SEBANYAK 86 peratus kandungan anti-Muslim di Twitter berasal dari tiga negara iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan India antara tahun 2017 hingga 2019.
Kandungan yang disifatkan berniat jahat itu dikatakan membawa kepada serangan fizikal terhadap orang Islam dan masjid.
Demikian pendedahan terbaharu hasil kajian yang dilakukan oleh penyelidik Majlis Islam Victoria (IVC), badan Islam tertinggi di Victoria, Australia baru-baru ini sebagaimana dilaporkan oleh portal berita TRT World.
Menerusi penelitian dari tiga negara pengeluar tersebut, tema utama seperti persatuan Islam dengan keganasan, gambaran umat Islam sebagai pelaku keganasan seksual, konspirasi dakwaan palsu bahawa pendatang Islam menggantikan kulit putih di Barat dan golongan Hindu di India serta perincian halal sebagai amalan tidak berperikemanusiaan begitu jelas menstereotaipkan apa yang dipanggil ‘kebiadaban’ Islam.
“Lebih membimbangkan adalah penemuan kami bahawa hanya 14.83 peratus tweet anti-Muslim dialih keluar,” kata penyelidik sepertimana dipetik menerusi trtworld.com.
Dalam kajian tersebut, ICV menyatakan, kitaran ganas kebencian nyata wujud dalam kedua-dua serangan sama ada secara dalam talian mahupun di luar talian terhadap komuniti di seluruh dunia.
“Pengguna India sahaja menghasilkan lebih separuh daripada siaran yang penuh dengan kebencian dan menyakitkan hati. Parti pemerintah India, Parti Bharatiya Janata (BJP) menyebarkan dan menguatkan kebencian anti-Muslim dengan menyatakan ‘BJP telah secara aktif menormalkan kebencian terhadap umat Islam sehingga 55.12 peratus daripada anti-Muslim’.
Baca juga Umat Islam kurang diwakili dalam televisyen walaupun membentuk satu perempat populasi dunia
“ICV juga merujuk kepada undang-undang diskriminasi yang menafikan kewarganegaraan orang Islam dan hak sivil lain untuk peningkatan kebencian anti-Muslim dalam talian dalam kalangan akaun Twitter India,” kata penyelidik berkenaan.
Teori konspirasi anti-Muslim
Sementara itu, di AS pula, ICV menjelaskan, percambahan kebencian anti-Muslim di laman sosial Twitter hampir tidak dapat dipisahkan daripada retorik dan dasar kebencian bekas presiden, Donald Trump yang menduduki tempat ketiga paling kerap disebut oleh pengguna menerusi ciapan anti-Muslim.
“Banyak tweet yang dikaitkan dengan mempertahankan larangan imigresen Muslim dan teori konspirasi anti-Muslim termasuk yang mendakwa Demokrat bekerjasama dengan Islamis untuk mengambil alih Barat.
“Berbeza pula dengan UK, kelaziman tweet berkaitan kebencian Muslim itu berkait dengan pelbagai faktor. Antaranya jangkauan global kebencian anti-Muslim Trump, sentimen anti-imigresen yang dicetuskan oleh krisis pelarian, wacana mengenai Braxit, bersama dengan perkauman biasa bekas Perdana Menteri, Boris Johnson yang pernah membandingkan wanita Islam berniqab dengan kotak surat,” kata penyelidik ICV.
Baca juga Konflik 74 tahun dua negara bertelagah yang tiada penghujung
Memetik laporan portal The Quint, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pernah menyatakan kebimbangan bahawa kebencian anti-Muslim telah mencapau ‘perkadaran wabak’.
“Pada tahun 2021, PBB menggesa sekeras-kerasnya agar masyarakat global ‘mengambil semua langkah yang perlu’ untuk memerangi diskriminasi terhadap umat Islam.
“Mereka juga telah meminta masyarakat untuk ‘melarang sebarang advokasi kebencian agama yang menjadi hasutan kepada keganasan’,” kata portal berkenaan.
Malangnya, syarikat media sosial masih belum mengeluarkan kandungan anti-Muslim daripada platform mereka.
Tindakan itu, menurut thequint.com, ia telah membawa impak buruk ke atas komuniti Muslim di seluruh dunia apabila Twitter menjadi sumber utama percambahan dan peningkatan kebencian terhadap Muslim.