Browsing Tag

terlupa membasuh anggota wuduk

terlupa anggota berwuduk
Ibadah,

Terlupa basuh anggota tertentu ketika berwuduk, adakah wajib ulang semula?

Terlupa basuh anggota tertentu ketika berwuduk, adakah wajib ulang semula?

SEBELUM menunaikan solat, umat Islam wajib berwuduk untuk membersihkan anggota daripada hadas kecil.

Perkara itu tidak boleh dipandang remeh kerana ia bukan sahaja menentukan kesahan solat yang dilakukan, malah anggota tubuh yang tidak kena air wuduk itu dicela oleh Rasulullah SAW.

Daripada Abdullah bin Umar RA, beliau berkata: “Nabi Muhammad SAW pernah terlewat menyertai kami dalam suatu perjalanan yang kami lakukan. Ketika Baginda menyusuli kami, waktu solat sudah hampir habis. Kami lalu berwuduk dengan hanya mengusap kaki kami (tidak sempurna membasuhnya). Maka baginda SAW menyeru dengan suara yang keras: “Celakalah bagi tumit-tumit yang tidak basah dengan azab api neraka.” Baginda menyeru hingga dua atau tiga kali.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menggambarkan kepentingan membasahkan anggota badan, terutamanya bahagian kaki, ketika berwuduk.

Baca juga Antara menjaga wuduk dan sentiasa memperbaharuinya, mana yang lebih afdal?

terlupa anggota berwuduk

BERWUDUK adalah antara syarat sah solat. Foto: 123RF

ARTIKEL BERKAITAN:

Namun, bagaimana jika kita terlupa membasuh sesuatu anggota dan hanya menyedarinya selepas selesai berwuduk? Adakah wuduk itu perlu diulangi semula?

Tertib dalam berwuduk
Jelas portal Mufti Wilayah Persekutuan, melaksanakan rukun-rukun wuduk secara tertib atau mengikut susunan tertentu, adalah suatu kewajipan ketika berwuduk.

Firman ALLAH SWT: “Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali…” (Surah al-Maidah, ayat 6)

Jika seseorang itu sengaja meninggalkan tertib seperti tidak membasuh anggota wuduk wajib, maka pihak Mufti mengatakan bahawa wuduknya adalah tidak sah.

terlupa anggota berwuduk

WUDUK memastikan diri kita bersih daripada segala hadas dan kotoran sebelum menunaikan solat. Foto: Unsplash

Baca juga Naikkan seri wajah dengan air wuduk, benarkah begitu?

Terlupa basuh anggota, perlu ulangi wuduk?
Pun begitu, wujud situasi di mana kita tidak sengaja meninggalkan tertib berwuduk, misalnya terlupa membasuh sesuatu anggota wuduk.

Mengulas tentang perkara itu, pihak Mufti berkata, jika seseorang teringat atau syak bahawa mereka terlupa membasuh sesuatu anggota, dalam keadaan masih berwuduk, maka dia tidak wajib memulakan wuduk tersebut dari awal. Sebaliknya, sudah memadai dia membasuh anggota yang tertinggal itu.

Jelas laman web berkenaan, perkara itu tidak membatalkan rukun tertib. Malah perbuatan berturut-turut antara anggota wuduk atau al-muwalah dikira sunat wuduk dan bukan wajib. Apatah lagi, jika ia tidak sengaja ditinggalkan akibat terlupa.

Walau bagaimanapun, portal aboutislam.net menerangkan, jika seseorang teringat tentang anggota yang lupa dibasuh selepas selesai berwuduk, maka dia hendaklah mengambil wuduk sekali lagi.

Sumber: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: 123RF & Unsplash