Browsing Tag

Tunaikan haji atau berkahwin

Tunaikan haji atau berkahwin
Ibadah,

Duit sudah ada, tapi dilema antara tunaikan haji atau berkahwin dulu

Duit sudah ada, tapi dilema antara tunaikan haji atau berkahwin dulu

MELIHAT jumlah duit yang ada, sudah cukup untuk pergi menunaikan haji. Tinggal lagi, mahu atau tidak untuk berbuat demikian dalam musim berkenaan.

Namun, entah mengapa hati berbisik untuk menggunakan wang tersebut bagi melangsungkan perkahwinan pula.

Dilema dibuatnya dan hati pula berbelah bahagi. Masakan tidak, kedua-dua perkara itu begitu penting buatnya.

Bukan mudah menyimpan wang sebanyak itu. Apatah lagi ia memerlukan mujahadah yang tinggi dan tempoh panjang untuk dikumpulkan.

Bagaimana jika seseorang mempunyai wang yang mencukupi untuk perbelanjaan haji, tetapi dia juga ingin berkahwin?

Baca juga Memang perlu ada kemampuan untuk kerjakan haji, tetapi kita tak diwajibkan simpan wang untuk tujuan itu

Baca juga Bantuan Kewangan Haji bersasar dan berkala diteruskan kepada bakal haji Muassasah

Baca juga Kuota haji Malaysia kembali penuh, 31,600 jemaah boleh tunaikan Rukun Islam kelima tahun ini

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, haji dan perkahwinan merupakan suatu perkara yang dituntut dalam agama.

DR ZULKIFLI

Meskipun demikian, ibadah haji merupakan satu kewajipan yang mesti dilaksanakan bagi golongan berkemampuan.

Jika dilihat hukum nikah yang terbahagi kepada lima iaitu harus, wajib, sunat, makruh dan haram, semuanya bergantung kepada individu berkenaan.

“Andai dia mampu untuk menahan dirinya dan tidak terburu-buru untuk berkahwin, maka hendaklah dia mengerjakan haji terlebih dahulu,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Maktabah Albakri.

Ia sebagaimana firman ALLAH SWT: “Mengerjakan haji adalah kewajipan manusia terhadap ALLAH, iaitu (bagi) orang yang sanggup mengadakan perjalanan ke Baitullah. Barang siapa mengingkari (kewajipan haji), maka sesungguhnya ALLAH MAHA KAYA (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam.” (Surah Ali Imran, ayat 97)

Berdasarkan dalil itu, agamawan tersebut menjelaskan, ibadah haji dan umrah hanya wajib ke atas orang yang berupaya dan berkemampuan.

Baca juga Ibadah umrah diwajibkan bagi mereka yang mampu, ini maksud sebenar kemampuan tersebut

“Menurut al-Fiqh al-Manhaji, seseorang dianggap berkemampuan apabila memiliki harta yang mencukupi untuk mengerjakan haji dan umrah. Ia termasuklah tambang pengangkutan, perbelanjaan pergi dan balik, di samping perbelanjaan pasport perjalanan serta upah pemandu haji dan umrah sebagaimana dikehendaki oleh pemerintah.

Tunaikan haji atau berkahwin

JIKA seseorang mampu untuk menahan dirinya dan tidak terburu-buru untuk berkahwin, maka hendaklah dia mengerjakan haji terlebih dahulu. -Foto: Pexels

“Semua harta tersebut mestilah lebihan daripada jumlah hutangnya dan perbelanjaan ahli keluarga semasa ketiadaannya,” katanya.

Bagaimanapun, jelas mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu, andai orang itu khuatir tidak mampu untuk menahan dirinya daripada melakukan kemaksiatan, maka hendaknya dia mendahulukan perkahwinan bagi mengelakkan kemudaratan lebih besar.

Mudah kata, semuanya terpulang kepada diri masing-masing. Tepuk dada, tanyalah hati. Semoga pilihan yang bakal kita buat nanti memberikan kebaikan kepada diri dan agama.