Browsing Tag

tempat sujud

Pencuri solat
Ibadah,

Pencuri solat, awas.. jangan jadi begitu

ISTILAH pencuri solat barangkali kedengaran agak asing bagi segelintir orang. Masakan tidak, tiada siapa pernah menyangka ada orang yang sanggup berbuat demikian ketika beribadah.

Andai melibatkan pencuri wang atau harta benda, kita sudah mangli tentangnya kerana itulah senario yang kerap juga berlaku di mana-mana.

Berbalik kepada pencuri solat, ketahuilah bahawa memang ada kecurian berlaku ketika sembahyang. Bahkan, ada nas yang secara jelas memerihalkan tentangnya. Ini bermakna, ia bukanlah kisah dongeng.

Namun, siapakah pencuri solat yang dimaksudkan itu?

Jelas Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof Dr Muhamad Rozaimi Ramle dalam laman sosial Facebook miliknya, terdapat beberapa hadis yang menyebutkan tentang keadaan mencuri dalam solat.

DR MUHAMAD ROZAIMI

Ayuh sama-sama kita lihat dan hadamkan bersama agar semua perbuatan itu tidak dilakukan ketika sedang ‘menghadap’ ALLAH SWT:

Baca juga Bolehkah pejam mata ketika solat untuk tambah khusyuk?

i. Orang yang solat sambil melihat ke kiri dan kanan.

Aisyah RA berkata: “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW tentang menoleh-noleh ketika solat. Baginda menjawab: “Ia merupakan satu curian yang mana syaitan mencurinya daripada solat seorang hamba.” (Sahih al-Bukhari, Kitab al-Azan)

ii. Tidak menyempurnakan rukuk dan sujud.

Daripada Abu Qatadah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Seburuk-buruk manusia adalah yang mencuri dalam solatnya. Para sahabat bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana seseorang mencuri dalam solatnya?” Baginda menjawab: “Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.” Atau Baginda berkata: “Dia tidak meluruskan tulang belakangnya ketika rukuk dan sujud.” (Musnad Ahmad)

Melihat kepada kecurian tersebut, tidak hairanlah mengapa ia disebut-sebut dalam hadis kerana memang ada segelintir daripada kita berbuat demikian.

Terdapat individu yang matanya melilau ketika solat dan tidak memandang tempat sujud.

Dalam hal itu, mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan, kebanyakan ulama berpandangan, sunat seseorang yang sedang menunaikan solat menghadapkan pandangan mereka ke tempat sujud.

DR ZULKIFLI

Baca juga Solat pandang Kaabah tanpa melihat tempat sujud, apa hukumnya?

“Andai mereka tidak memandang solatnya ke tempat sujud, makruh hukumnya. Misalnya, memandang ke kiri dan ke kanan atau mengangkat pandangannya ke atas.

“Ini kerana ia amat berjauhan dengan konsep solat yang memerlukan seseorang untuk khusyuk, khudu’ (tekun) dan tekun,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #307: Solat Tanpa Memandang Tempat Sujud di laman web Maktabah Albakri.

Sementara itu, dalam situasi kedua iaitu pencuri solat ketika sujud dan rukuk, laman web people.utm.my menjelaskan, maksud rukuk yang sempurna adalah dengan kedua telapak tangan diletakkan pada lutut dengan jari-jari tangan terbuka dan meluruskan punggung serta leher dengan kadar 90 darjah.

Sikunya pula renggang dari lambung bagi orang lelaki dan jangan lupa ada tamakninah.

“Sujud yang sempurna pula dilakukan di atas tujuh anggota iaitu dahi, kedua-dua belah tangan, kedua-dua lutut dan kedua-dua hujung kaki berserta tamakninah,” katanya.

Baca juga Solat cepat sangat macam ‘ribut’, hati-hatilah sebab takut tak sah, kena ulang balik

Justeru, usahlah kita terburu-buru ketika mendirikan solat yang menjadi tiang agama.

Pencuri solat

DIRIKANLAH solat dengan penuh kesempurnaan dan kekhusyukan serta jangan menjadi pencuri solat. -Foto: Pexels

Lakukanlah kewajiban berkenaan dengan penuh kesempunaan. Tidak kiralah dari segi rukun perkataan, perbuatan mahupun niat.

***Foto: Canva