Browsing Tag

terima dua jemputan kenduri

Jemputan kenduri
Gaya Hidup,

Terima dua jemputan kenduri yang jauh jaraknya, mana satu perlu diutamakan?

Terima dua jemputan kenduri yang jauh jaraknya, mana satu perlu diutamakan?

PADA hujung minggu, banyak jemputan kenduri yang diterima. Jika tidak kenduri kahwin, pasti undangan majlis akikah dan seumpamanya.

Jika tempatnya dekat-dekat, tidak mengapalah boleh sahaja semuanya dipenuhi.

Namun, adakalanya undangan yang diterima jauh-jauh pula. Masa pula begitu singkat. Tidak sempat rasanya untuk pergi ke dua tempat yang beratus kilometer jaraknya pada hari yang sama.

Andai kita menerima dua jemputan kenduri, mana satu hendak ditunaikan terlebih dahulu?

Menurut pendakwah Ustaz Azhar Idrus, sekiranya terlalu banyak undangan sehingga tidak dapat pergi semuanya, maka disarankan untuk mendahulukan orang yang menjemput kita terlebih dahulu.

USTAZ AZHAR IDRUS

“Andai jemputan tadi serentak atau bersamaan, maka dahulukanlah mana yang lebih dekat dari segi ikatan kekeluargaannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Instagram miliknya.

Baca juga Tak dijemput, tapi datang kenduri kahwin dan makan jamuan…apa hukumnya?

Perkara itu ada dijelaskan oleh Imam Taqiyuddin Al-Hisni Ad-Dimasyqi dalam Kitab Kifayah al-Akhyar iaitu: “Dan kalau sekumpulan orang menjemputnya, maka hendaklah dia perkenankan siapa yang jemput dahulu. Maka jika kumpulan yang menjemput itu datang bersama, maka hendaklah dia perkenankan siapa yang lebih dekat kekeluargaannya, kemudian yang lebih dekat rumahnya seperti pada sedekah.”

Di samping itu, Ustaz Azhar Idrus turut mengemukakan pandangan Imam As-Syairazi As-Syafie dalam Kitab al-Muhazzab yang menyatakan: “Jika bersamaan antara dua yang menjemput, maka dicabut undi antara keduanya kerana tiada kelebihan bagi salah satunya atas lainnya, maka didahulukan dengan undian.”

Ketahuilah bahawa wajib seorang Muslim untuk memenuhi jemputan yang diterimanya, sebagaimana dipetik dalam portal Addeen.

Rasulullah SAW bersabda: “Apabila ada antara kamu yang dijemput untuk menghadiri walimah, maka hendaklah dia memenuhi jemputan tersebut.” (Muttafaqun ‘alaih)

Ingatlah, kita tidak boleh sewenangnya-wenangnya tidak menghadiri jemputan walimah.

Baca juga Jangan pandang remeh undangan rumah terbuka, satu kesalahan jika sengaja tak hadir dan tanpa keuzuran

Hanya keuzuran tertentu yang dibenarkan untuk kita tidak memenuhi undangan berkenaan walaupun sudah menerima jemputan.

Berikut situasi dan sebab mengharuskan kita berbuat demikian sepertimana yang disenaraikan dalam portal addeen.my:

1. Terdapat perkara mungkar dalam walimah berkenaan dan kita tidak mampu untuk mengubahnya.

2. Uzur syarie seperti sakit, takut dan sebagainya yang menglang seseorang daripada menghadirinya.

3. Andai dalam walimah tersebut ada seseorang yang boleh menyakiti kita sama ada secara fizikal atau perasaan seperti orang itu memang sudah ada perbalahan atau permusuhan dengan kita sebelum itu.

4. Jika kita tahu bahawa tuan rumah hanya menjemput golongan kaya sahaja dan meminggirkan kelompok miskin.

Baca juga Boleh ke buat kenduri kahwin dan jamu tetamu makan daging korban?  

5. Apabila kita sudah memaklumkan ketidakhadiran kita kepada tuan rumah dan dia sudah menerimanya.

Sebaiknya, penuhilah semua undangan walimah yang diterima. Bukan sekadar menjaga silaturahim, tetapi dalam masa sama kita turut menggembirakan mereka.