Browsing Tag

tip kesihatan untuk beribadah

Kesihatan
Gaya Hidup,

Amalkan tip kesihatan ini agar mudah beribadah

NIKMAT kesihatan sememangnya tidak boleh dibeli. Walau bertimbun harta yang dimiliki, ia tidak mampu menyembuhkan penyakit.

Ya, kita mungkin boleh berubat, namun andai tidak diizinkan ALLAH SWT, sakit yang dialami tidak akan sembuh. Namun begitu, masih ramai lagi yang kurang menghargai ataupun tidak sedar kurniaan yang satu ini.

Bahkan dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda: “Dua nikmat yang banyak melelakan ramai manusia, iaitu sihat dan masa lapang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Ketahuilah bahawa Islam begitu meniktikberatkan penjagaan kesihatan.

Memetik artikel bertajuk Penjagaan kesihatan dituntut agama yang disiarkan dalam laman web Yayasan Dakwah Islam Malaysia (Yadim), penekanan itu diberikan kerana manusia dapat meningkatkan kualiti hidupnya semaksimum mungkin dan dapat meningkatkan pengabdian dirinya kepada ALLAH SWT dan sesama manusia.

“Disebabkan itulah agama begitu menekankan kepentingan menjaga kesihatan dan pencegahan suatu penyakit.

“Malah, kita diberikan petunjuk oleh Rasulullah SAW supaya apabila ditimpa suatu penyakit, maka hendaklah segera mengubatinya kerana ALLAH tidak menurunkan kesakitan itu kecuali dengan ubatnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web yadim.com.my.

Dengan merujuk sumber daripada laman web Yadim, pelitabrunei.gov.bn dan akuislam.com, Sinar Islam Plus menyenaraikan tip menjaga kesihatan agar mudah kita beribadah.

Berikut perinciannya:

1. Bersederhana ketika makan dan minum.

Baca juga Kawal Nafsu Ketika Makan, Bersantap Berlebih-lebihan Ibarat Orang Kafir Makan Dengan 7 Perut!

ALLAH SWT berfirman: “…Makan dan minumlah, tetapi jangan berlebihan. Sesungguhnya, ALLAH tidak menyukai orang yang berlebih-lebihan.” (Surah al-A’raf, ayat 31)

Kesihatan

BERSEDERHANALAH ketika makan dan minum serta usah berlebih-lebihan.

Penyakit sering kali dikaitkan dengan pemakanan, jenis dan kadar yang diambil. Malah terdapat beberapa peringatan jelas dalam hadis yang menyatakan bahawa perut merupakan sumber utama penyebabnya.

Antaranya, Rasulullah SAW bersabda: “Tidak ada sesuatu yang dipenuhkan oleh putera puteri Adam lebih buruk daripada perut. Cukuplah bagi putera Adam beberapa suap yang dapat menegakkan tubuhnya, kalau pun harus dipenuhkan, maka sepertiga untuk makanan, sepertiga lagi untuk minuman dan sepertiga lagi untuk pernafasannya.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Malah, terdapat bait mutiara daripada ulama menyatakan: “Sesiapa yang ingin sihat tubuh badannya, maka kurangkanlah makan dan minum. Sesiapa yang ingin sihat hatinya, maka tinggalkan dosa dan maksiat).”

2. Mencegah lebih baik daripada mengubati. 

Tanamkan prinsip yang diajarkan oleh Islam itu dalam diri. Mengertilah, manusia yang menjaga kebersihan amat dicintai oleh ALLAH SWT kerana ia akan menjurus kepada kesihatan fizikal.

Dalam Surah al-Baqarah, ayat 22, ALLAH SWT berfirman: “…Sesungguhnya ALLAH menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri.”

Kesihatan

SESUNGGUHNYA perbuatan mencegah itu lebih baik daripada mengubati. Oleh itu, amalkan gaya hidup sihat agar kita tidak merana terlantar di katil hospital akibat penyakit kronik. Foto: Pexels

Bahkan, dalam ayat 4 dan 5 Surah al-Muddaththir, kita disarankan supaya membersihkan pakaian serta meninggalkan segala macam kekotoran.

Ia dikuatkan lagi dengan hadis Rasulullah SAW yang menyatakan kebersihan adalah sebahagian daripada iman, selain beberapa langkah pencegahan untuk mencegah penyakit sebagaimana dijelaskan dalam hadis.

Antaranya termasuklah saranan supaya kita menutup hidangan, mencuci tangan sebelum makan, memberus gigi, tidak membuang air di tempat tidak mengalir atau di bawah pohon dan lain-lain lagi.

3. Tidak mengunjungi daerah yang dibelenggu dengan wabak.

Baca juga Tidak ada nas berwuduk boleh elak wabak, penyakit… Hentikan sebar hadis palsu! 

Bagaimanapun, jika kita memang sudah berada di tempat berkenaan, janganlah pula meninggalkannya. Ia supaya wabak itu tidak tersebar ke tempat lain.

4. Bangun sebelum Subuh.

Kesihatan

BANGUN tidur sebelum waktu tidur kerana ada banyak manfaat di sebaliknya.

Bukan sahaja dapat melaksanakan solat Subuh secara berjemaah, tetapi bangun awal pagi menyebabkan kita mendapat kesegaran udara Subuh yang baik untuk diri.

5. Kerap berjalan kaki.

Begitulah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW. Baginda akan berjalan kaki ke masjid, berkunjung ke rumah sahabat, pasar hatta medan jihad sekalipun.

Aktiviti fizikal seperti itu boleh membantu mengekalkan kesihatan yang baik dalam mencegah penyakit.

6. Tidur yang mencukupi dan lakukan qailullah.

Baca juga ‘Qailulah’, amalan ‘power nap’ Nabi untuk kekal bertenaga

Ia penting supaya kita mendapat rehat dan cukup, sekali gus memudahkan kita beribadah sepanjang hari.

Suatu perkara yang disarankan adalah dengan melakukan qailullah iaitu tidur sebentar selama beberapa minit untuk mengisi semula tenaga dalam badan sebelum waktu solat Zuhur.

Kesihatan

AMALKAN qailullah sebelum waktu solat Zuhur untuk mengisi semula tenaga dalam badan.

Rasulullah SAW bersabda: “Lakukan qailullah (tidur siang hari) kerana sesungguhnya syaitan itu tidak melakukan qailullah.” (Hadis Riwayat at-Tabarani)

7. Berdoa agar kita dikurniakan kesihatan dan kekuatan untuk beribadah.

Semua tahu bahawa doa menjadi senjata orang Mukmin. Sementelah, nikmat kesihatan itu pula datangnya daripada ALLAH SWT. Hanya DIA tempat kita meminta agar sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik.

Justeru, sentiasalah menitipkan doa agar kita diberikan kekuatan dan kesihatan agar boleh melakukan ibadah kepada-NYA.

Rasulullah SAW bersabda: “Mintalah kepada ALLAH kesihatan dan kesejahteraan kerana sesungguhnya tidak ada perkara yang lebih baik daripada kesihatan selepas keyakinan (iman).” (Hadis Riwayat Ibn Majah)

Justeru, marilah kita sama-sama menjaga kesihatan sedaya upaya. Ingatlah tubuh badan kita juga merupakan amanah daripada ALLAH SWT yang perlu dipelihara sebaiknya.