Browsing Tag

Tunaikan janji

Tunaikan janji
Isu,

Peringatan untuk para YB, tunaikan janji yang ditabur agar tidak tergolong dalam kelompok munafik

Peringatan untuk para YB, tunaikan janji yang ditabur agar tidak tergolong dalam kelompok munafik

SERING kali kita mendengar ungkapan ‘janji Melayu’. Biasanya frasa ini membawa kepada maksud yang negatif iaitu merujuk kepada janji yang tidak ditepati. Mengapakah terjadi sedemikian?

Benarkah masyarakat Melayu merupakan masyarakat yang sukar atau tidak suka menepati janji? Sehubungan itu, pepatah Melayu yang mengatakan `bagai menanam tebu di tepi bibir’ hendaklah diambil perhatian kerana ia merujuk kepada orang yang suka menabur janji tetapi tidak suka menunaikannya.

Terdapat dalam kalangan masyarakat Malaysia pada hari ini memang mudah menabur janji. Persoalannya sejauh mana janji itu ditepati?

Apatah lagi sebagai orang Timur yang dididik dengan ajaran Islam dan moral yang murni, sudah dimaklumi bahawa memungkiri janji adalah suatu dosa besar dan perbuatan itu bukan sahaja menghakis adat budaya tetapi mencemar kesucian Islam!

Baca juga Menipu anak kecil, dosa yang sering dilakukan tanpa sedar

Pemimpin seringkali menabur janji manis kepada rakyat tetapi hujungnya ia tidak ditunaikan. Ahli politik pula berusaha menarik khalayak dengan pelbagai janji yang sebahagiannya tidak mampu dilaksanakan.

Tunaikan janji

USAH sewenang-wenangnya menaburkan janji andai tidak mampu melunaskannya. Sebaiknya, tunaikanlah janji berkenaan. -Gambar hiasan

Penjual tiket bas berjanji kepada pembeli bahawa bas akan bertolak tepat pada waktunya, tetapi apabila tiba masanya bas masih tidak bertolak dan kadangkala lewat sejam atau setengah jam daripada waktu yang sepatutnya. Begitulah pelbagai ragam janji dalam masyarakat kita yang amat memalukan!

Usah sewenangnya menabur janji

Janji merupakan suatu perkara yang amat dipandang serius dalam Islam. Menepati janji adalah tuntutan syarak sebagaimana firman

ALLAH SWT dalam Surah al-Israk ayat 34 yang bermaksud: “Dan sempurnakanlah perjanjian (dengan ALLAH dan dengan manusia).

Sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya”.

Ayat ini memperingatkan bahawa hidup manusia di dunia ini selalu terikat dengan janji.

Oleh itu, jangan mudah kita membuat janji sekiranya ia dijangka sukar dipenuhi apatah lagi sememangnya untuk dimungkiri. Apabila seseorang berjanji, ia wajib menunaikannya. Perbuatan mungkir janji bukan sahaja mengundang dosa dan kemurkaan ALLAH, bahkan akan turut menyusahkan orang lain.

Baca juga Abaikan amanah dilabel munafik dan tidak sempurna iman

Mungkir janji atau sengaja tidak mahu mengotakan janji akan mendapat dosa dan balasan seksa di akhirat. Individu sebegini dikategorikan dalam golongan yang beramal dengan sifat orang munafik.

Ia ditegaskan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis riwayat Imam Muslim yang bermaksud: “Di antara tanda-tanda orang munafik itu ada tiga, iaitu jika bercakap ia berbohong. Apabila berjanji ia memungkiri janji itu, dan sekiranya diberikan amanah ia mengkhianatinya.”

Tunaikan janji

ANDAI seseorang tidak tunaikan janji dan pernah berazam menyempurnakannya, tetapi terhalang oleh sesuatu keuzuran hingga ia tidak boleh dilunaskan, mereka tidaklah termasuk dalam golongan munafik..

Bagaimanapun, orang yang berjanji dan berazam menyempurnakan janji, tetapi terhalang oleh keuzuran yang menyebabkan janji tersebut tidak mampu dilaksanakan, ia tidaklah termasuk dalam golongan munafik.

Ayat al-Quran pula dengan tegas memerintahkan umat Islam supaya menunaikan janji apabila mereka berjanji menerusi firman ALLAH dalam Surah al-Maidah ayat 1 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, tunaikanlah janji-janji itu…”.

Maksud janji dalam ayat ini merangkumi perjanjian manusia dengan ALLAH dan perjanjian manusia sesama mereka. Firman ALLAH dalam Surah al-Baqarah ayat 177 yang bermaksud: “Dan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji, mereka itulah orang yang benar-benar beriman dan mengerjakan kebajikan dan mereka itulah juga orang yang bertakwa”.

Justeru, mereka yang sering berjanji tetapi masih tidak tahu cara menunaikannya hendaklah ’belajar’ kembali untuk menuruti ajaran Islam melalui wahyu al-Quran dan as-Sunnah.

Mereka hendaklah berusaha bersungguh-sungguh menunaikan janji apabila berjanji. Akan tetapi sekiranya merasakan tidak mampu menunaikan janji, maka janganlah sekali-kali menabur janji agar terselamat daripada termasuk ke dalam golongan yang beramal dengan amalan orang munafik yang dikutuk oleh ALLAH!

Kepimpinan adalah amanah

Ketika kempen pilihan raya negeri baru-baru ini, ahli politik telah mengungkapkan pelbagai janji. Oleh yang demikian, janji yang telah diungkapkan itu mestilah ditunaikan dengan sebaik mungkin supaya tidak tergolong dalam golongan yang beramal dengan amalan golongan munafik yang khianat dan mungkir pada janji.

Tunaikan janji

TUNAIKAN janji yang sudah dibuat dan jangan sesekali mengkhianatinya. -Gambar hiasan

Kepimpinan bukanlah satu kebanggaan, bukan satu kehebatan dan bukan perkara yang menyeronokkan, tetapi kepimpinan adalah amanah ALLAH yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan bermakna seseorang itu menerima bebanan besar dan akan dibicarakan oleh ALLAH di Padang Mahsyar kelak.

Baca juga Pikul amanah hingga akhirat, begitu besarnya tanggungjawab pemimpin

Pemimpin yang telah dilantik dan diberikan amanah serta tanggungjawab hendaklah menitik beratkan aspek solat, zakat, amar makruf nahi mungkar, pengurusan serta pentadbiran yang bersih dan mantap dan sebagainya yang boleh mendatangkan kebaikan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat.

Syeikh Mustafa Muhammad at-Tohhan di dalam bukunya Syakhsiah al-Muslim al-Mu’asir telah menyenaraikan beberapa amanah yang perlu dipikul oleh para pemimpin. Antaranya adalah menegakkan syariat Islam berbekalkan panduan yang telah diturunkan oleh ALLAH melalui Nabi Muhammad SAW. Seterusnya menegakkan keadilan dalam kalangan manusia tanpa mengira warna kulit dan bangsa serta mengambil tahu dan prihatin terhadap permasalahan rakyat.

Selain itu, amanah yang perlu dilaksanakan adalah membangunkan negara dengan jaminan pendidikan dan kesihatan, membuka ruang perdagangan, perusahaan dan pertanian, menjamin hak asasi manusia dan hak persamaan mereka di sisi undang-undang dan seterusnya menjamin kebebasan mengeluarkan pendapat dalam kalangan rakyat jelata.

***Artikel ditulis oleh Prof Madya Ustaz Dr Mohd Sukki Othman yang merupakan Pensyarah Wacana Aqidah, Fiqh, Seerah, Akhlak dan I’jaz Al-Quran, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia