sebagai perbuatan jenayah sebelum akhir tahun ini sebelum berlangsungnya Expo 2020 Dubai yang akan bermula pada bulan Oktober depan.

Sumber itu mengatakan kerajaan sering ‘memasang umpan’ membayangkan kemungkinan berlaku perubahan undang-undang untuk mengukur reaksi penduduk setempat.

Abdulkhaleq Abdulla. Gambar: Middle East Monitor

Saintis politik Emirat, Abdulkhaleq Abdulla memahami bahawa kedutaan telah meminta izin untuk mengibarkan bendera sebagai menunjukkan solidariti kepada masyarakat LGBT +.

“Mereka memang telah memaklumkan kepada Kementerian Luar Negeri dan Kerjasama Internasional. Katanya sebagai sokongan kepada hak LGBT +. Saya rasa jawapannya adalah lebih baik anda tidak melakukannya, tetapi ini adalah hak kedaulatan anda, oleh itu, mereka tidak mendapat lampu hijau, tetapi saya rasa mereka mendapat lampu kuning,” katanya.

Abdulla melabelkan tindakan kedutaan itu sebagai tidak sensitif dan sengaja memprovokasi. Namun, beliau mengatakan bahawa pandangan negatif datang dari masyarakat Emirat yang paling konservatif mewakili sekitar satu pertiga daripada keseluruhan populasi.

“Seramai 60 peratus rakyat tidak peduli mengenainya, sama ada orang Inggeris memasang bendera Pelangi atau tidak. Ini datang dari minoriti suara dan bukannya dari majoriti yang berdiam diri,” katanya.

Kedutaan Amerika Syarikat juga mengibarkan bendera pelangi di Abu Dhabi tahun ini, tetapi tidak mendapat kritikan yang sama.

Abdulla percaya menghalalkan homoseksual mungkin suatu permulaan yang sedang dalam proses.

“UAE adalah liberal seperti mana-mana negara dan kerajaan mungkin akan mencari masa yang tepat untuk mengatakan, semua orang yang ingin menjadi homoseksual, itu terpulang kepada anda. Saya tidak akan mendesak, sesuai dengan perkahwinan, tetapi jika anda ingin mempraktikkannya, teruskan dan jadilah tamu saya,” katanya lagi.

Undang-undang berhubung pemakaian pakaian berlainan jantna atau cross-dressing yang dilulus UAE baru-baru ini, dilihat sebagai langkah pertama dalam proses memberi hak kepada kelompok LGBT +.

Negara itu tanpa banyak publisiti meminda undang-undang terbabit pada lewat 2020, dalam pada membuat rombakan undang-undang termasuk tidak lagi menganggap sebagai jenayah kegiatan minum arak, bunuh diri dan bersekedudukan.

Ia kini hanya menjadi jenayah jika seseorang memakai pakaian berlainan jantina dengan tujuan memasuki tandas wanita.

“Ini adalah negara yang sangat revolusioner dibandingkan dengan sekitarnya. Perkara yang telah dilakukan oleh UAE adalah perintis dan merupakan keputusan yang tidak disukai oleh banyak negara di sekitar kita.

“Dunia sedang berubah, dan emirat hari ini bukan emirat semalam. UAE mesti menyesuaikan diri dengan perubahan,” katanya.

Sumber Teks dan Gambar: Independent.co.uk

Middle East Monitor
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Israel lebar Siaran Berita Swasta ke UAE, pengaruhi Minda Arab

no comment

SALURAN televisyen Israel i24news, bakal beroperasi dari Dubai, perkembangan yang dilihat sebagai satu usaha untuk mempengaruhi minda penonton di dunia Arab.

Penganalisis politik Palestin, Yousef Alhelou. Gambar: Green Left

Penganalisis politik Palestin, Yousef Alhelou berkata, langkah itu secara kasar dilihat sebagai tindakan untuk mengeratkan hubungan diplomatik di antara Israel dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Namun, ia lebih daripada itu.

