Browsing Tag

Telefon berbunyi

Telefon berbunyi
Ibadah,

Telefon berbunyi ketika solat, boleh ke matikannya?

Telefon berbunyi ketika solat, boleh ke matikannya?

KETIKA solat, tiba-tiba sahaja telefon berbunyi. Sudahlah pada masa itu sedang mendirikan sembahyang jemaah.

Deringan kuat dari peranti tersebut membuatkan kekhusyukan solat kita dan para jemaah lain sedikit terganggu.

Walaupun masjid dan surau sudah memasang papan tanda atau peringatan supaya memastikan telefon bimbit dalam mod senyap ketika di rumah ALLAH, tetapi adakalanya kita terlupa berbuat demikian.

Dalam keadaan solat ketika telefon berbunyi tadi, bolehkah jika kita mematikan deringan tersebut? Bimbang pula perbuatan itu akan membatalkan ibadah yang sedang dikerjakan.

Baca juga Sama ke pahala baca al-Quran guna telefon dengan mushaf? Jom baca penjelasan ini…

Pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, dalam situasi tersebut, andai pergerakannya banyak, maka ia akan menyebabkan solat seseorang itu batal.

USTAZ AZHAR IDRUS

Sebaliknya, katanya, jika ia hanya melibatkan pergerakan yang sedikit, maka tidaklah ia membatalkan sembahyang.

“Bagaimanapun, seandainya ada tujuan untuk bermain-main dengan pergerakannya itu, maka batal solatnya walaupun sedikit pergerakannya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di Instagram miliknya.

Mengukuhkan faktanya, penceramah terkemuka itu kemudian menukilkan pandangan Syeikh Sulaiman Al-Bujairimi dalam Kitab Hasyiah Al-Bujairimi yang menyatakan: “Maka batal solat dengan gerakan yang banyak secara mutlak, tidak batal dengan gerakan yang sedikit secara mutlak kecuali jika diqasadkan bermain.”

Menurut pandangan Syeikh Bakr Syatha dalam Kitab I’anah At-Talibin: “Dan tempat kata tidak batal solat itu adalah dengan sebab perbuatan yang sedikit jika tidak ada tujuan bermain dengannya dan jika tujuan bermain, maka ia membatalkan solat.”

Sementara itu, Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, tidak mengapa andai seseorang itu mematikan telefon bimbitnya ketika solat dengan syarat dia menjaga pergerakannya.

“Ini kerana nada dering telefon amat mengganggu jemaah lain untuk khusyuk,” katanya sebagaimana dipetik menerusi perkongsian di laman sosial Facebook miliknya.

Baca juga Sukar Khusyuk Ketika Solat, Boleh Cuba Kaedah Yang Disarankan Ini 

Ujar ahli akademik itu, Rasulullah SAW pernah menegur sahabat yang membaca al-Quran di dalam masjid dengan suara yang kuat kerana dikhuatiri mengganggu jemaah lain.

DR AHMAD SANUSI

Dalam Hadis Riwayat Imam Abu Daud diceritakan bahawa: “Suatu hari Rasulullah SAW beriktikaf di dalam masjid dan Baginda mendengar ada sahabat menguatkan bacaan al-Quran mereka. Rasulullah lalu menyelak tabur Baginda dan berkata: “Bukankah kamu semua sedang bermunajat kepada ALLAH? Janganlah ada sebahagian kamu menyakiti (mengganggu) yang lain. Jangan pula kamu tinggikan suara kamu di dalam bacaan (al-Quran kamu) (sebahagian riwayat menyatakan meninggikan suara ketika solat kamu).”

Berdasarkan hadis berkenaan, Dr Ahmad Sanusi menjelaskan, andai perbuatan meninggikan suara ketika sedang mengalunkan kalamullah itu pun ditegur oleh Baginda, inikan pula nada dering dengan lagu yang merosakkan tumpuan orang lain dalam solat mereka.

Menyambung hujahnya, ujar beliau, Mazhab Syafie menyatakan bahawa terdapat beberapa syarat yang mesti dijaga oleh seseorang bagi mengelakkan batalnya solat yang dikerjakan.

Bagi mereka yang ingin mematikan telefon yang berdering ketika solat, tetapi pada masa sama mengelakkan sembahyang didirikan terbatal, maka ahli akademik itu menasihatkan agar kita menjauhi:

Baca juga Solat tanpa berpakaian dalam, apa statusnya?

1. Pergerakan yang banyak.
2. Pergerakan yang bukan daripada pergerakan solat yang jelas seperti berjalan dengan sengaja (tanpa keperluan) atau memukul.
3. Dilakukan dengan sengaja dalam keadaan seseorang itu tahu perbuatan tersebut dilarang.
4. Pergerakan yang dilakukan secara berturut-turut.
5. Pergerakan yang tiada keperluan syarak membenarkannya.

Andai seseorang menjaga segala keperluan itu, maka Dr Ahmad Sanusi berkata, pergerakan kecilnya untuk mematikan telefon bimbit tadi adalah sesuatu yang harus.

“Ingatlah, membiarkan telefon berbunyi sehingga mengganggu jemaah lain adalah lebih dilarang,” tegas beliau.