Browsing Tag

tokoh ulama malaysia

GAMBAR PORTAL FB - 2023-05-31T161925.163
Berita Semasa,

“Benarkah tempat pengamal LGBT di neraka?”, hayati jawapan Habib Umar

KEHADIRAN ulama besar dari Yaman, Habib Umar ke Malaysia tempoh hari masih hangat dibicarakan oleh masyarakat.

Habib Umar atau nama sebenarnya Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Ben Hafidz berkongsi ilmunya kepada lebih 18,000 hadirin pada Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri di Masjid Putra malam Sabtu lalu.

Senario ini menunjukkan rakyat minat kepada majlis ilmu dan mencintai ulama.

Baca Juga Telefon berbunyi ketika solat, boleh ke matikannya?

Pada majlis tersebut juga, terdapat satu sesi soal jawab terbuka bersama Habib Umar. Kebanyakan yang hadir tidak melepaskan peluang untuk bertanyakan soalan.

Apa yang menarik ketika sesi soal jawab tersebut diadakan, terdapat satu soalan yang ditanya oleh seorang “Mak Nyah” tentang kebenaran dakwaan sebahagian pihak yang menyatakan mereka ini tempatnya di akhirat nanti di dalam neraka.

LEBIH 18,000 hadirin pada Majlis Ilmu MADANI bersama Perdana Menteri di Masjid Putra malam Sabtu lalu.

Lantas Habib Umar menjawab dengan menceritakan kisah seorang ketua perompak. Selepas selesai melaksanakan satu rompakan, rombongan tersebut telah dihidangkan makanan.

Ketua perompak menolak makanan tersebut dan memberitahu yang dia sedang puasa. Kawan-kawannya terkejut dan berkata: “Kau ‘kan ketua perompak macam mana kau boleh puasa?”

Baca Juga Kontroversi ajaran pelik di pesantren Jawa Barat. Jakim tubuh jawatankuasa pemantau

Turut Disyorkan Teknologi AI sempurnakan fardu kifayah

Ketua perompak tersebut menjawab: ” Ya aku merompak dan lakukan banyak dosa, tapi aku tak nak putuskan hubungan aku dengan ALLAH. Sebab itu aku puasa”

Beberapa tahun kemudian pada musim haji, mangsa rompakan mereka satu ketika dahulu terserempak dengan ketua perompak tersebut sedang menangis di hadapan Kaabah.

PERDANA menteri berkesempatan untuk solat bersama Habib Umar ketika di Majlis Ilmu Madani.

Mereka berkata: “Bukan ke kamu ketua perompak yang rompak kami dulu? Macam mana kamu boleh jadi macam ni sekarang?” Dia menjawab : ” Ketika aku lakukan dosa aku tidak putuskan hubungan aku dengan ALLAH”

Selanjutnya Habib Umar berpesan, walaupun kita melakukan dosa jangan sesekali putuskan hubungan kita dengan YANG MAHA PENCIPTA iaitu ALLAH SWT.

Baca Juga ‘Ulama boleh tegur kerajaan’ – Anwar

Sungguh berbekas pesanan Habib Umar walaupun jawapannya ringkas. Habib Umar tidak mempositifkan dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh kelompok LGBT tetapi memberi jalan untuk keluar dari dosa mereka.

Inilah akhlak seorang murabbi, tidak mempositifkan maksiat dan dosa dalam masa yang sama tidak agresif menghukum. Bahkan Habib memberikan jalan keluar untuk mereka yang sedang mencari cahaya hidayah.

Tok kenali
Personaliti,

Tok Kenali, Bapa Serambi Mekah

TOK Kenali, seorang tokoh ulama terkenal di sebalik gelaran ‘Serambi Mekah’ yang diberikan kepada negeri Kelantan. Beliau merupakan seorang guru agama Islam yang masyhur, tokoh pembangun pemikiran umat Islam di Asia Tenggara dan pencetus ilmu pendidikan Islam di Malaysia khususnya di Kelantan, sekitar awal abad ke-20. 

Tok Kenali atau nama sebenarnya Muhammad Yusuf bin Ahmad dilahirkan sekitar tahun 1870 di Kampung Kenali, Kubang Kerian, Kota Bharu. Beliau berasal daripada sebuah keluarga yang miskin dan warak. Bapanya seorang petani yang dikenali dengan kesolehannya. 

Membesar didampingi ajaran Islam, Tok Kenali sudah khatam al-Quran sejak kecil. Di Kota Bharu, beliau telah menuntut ilmu dengan ramai guru agama tersohor seawal usia sembilan tahun. Menginjak usia 18 tahun, Tok Kenali melanjutkan pelajaran ke Tanah Suci Mekah.

Menurut Syeikh Wan Mohd Shaghir, nama Tok Kenali mula mekar apabila mula berguru dengan Syeikh al-Fathani dan seterusnya menjadi anak murid yang rapat kepadanya. Beliau juga sempat belajar bersama Nik Mahmud bin Nik Ismail di sana. Setelah gurunya meninggal dunia, Tok Kenali kembali ke Kelantan pada tahun 1909, setelah 22 tahun berada di Mekah.

TOK Kenali telah berguru dengan ramai guru agama terkemuka sejak kecil lagi.

Menurut catatan, Tok Kenali mempunyai semangat yang tinggi terhadap pendidikan. Jasa beliau paling bermakna adalah dengan memperkenalkan sistem pengajian pondok.

Sekembali dari Mekah, Tok Kenali telah membuka dua pondok termasuk di kampung kelahirannya di Kampung Paya. Dalam masa dua tahun sahaja, namanya telah dikenali seluruh negeri dan ramai individu dari dalam dan luar negara termasuk Selatan Thailand, Singapura dan Indonesia datang menuntut ilmu darinya.

Pondok Kenali telah melahirkan ramai ulama dan cendekiawan yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. 

Selain itu, Tok Kenali juga merupakan seorang pengarang dan penterjemah. Beliau pernah menjadi Ketua Pengarang pertama majalah Pengasuh serta menterjemah buku-buku Arab seperti Kitab al-Umm, Tafsir Khazin, and Tafsir Ibn Kathir. 

PONDOK Tok Kenali kekal sehingga hari ini. Antara jasa terbesar beliau adalah memperkenalkan sistem pengajian pondok.  Pondok Tok Kenali telah melahirkan ramai cendekiawan dan tokoh agama tersohor.

Segala usaha perjuangan ulama tersohor ini dimungkinkan dengan kegiatan aktif beliau dalam bidang politik. Tok Kenali pernah menyandang beberapa jawatan penting dalam pentadbiran negeri termasuk Ahli Majlis Ulama Islam Kelantan, Ketua Pelajaran Agama dan Anggota Majlis Agama Islam Kelantan dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Beliau termasuk dalam tokoh-tokoh penting yang telah terlibat dalam penubuhan Majlis Agama Islam, perpustakaan negeri dan sebuah jabatan percetakan kerajaan.

Tok Kenali meninggal dunia di usia 65 tahun pada hari Ahad, 2 Syaaban tahun 1352 Hijrah bersamaan 19 November 1933 Masihi. Jenazah beliau dikuburkan di Perkuburan Ma’la, Mekah.

Foto: Amir Irsyad Omar, Google