“Dubai adalah bandar antarabangsa dan menjadi pusat media. Mempunyai pejabat di sana akan memastikan Israel mempunyai suara dalam dunia Arab, ”kata Yousef.

Dubai Media Incorporated (DMI), organisasi media dimiliki penuh oleh kerjaan UAE, sudah memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan i24News.

Di bawah MoU itu, i24news and kumpulan Dubai itu akan berkerjasama dalam beberapa bidang termasuk teknologi media sehingga kepada pembangunan kandungan.

Kedua-dua entiti itu akan dihubungi melalui talian optik yang digelar “Fibre of Peace” yang akan membolehkan perkongsian maklumat di antara negara teluk itu dengan Israel.

Profesor Hubungan Antarabangsa di Universiti Timur di Republik Turki Cyprus Utara, Zeliha Khasman, berkata Israel dan UAE telah mula bekerjasama dalam semua bidang.

“Media adalah sektor yang penting untuk tujuan ekonomi dan politik, malah akan membantu Israel mengembangkan ‘imej positif’ mereka ke seluruh negara Arab,” katanya.

I24news Israel akan menyiarkan kandungan siarannya di dalam bahasa Arab, Inggeris dan Perancis melalui dua pengendali rangkaian telekomunikasi UAE iaitu Etisalat dan DU.

“Penubuhan pejabat kami di Dubai Media City memberi platform strategik untuk memperluas liputan Timur Tengah kami dari pusat hub industri media di rantau ini,” kata Frank Melloul, ketua eksekutif i24News.

Israel mahu suara mereka mempengaruhi minda masyarakat Arab.

Menurut Yousef, pembukaan pejabat di Dubai untuk i24news akan memberi Israel peluang menyebarkan naratif rejim zionis ke negara Arab.

“Ia akan memiliki kesempatan untuk mempertahankan diri berhubung isu Palestin. Dengan pejabat media baru ini, Israel juga akan memiliki kesempatan untuk membangun hubungan UAE-Israel dan mempengaruhi negara-negara Arab lain untuk berdamai dengan Tel Aviv,” katanya.

Khasman pula berkata: “Israel mahu menguasai seluruh muka bumi Arab, seperti yang dilakukan dengan UAE.

“Walaupun normalisasi hubungan Arab-Israel sangat mudah dilakukan di UAE, namun ia sangat sukar bagi Israel untuk melalui proses ini di wilayah Arab lain, terutama dengan negara jirannya.

“Tetapi dengan menggunakan pendekatan melalui kumpulan media seperti i24news dan UAE, Israel akan mempunyai peluang untuk menembusi dunia Arab.

“i24news dan Abu Dhabi Media Group juga telah menandatangani perjanjian kerjasama pada bulan Disember, berjanji untuk berkolaborasi dalam bidang seperti produksi kandungan, industri filem dan pendidikan.

“Kerjasama seperti itu dapat membentuk dunia Arab yang lebih moderat terhadap Israel dalam jangka panjang,” kata Khasman.

Saluran i24 News akan melakukan perkongsian maklumat di antara negara teluk itu dengan Israel. Gambar: Arab News.

Saluran i24News dimiliki jutawan Yahudi kelahiran Maghribi, Patrick Drahi. Beliau juga adalah pemilik syarikat telekomunikasi multinasional Altice dan memiliki empat kewarganegaraan iaitu Perancis, Israel, Maghribi dan Portugis.

Bagaimana normalisasi hubungan berjalan

Serangan Israel terhadap Gaza baru-baru ini menojolkan kerapuhan agenda untuk mencapai normalisasi hubungan di antara Israel dan dunia Arab.

Putera Makhota UAE, Mohammed Bin Zayed (MBZ) -walaupun sudah menjalin hubungan dengan Tel Aviv- jelas tidak mempunyai pengaruh ke atas rejim zionis itu untuk menghentikan keganasan terhadap Palestin.

