Browsing Tag

Tokoh Muslimah

Tokoh Muslimah
Personaliti,

Tiga tokoh Muslimah dalam peristiwa hijraturrasul yang ramai terlepas pandang

“TAK ada ke tokoh Muslimah hijrah yang terlibat ketika peristiwa bersejarah dalam Islam itu?”

Persoalan itu kadangkala berlingkar dalam ruang fikiran. Maklum sahajalah, setiap kali tibanya awal Muharam atau lebih dikenali dengan sambutan hijrahnya, kita begitu sinonim dengan kisah Nabi Muhammad SAW berhijrah dengan sahabat lelaki.

Semua yang dikisahkan itu sememangnya gagah perkasa untuk melakukan penghijrahan yang begitu besar demi syiar Islam.

Ketahuilah bahawa sebenarnya selain lelaki, terdapat juga sahabat wanita yang berani dan solehah ketika perisiwa hijrah. Tidak dapat dibayangkan betapa kuatnya kudrat mereka untuk meninggalkan Makkah untuk ke Madinah demi keimanan masing-masing.

Baca juga Keistimewaan wanita dalam Islam yang ramai tidak perasan

Portal About Islam menyenaraikan tiga tokoh wanita hijrah yang hebat. Ayuh kita kenali mereka:

1. Asma’ binti Abu Bakar RA

Beliau merupakan anak kepada Saidina Abu Bakar, merupakan antara sahabat yang menempuh perjalanan ke Madinah dengan penuh ranjau.

Bayangkan ketika wanita hebat yang terkenal dengan jolokan Zat an-Nitaqayn (orang yang memakai ikat pinggang) meninggalkan Makkah, beliau membawa makanan dan bekalan untuk Rasulullah SAW dan bapanya yang bersembunyi di dalam Gua Thur. Ketika itu Abu Jahal dan konconya sedang memburu Rasulullah SAW untuk membunuh Baginda.

Tokoh Muslimah

ASMA’ binti Abu Bakar antara tokoh wanita yang terlibat dalam peristiwa hijrah.-Foto: Unsplash

Betapa bahaya dan ranjaunya perjalanan yang ditempuh oleh Asma’. Seorang diri meranduk kegelapan malam, mendaki bukit berbongkah tajam, lebih-lebih lagi saat itu dirinya pun sedang hamil! Namun, Asma’ yang berhati mulia itu sanggup mempertaruhkan nyawanya sendiri.

Abu Jahal mengesyaki Asma’ terlibat dalam menyembunyikan Nabi Muhammad SAW. Lalu, lelaki berkenaan mendekati Asma’ dan memaksanya memberitahu lokasi keberadaan Baginda.

Begitupun, Asma’ hanya mendiamkan diri sahaja. Menyedari tindakannya itu langsung tidak membuatkan anak perempuan Khalifah Islam pertama itu gentar, Abu Jahal kemudian menampar Asma’ dengan kuat sehinggakan kalung yang dipakainya terjatuh.

Bagaimanapun, Asma’ selamat melahirkan bayinya yang merupakan anak pertama daripada masyarakat Islam di Madinah sebaik sahaja sampai ke kota berkenaan.

Baca juga Berdepan Ujian Getir Ketika Berhijrah, Ini Sebabnya

2. Ummu Salamah RA.

Ya, ramai yang mengenalinya sebagai salah seorang isteri Rasulullah SAW. Ummul Mukminin itu berkahwin dengan Nabi Muhammad pada tahun keempat hijrah.

Sebelum penghijrahan ke Madinah, beliau terlebih dahulu bersama arwah suaminya pernah berhijrah dari Makkah ke Habsyah demi agama.

Tokoh Muslimah

SEBELUM penghijrahan ke Madinah, Ummu Salamah bersama arwah suaminya terlebih dahulu pernah berhijrah dari Makkah ke Habsyah. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Bagi Ummu Salamah, berhijrah ke Habsyah bermakna meninggalkan rumah dan seisi keluarga. Melepaskan tradisi keturunan dan kehormatan untuk sesuatu yang baharu, segalanya demi mengejar keredaan dan ganjaran ALLAH SWT.

Beliau pernah kembali semula di rumahnya di Makkah, namun mengambil keputusan untuk berhijrah sekali lagi. Kali ini, mereka sekeluarga berangkat ke Madinah. Malangnya, beliau bersama suami dan anaknya terpisah kerana tentangan keluarga.

Selepas beberapa ketika, Ummu Salamah dibebaskan keluarganya. Beliau meneruskan niat untuk berhijrah ke Madinah. Dengan hanya berbekal tawakal kepada ALLAH SWT, Ummu Salamah sanggup melakukan perjalanan bersama anaknya meskipun berhadapan pelbagai risiko.

Ketika dalam perjalanan, wanita berhati waja itu dipertemukan dengan ‘Uthman bin Talhah ‘Abdari. Akhirnya penghijrahan beliau ditemani oleh ‘Uthman dengan penuh hormat sehinggalah tiba ke destinasi yang dituju.

3. Aishah RA.

Beliau merupakan anak pertama yang dilahirkan dalam masyarakat Islam di Makkah. Disebabkan itulah beliau masih muda ketika berhijrah ke Madinah.

Meskipun demikian, ia tidak menghalang isteri Rasulullah SAW itu untuk melakukan penghijrahan.

Ketika Nabi Muhammad SAW memilih bapanya, Abu Bakar RA untuk menemani baginda di Gua Thur, Aishah telah diberi kepercayaan untuk membawa dua ekor unta kepada Rasulullah SAW dan Abu Bakar pada tiga malam kemudian.

Baca juga Fahami Konsep Hijrah Rasulullah

Selepas perjalanan itu berakhir, rupanya bahaya yang ditempuhi oleh mereka tidak terhenti setakat itu sahaja. Setibanya ke Madinah, Abu Bakar dan Bilal jatuh sakit. Malah, dikatakan air di Madinah berbau busuk sehinggakan Aishah bertemu Rasulullah SAW dan baginda mendoakan supaya Madinah menyayangi mereka sepertimana mereka menyayangi Makkah dan banyak lagi.

Tokoh Muslimah

HIJRAH menuntut begitu banyak pengorbanan demi menegakkan syiar Islam. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Benarlah, penghijrahan menuntut sebuah pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Barangkali semua ujian itu adalah untuk menyucikan diri kita daripada dosa-dosa silam supaya proses transisi itu istiqamah dan berjalan dengan sempurna.

…..

Sama-samalah kita mengambil ibrah daripada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat pada tahun 622 Masihi untuk menyebarkan Islam, selain meninggalkan ancaman orang Arab Quraisy yang menjejaskan aktiviti penyebaran agama suci itu.

Salam Maal Hijrah semua. Bukalah buku pencapaian baru kita dengan perkara kebaikan dan tinggalkanlah ia dengan kejayaan yang besar. Semoga segala amalan kita selama ini diterima oleh ALLAH SWT.