Browsing Tag

Terima imam seadanya

Terima imam seadanya
Isu,

Sedap atau tidak bacaan, terimalah imam kita seadanya

PEJAM celik, pejam celik, sudah masuk 1 Ramadan pada hari ini. Alhamdulillah  kita dipanjangkan usia untuk dipertemukan lagi dengan bulan penuh barakah pada tahun ini.

Bersyukurlah dengan nikmat yang diberikan oleh-NYA ini. Umat Islam seantero dunia amat menantikan bulan Islam ini untuk melakukan amal kebajikan bagi meraih ganjaran pahala berlipat kali ganda.

Semua itu dilakukan semata-mata mengharapkan keredaan ALLAH SWT dan demi meraih keampunan-NYA.

Walaupun terbit perasaan sayu dalam diri dek kerana tidak dapat bertandang ke surau dan masjid akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), hati sedikit terubat apabila dapat berjemaah bersama keluarga tercinta di rumah.

Ya, pada Ramadan tahun-tahun sebelum ini, ramai betah mengikuti program direncanakan pihak masjid dan surau, namun kali ini, diri sendirilah yang ‘mencorakkan’ hari-hari kita.

Bagaimanakah acuannya untuk menghidupkan Ramadan di rumah dek keperluan ‘berkurung’ bagi mengekang rantaian wabak Covid-19?

Pendakwah, Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid berkata, sepertimana kelaziman, perkara sama juga dilakukan dalam bulan Ramadan kali ini. Biarpun tidak dapat ke rumah ALLAH, bergembiralah dengan kehadiran bulan penuh barakah itu.

USTAZ BAKHTIAR FITRI

“Kongsikan kepada anak-anak, suami, isteri hatta kumpulan WhatsApp atau Facebook masing-masing dengan cerita kegembiraan bertemu Ramadan.

“Itulah yang dilakukan oleh Nabi Muhammad SAW apabila tibanya bulan itu. Nabi mengkhabarkan berita gembira kepada para sahabat dan memperbanyakkan persiapan menghadapinya,” katanya kepada Sinar Islam baru-baru ini.

Rasulullah SAW bersabda: “Telah datang kepada kalian bulan Ramadan, bulan yang penuh keberkatan. ALLAH telah mewajibkan kepada kalian untuk berpuasa. Dan pada bulan itu, ALLAH akan membuka semua pintu syurga dan menutup pintu neraka.” (Riwayat Ahmad) 

Paling penting, kata Ustaz Bakhtiar Fitri, perlu ada sasaran yang hendak dicapai dalam bulan Ramadan ini.

Andai kata berhajat supaya dosa diampunkan, sentiasalah bermohon kepada ALLAH.

“Ketahuilah bahawa manusia akan berubah dengan dua faktor. Pertama, faktor dalaman iaitu diri sendiri hendak berubah dan kedua faktor luaran iaitu terpengaruh dengan orang lain. Sebab itulah saya sarankan agar sebarkan kegembiraan sambut Ramadan.

“Ini kerana, sepanjang tempoh PKP, kebanyakan kita akan menjadi netizen sepenuh masa dan lebih peka dengan media sosial masing-masing,” katanya.

Firman ALLAH SWT: “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) ALLAH menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan ALLAH kerana mendapat petunjuk-NYA, dan supaya kamu bersyukur.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Terima imam seadanya

RAMADAN bukan sekadar bulan untuk berpuasa menahan lapar dan dahaga, tetapi banyak keistimewaan bulan berkenaan yang perlu kita rebut.

Berbicara tentang kelebihan ibadah pada bulan Ramadan, Ustaz Bakhtiar Fitri berkata, mereka yang menghidupkan Ramadan pada waktu siang dan malamnya akan memasuki pintu syurga al-Rayyan.

Tambah beliau, puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Hakikatnya, ALLAH SWT mewajibkan  puasa untuk menghapuskan dosa-dosa kita.

“Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis, puasa itu kelak akan jadi peguambela kita. Puasa tadi akan memberi kita syafaat agar masuk ke dalam syurga-NYA.

“Seperkara, Ramadan juga merupakan bulan mustajab berdoa. Jadi, sama-samalah perbanyakkan berdoa kerana ada saat ALLAH akan makbulkan. Jangan lupa berdoa agar wabak Covid-19 diangkat dari muka bumi ini,” jelasnya.

Justeru, beliau menitipkan pesan agar merancang ibadah sebaiknya di rumah dengan membuat jadual.

“Ya, kadangkala letih menguasai diri ketika puasa, tetapi jangan sampai menyebabkan kita malas beribadah kepada-NYA,” nasihat beliau.

Bersyukur, bersabar

Sementara itu, pendakwah, Ustaz Mohd Hassan Adli Yahaya atau lebih dikenali sebagai Imam Muda Hassan menjelaskan, meskipun menghadapi norma baharu meraikan Ramadan, pasti ada hikmah di sebaliknya.

IMAM MUDA HASSAN

Ujarnya, barangkali ALLAH hendak memberikan yang terbaik kepada kita. Apa pun, terima dengan baik dan tetap bersyukur. Anggap ia sebagai ujian bagi orang yang beriman. Bersyukur dan bersabarlah.

“Bila ALLAH beri nikmat, kita bersyukur. Tatkala ALLAH turunkan ujian, kita bersabar dan tidak mengeluh. Sebaliknya teruskan bersyukur dengan nikmat yang ALLAH beri walaupun dalam suasana tidak boleh ke masjid.

“Lihatlah saudara kita di Palestin umpamanya. Mereka tidak boleh ke masjid kerana dalam keadaan takut akibat peperangan dan sebagainya. Kita pula tak boleh ke masjid dan surau untuk kebaikan pada masa akan datang. Jadi tetaplah bersyukur dengan apa yang ALLAH SWT berikan,” ujar beliau.

Dalam menghidupkan Ramadan di rumah, Imam Muda Hassan berkata, inilah masanya ketua keluarga yang tidak pernah mengimamkan solat akan ‘memimpin’ solat fardu dan solat tarawih buat isteri, anak-anak atau ahli keluarga masing-masing.

“Orang yang sebelum ini banyak complain (merungut) imam ini baca panjang, imam ini baca pendek, imam sana baca tak sedap, imam sini pula baca sedap dan sebagainya, sekarang masing-masing semua menjadi imam.

“Ya, sesiapa yang pernah complain sebelum ini, merasalah apabila perlu menggalas tanggungjawab sebagai imam. Itu antara kata-kata lawak yang kita dengar di luar. Apa pun, terimalah keadaan itu seadanya,” katanya.

Tambah beliau, itu mungkin antara hikmah besar di sebaliknya. Bagi orang yang bermuhasabah diri akan menganggap ALLAH hendak menegur dengan cara sebegini.

“PKP mungkin masa untuk buat pilihan sama ada ingin jadi baik atau sebaliknya. Saya lihat hikmah paling besar pada Ramadan kali ini, ALLAH berikan ujian ini supaya ramai buat pilihan hidup yang betul.

“Barangkali selama ini, kita lalai. Namun, apabila berhadapan PKP pada musim Ramadan, inilah peluang untuk kita berfikir dan muhasabah diri,” jelas beliau.