“Mungkin ada rundingan menerusi panggilan dibuat antara pegawai Israel dan UAE untuk mengurangkan ketegangan (tetapi ia jelas tidak berhasil).

“Bagaimanapun, apa sahaja yang berlaku di wilayah Palestin yang dijajah tidak akan membatalkan perjanjian jalin hubungan di antara Israel dan UAE,” kata Yousef.

Walaupun hakikatnya rakyat Palestin masih tetap mendapat perhatian sebahagian besar masyarakat Barat dan dunia, namun di UAE penderitaan rakyat Palestin tidak lagi mendapat simpati.

“Oleh kerana tidak ada perang atau konflik lain dengan Israel, normalisasi berjalan tanpa masalah. UAE mengikut dasar yang sangat pragmatik,” kata Khasman yang merujuk kepada pembinaan kuil
Yahudi dan pembukaan restoran kosher di seluruh UAE.

Yousef berkata sebelum perjanjian terjalin di antara UAE dan Israel, delegasi masing-masing saling berbalas kunjungan untuk mempromosi perjanjian normalisasi hubungan ini. Namun ketika delegasi UAE datang ke wilayah-wilayah yang diduduki di Palestin, mereka hanya mengunjungi bandar-bandar dijajah Yahudi dan bukan bandar Palestin.

“Mereka tidak mendengar suara rakyat Palestin. Sudah tentu orang Palestin marah dengan tindakan ini kerana mereka mengharapkan negara Arab seperti UAE harus mendengarkan dan menyokong mereka serta memberi tekanan kepada Israel.

“UAE harus menggunakan pengaruhnya untuk menekan Israel agar menghormati hak asasi manusia dan membolehkan rakyat Palestin memiliki negara bebas mereka sendiri”.

“Tetapi dengan memulihkan hubungan dengan Israel, UAE hanya membantu Tel Aviv untuk terus menindas rakyat Palestin.
Bagi rakyat Palestin, UAE tidak ubah seperti ‘menikam dari belakang’,” katanya Yousef dengan nada kecewa.

Sumber: TRT World

Republika
Berita Semasa, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Sentimen Generasi Muda Arab masih Tebal memihak kepada Palestin

no comment

SOKONGAN dipamerkan jutaan generasi muda Arab yang rata-rata mengutuk serangan Israel terhadap Gaza bulan lalu, membuktikan sentimen pro Palestin masih tebal di Asia Barat.

Ia sekali gus menyangkal naratif bahawa golongan muda Arab tidak hirau lagi kepada nasib rakyat Palestin dan juga menyukarkan usaha Israel untuk meluaskan jalinan hubungan dengan lebih banyak lagi negara Arab.

Putera Mahkota Abu Dhabi, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan mengiringi Bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump ketika berkunjung ke UAE tahun lalu. Gambar: Middle East Eye

Tahun lalu, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) telah menjalin hubungan diplomatik dengan Tel Aviv dalam langkah yang dirancang oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Perkembangan itu diikuti dengan Bahrain, Maghribi dan Sudan yang masing-masing turut bersetuju menjalin hubungan diplomatik dengan Israel.

Namun pertempuran terbaharu bulan lalu mungkin membantutkan agenda AS-Israel ini.

Penganalisis Politik Arab, Sami Hamdi. Gambar: aHaber

“Peperangan yang berlaku di antara Israel dan Hamas baru-baru ini menunjukkan bahawa UAE tidak sewenang-wenangnya dan tidak berkuasa untuk menghentikan pencerobohan Israel dan membela nasbi rakyat Palestin,” kata Penganalisis Politik Arab, Sami Hamdi kepada TRT World.

Berjuta aktivis muda Palestin termasuk pelajar dari seluruh dunia mengadakan demonstrasi jalanan dan mengutuk kekejaman Israel dan menerusi media sosial membantah pencerobohan rejim Zionis sejak bulan lalu.

