Browsing Tag

Tidak semua ahli keluarga terima faraid

Tidak semua ahli keluarga terima faraid
Faraid,

Tidak semua ahli keluarga tersenarai terima faraid, Aidilfitri ajak kita lebih teliti waris yang ada

Tidak semua ahli keluarga tersenarai terima faraid, Aidilfitri ajak kita lebih teliti waris yang ada

TIBANYA Syawal setiap tahun menjadi ruang mengukuhkan hubungan kekeluargaan. Melalui pelbagai pengisian di Aidilfitri memberi peluang kepada yang jauh untuk didekatkan, dan yang dekat semakin dieratkan. Tidak hairanlah Rasulullah SAW sendiri menyifatkan dua hari raya iaitu Aidilfitri dan Aidiladha sebagai syiar umat Islam yang perlu diraikan.

Dari sisi lain, Aidilfitri mengajak umat Islam untuk lebih meneliti waris yang ada dalam keluarga masing-masing. Hal ini kerana tidak semua ahli keluarga akan tersenarai sebagai waris faraid jika berlaku kematian dalam keluarga.

Waris faraid ialah individu yang masih hidup dan bakal mewarisi pusaka. Mereka mempunyai salah satu sebab ikatan iaitu hubungan kerabat (nasab) dan perkahwinan. Dua kategori waris yang disepakati ilmuan fiqh ialah waris ashab al-furud (waris yang dapat bahagian tetap) dan waris ‘asabah (waris yang dapat lebihan pusaka).

Apa pun susur galur keluarga yang berbeza, terdapat enam individu yang dianggap sebagai waris utama faraid kerana mereka bersambung secara langsung kepada si mati. Enam individu tersebut ialah suami, isteri, ibu, bapa, anak perempuan dan anak lelaki. Status keenam-enam mereka sememangnya berbeza (Rajah 1), namun hak faraid mereka lebih terjamin selagi tidak melakukan perkara yang menghalang agihan harta pusaka.

Baca juga Waris yang didapati bersalah sebagai pembunuh tidak layak dapat faraid

Tidak semua ahli keluarga terima faraid

Rajah 1

Pasangan dicintai

Bagi individu yang berkahwin, hak mereka memperoleh faraid adalah terjamin. Ikatan suci yang dibina akan menyebabkan mereka saling mewarisi sama ada suami atau isteri bergantung kematian pasangan masing-masing. Inilah bukti ‘cinta sampai mati’ bagi pasangan yang berkahwin.

Suami yang bercerai mati dengan isterinya layak memperoleh dua bahagian faraid iaitu satu perdua (1/2) atau satu perempat (1/4). Perbezaan bahagian ini bergantung sama ada si mati iaitu isteri kepada lelaki tersebut meninggalkan zuriat atau pun tidak.

Manakala bahagian faraid isteri yang kematian suami pula ialah satu perempat (1/4) atau satu perlapan (1/8) tertakluk kepada suami yang meninggal dunia tersebut meninggalkan zuriat keturunan atau tidak.

Baca juga Ketahui hak faraid bagi wanita, waris dominan dalam senarai ‘ashab al-furud’

Ibu bapa disanjungi

Bagi individu bujang atau sudah tiada pasangan, yang masih mempunyai ibu bapa harus bersangka baik kerana berkemungkinan seruan untuk berbuat ihsan kepada mereka masih berpanjangan walaupun diakhiri dengan kematian. Setiap ibu dan bapa kepada si mati mempunyai habuan masing-masing dalam faraid.

Bagi ibu si mati, dua habuan yang utama iaitu satu pertiga (1/3) atau satu perenam (1/6). Satu pertiga diberikan kepada ibu ketika si mati tidak meninggalkan keturunan atau tidak meninggalkan lebih daripada seorang adik beradik. Manakala bahagian dikurangkan kepada satu perenam sahaja apabila syarat yang diperoleh berlawanan dengan situasi sebelum ini.

Tidak semua ahli keluarga terima faraid

TIDAK semua ahli keluarga terima faradi. Jadi ambil peluang mengenali dan meneliti waris yang ada ketika Aidilfitri ini. -Foto: 123rf 

Bahagian bapa dalam faraid terdiri daripada tiga bahagian utama iaitu; satu perenam (1/6) sahaja, mendapat lebihan baki (‘asabah) sahaja atau mendapat secara dua kombinasi iaitu satu perenam dan ‘asabah secara serentak mengikut syarat yang ditetapkan dalam perincian faraid.

Baca juga Faraid kepada ibu bapa, ihsan yang tidak bertepi

Zuriat dikasihi

Bagi individu yang dikurniakan zuriat, kasihanilah mereka kerana anak-anak adalah anugerah untuk ibu bapa sebagai amanah di dunia. Jika tidak mampu meninggalkan harta kepada anak, maka didiklah mereka menjadi insan soleh yang sentiasa mendoakan ibu bapa yang telah tiada.

Anak perempuan si mati mendapat faraid dalam tiga keadaan. Dua daripadanya ialah secara bahagian tetap (fardu) iaitu satu perdua (1/2) atau dua pertiga (2/3) dan satu bahagian secara ‘asabah (lebihan baki) yang dikenali dengan ‘asabah bi al-ghayr (lebihan dengan yang lain).

Anak lelaki pula berstatus waris ‘asabah sahaja dalam hukum faraid. Ini bermakna anak lelaki akan mendapat keseluruhan harta pusaka jika mereka sahaja yang disenarai dalam penerima pusaka.

Baca juga Habuan waris lelaki melebihi perempuan disifatkan berat sebelah? Ini penjelasannya

Dari sudut perincian, anak lelaki menerima dua bentuk ‘asabah iaitu ‘asabah bi al-nafs (lebihan dengan diri sendiri) dan ‘asabah bi al-ghayr (lebihan dengan yang lain) tertakluk dengan syarat yang ditetapkan.

***Artikel ditulis oleh Pensyarah Kanan, Fakulti Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia, Ustaz Zahari Mahad Musa