Browsing Tag

Tunai umrah

Tunai umrah
Berita Semasa, Hukum,

Perkahwinan 3 anak tak sah gara-gara bapa masih dalam ihram, sebab itu penting kursus sebelum tunai umrah

WALAUPUN sekadar tunai umrah, umat Islam dinasihatkan supaya mengikuti kursus terlebih dahulu sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Nasihat itu dititipkan oleh Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor ketika dihubungi Sinar Islam Plus pada Rabu.

DR WAN SALIM

Ia rentetan daripada kisah seorang bapa yang tidak sedar melanggar ‘pantang’ ketika berihram hingga akhirnya anak-anak dan cucu-cucunya menjadi ‘mangsa’, sebagaimana dikongsikan dalam akaun TikTok @rambutjelita.

Baca juga Sentuh Kaabah sambil tawaf, adakah dikira batal dan perlu buat pusingan baru?

Ceritanya begini, lelaki itu menunaikan umrah pada tahun 2011 tanpa berkursus terlebih dahulu.

Ketika melakukan tawaf, dia menyentuh dinding kaabah sebanyak tiga kali. Perbuatan itu sebenarnya telah membatalkan tawafnya.

Oleh sebab tidak tahu, dia meneruskan rukun yang lain sebelum pulang ke Malaysia.

Tidak lama kemudian, dia menikahkan seorang demi seorang anak-anaknya. Dipendekkan cerita, seramai tiga orang anaknya telah dikahwinkan  olehnya sepanjang tujuh tahun selepas pulang dari Tanah Suci tanpa menyedari dirinya masih dalam ihram lagi.

Menurut perkongsian daripada individu bernama Aida itu, setelah mengikuti kursus haji pada tahun 2018, barulah bapa tadi mengetahui dia masih dalam ihram.

Baca juga Ibadah umrah diwajibkan bagi mereka yang mampu, ini maksud sebenar kemampuan tersebut

Dirinya lebih terkilan apabila ia turut mengheret sama pernikahan tiga anaknya tadi. Pejabat agama telah mengesahkan bahawa perkahwinan tiga anaknya tidak sah mengikut syarak, manakala cucu-cucunya pula lahir sebagai anak tidak sah taraf.

Lantaran itu, Dr Wan Salim mengingatkan peri pentingnya pengetahuan sebelum menunaikan ibadah sama ada haji atau umrah.

“Ikutilah kursus terlebih dahulu sebelum berangkat ke Makkah. Ini penting untuk memahami rukun-rukun dan wajib haji, selain pantang larang ketika berada dalam ihram,” titipnya.

Tunai umrah

SEBELUM tunai umrah, sebaiknya dalami ilmu untuk menunaikan ibadah berkenaan. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

Mengulas lanjut tindakan lelaki terbabit yang menyentuh kaabah, ujar agamawan itu, tawafnya telah batal (tidak sah).

“Dia sepatutnya kena keluar semula daripada ihram dengan melakukan tahalul ihsar. Caranya ialah dia hendaklah menyembeli seekor kambing dengan niat tahalul,” katanya.

Kepada satu soalan, Dr Wan Salim menjawab: “Pernikahan anak-anaknya tidak sah dan perlu diakad semula.

Baca juga Bayi Jadi Mangsa Anak Tak Sah Taraf Gara-Gara Sikap Ibu Bapa Kahwin Terburu-buru

“Bagaimanapun, anak-anak yang lahir hasil pernikahan tersebut adalah sah taraf kerana hubungan suami isteri dianggap wathi syubhah, bukan zina.”

Pantang larang ketika ihram

Ketahuilah bahawa definisi ihram bukan bermaksud pakaian yang dipakai oleh para jemaah haji mahupun umrah.

Sebaliknya, jelas Abu Ammar al-Mahmudi dari Unit Bimbingan Az zuha Group Travel & Tours, ihram pada hakikatnya adalah perbuatan yang mengharamkan beberapa perkara yang asalnya halal bagi melakukan ibadah-ibadah tertentu.

“Sebagai contoh, ketika memulakan solat dengan mengangkat takbir pertama iaitu takbiratulihram, dengan erti kata lain, kita mengharamkan seketika perkara-perkara seperti bercakap, makan, minum dan sebagainya yang menjadi larangan ketika sembahyang,” katanya dipetik menerusi laman sosial Facebook HANIS.

Menurut beliau, terdapat 13 larangan ihram bagi ibadah haji dan umrah seperti berikut:

– Lelaki:

Tunai umrah

KETIKA berihram, ketahui pantang larangnya agar kita tidak melakukan kesilapan berkenaan ketika menunaikan ibadah. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

1. Memakai pakaian berjahit, bercantum dan dipakai secara bersarung.
2. Menutup kepala atau sebahagian daripada kepala.

– Wanita:

3. Menutup muka atau sebahagian daripada muka.

– Lelaki & Wanita:

4. Memakai sarung tangan.
5. Berwangi-wangian.
6. Memakai minyak pada kepala, janggut dan jambang.
7. Mencabut, memotong atau membinasakan bulu-buluan yang ada pada badan.
8. Memotong, mengerat atau membinasakan kuku.
9. Memburu binatang buruan yang halal dimakan.
10. Memotong, mengerat, menebang atau membinasakan tumbuhan di tanah haram.
11. Berkahwin, mengahwinkan atau menerima wali kahwin.
12. Mukadimah bersetubuh.
13. Bersetubuh.

Kepada mereka yang mahu beribadah ke Tanah Suci, timba dahulu pengetahuan sebelum ke sana. Jangan ambil remeh tentang hal itu.