Dalam tempoh 11 hari bulan lalu, tentera Israel melepaskan ribuan peluru berpandu ke arah wilayah Palestin khususnya di Gaza hingga membunuh 256 orang Palestin, termasuk 66 kanak-kanak. Sekurang-kurangnya 72,000 orang Palestin cedera ketika serangan itu.

“UAE tampak kurang berpengaruh di mata penduduk Arab sejak menjalinkan hubungan diplomatik dengan Israel,” kata Hamdi, yang juga ketua Kepentingan Antarabangsa, Kumpulan Analisis Risiko Politik.

“Aspirasi serantau UAE telah menghadapi beberapa kegagalan tahun lalu, terutama di Yaman hingga memaksa mereka membawa pulang tenteranya.

“Sebelum konflik berlaku antara kumpulan Israel dan Hamas, UAE masih mempunyai pengaruh di wilayah Yaman hingga ke Libya, tapi itu mungkin akan berubah selepas ini, kata Hamdi.

Emiriyah telah menyokong agenda Trump dengan harapan orang Palestin dapat dipujuk dengan insentif kewangan.

Dalam beberapa bulan kebelakangan ini, gambar-gambar orang Israel menghiasi media sosial dari UAE dan menjadi viral. Sebilangan pelayar internet mengatakan generasi baharu Arab seolah tidak lagi berminat dengan perjuangan Palestin.

Prof Dr. Sami al Arian. Gambar: Tampa Bay Times/ZUMAPRESS.com)

Tidak ada yang lebih jauh dari kebenaran.

Seorang Profesor Palestin-Amerika yang terkenal, Sami al Arian berkata penentangan Palestin terhadap pencerobohan Israel telah membimbangkan UAE, kerana ia akan menghindar negara-negara Teluk lain memulihkan hubungan dengan Israel.

“Sikap berlembut yang diambil terhadap Israel tidak disokong oleh rakyat mereka sendiri,” kata Arian kepada TRT World.

Walaupun ada kelebihan ketenteraan yang disokong oleh bantuan Amerika Syarikat dengan sumbangan bernilai berjuta dolar, Israel tidak dapat menindas kumpulan penentang Palestin.

“Itu telah menyebabkan lebih ramai masyarakat di dunia Arab mempersoalkan rasionalisasi mengadakan normalisasi hubungan dengan Israel, kata Arian.

Seorang lelaki Emirat, yang memakai topeng pelindung dengan bendera Amerika, Israel dan Emirati, melihat kedatangan delegasi AS dan Israel di Abu Dhabi, 31 Ogos 2020. (Christopher Pike / Arkib Reuters)

Mitos normalisasi

Hamdi pula berkata, sebelum ini ada yang melihat normalisasi hubungan UAE dengan Israel sebagai usaha yang boleh membawa kedamaian segera di rantau itu. Namun pandangan itu kini terbukti satu mitos.

Pakar penganalisis itu berkata konflik terbaharu membuktikan tidak wujud jurang pandangan antara penduduk Arab generasi baharu dan lama yang rata-rata pro Palestin.

“Naratif yang menyatakan generasi muda tidak lagi menghirau nasib rakyat Palestin adalah mitos sama sekali,” katanya.

Bahkan orang yang dekat dengan pemerintah UAE, seperti Abdul Khaleq Abdulla, seorang profesor sains politik yang berpusat di UAE, memberi amaran mengenai bahaya kehilangan sokongan popular dalam isu Palestin.

Dalam ciapan tweetnya, Abdulla mengatakan Abu Dhabi memerlukan usaha untuk memenangkan pendapat masyarakat Arab dengan agenda Emiriyah yang moden, meyakinkan dan berpengaruh.

Menurut Hamdi, walaupun ada desakan untuk mempromosikan agenda normalisasi, perjuangan Palestin masih memiliki sokongan berdasarkan naratifnya sendiri di media sosial.

“Penyokong kuat Palestin telah membuktikan bahawa naratif orang Arab tidak lagi berminat dengan Palestin hanya sekadar mitos,” kata Hamdi.

Sumber: TRT World