Browsing Tag

tatacara solat

trending
Antarabangsa,

Lelaki buat kecoh dalam pesawat kerana ingin solat, fahami tatacara sebenar solat atas kapal terbang

Lelaki buat kecoh dalam pesawat kerana ingin solat…

TULAR menerusi satu hantaran di laman Twitter, apabila seorang penumpang lelaki mencetuskan gangguan ketika berada di dalam pesawat sehingga terpaksa berpatah balik.

Menerusi video yang viral itu, dipercayai dirakam oleh individu yang didakwa berada di dalam penerbangan yang sama memaparkan penumpang berkenaan turut menyoal penumpang lain sehingga menimbulkan suasana tegang.

“Nama saya Mohammad. Saya adalah hamba ALLAH.”

“Adakah kamu hamba ALLAH? Katakan… katakan!”

Dalam klip video berasingan pula, penumpang lelaki berkenaan juga dilihat sedang bersolat di laluan antara tempat duduk penumpang, dengan kru penerbangan mengawasi keadaan.

Terdahulu, media melaporkan penerbangan pesawat Malaysia Airlines MH122 dari Lapangan Terbang Sydney pada pukul 1.40 petang Isnin (waktu tempatan) tetapi berpatah balik semasa berada di New South Wales, sebelum mendarat semula di lapangan terbang berkenan pada pukul 3.47 petang.

Baca Juga Perihal solat secara duduk yang anda perlu tahu

Malaysia Airlines dalam kenyataan memaklumkan, keputusan untuk berpatah balik dibuat atas faktor keselamatan.

“Keselamatan dan keselesaan kru serta penumpang kami adalah paling penting bagi Malayisa Airlines,” katanya sambil menambah, pihak berkuasa tempatan sedang menilai situasi tersebut.

Pemilik akaun Twitter yang membuat perkongsian tersebut dalam pada itu turut melontarkan pujian kepada kru penerbangan kerana berjaya mengawal situasi dan memastikan keselamatan penumpang lain sebelum pihak berkuasa tiba.

Sementara itu memetik kenyataan daripada Australian Federal Police (AFP), penumpang lelaki berusia 45 tahun itu berjaya diberkas dan dibawa keluar daripada pesawat, sebaik mendarat.

 

Bagaimana cara solat ketika berada dalam kapal terbang?

Tindakan lelaki yang tular untuk menjaga solat tidaklah dipersalahkan akan tetapi tempat dan keadaan haruslah dilihat terlebih dahulu sebelum bertindak melakukan sesuatu.

Sebagai seorang musafir, walau di mana pun kita berada sebagai seorang hamba-NYA menunaikan solat fardu adalah wajib hukumnya dan berdosa sekiranya kita meninggalkan dengan sengaja.

Bahkan bagi mereka yang sakit terlantar di katil juga Islam ada mengajarkan tatacara solat khusus agar tetap dapat mendirikan solat.

Pendakwah Bebas iaitu Ustazah Asma’ Harun sebelum ini ada berkongsi di laman Facebook rasmi beliau mengenai tatacara solat di atas kapal terbang khas buat mereka yang sedang bermusafir dalam perjalanan yang panjang.

Baca Juga Ini tatacara solat fardu atas kapal terbang yang ramai terlepas pandang

Jelasnya, perlu difahami tidak semua kapal terbang ada menyediakan ruang yang besar dan selesa.

“Jika ada maka kita bersyukur, jika tidak ada ambillah inisiatif untuk tetap mendirikan solat walaupun ruang terhad, cukuplah apabila ruang tersebut memadai untuk kita menunaikan solat.

“Jika dilihat situasi sekarang, boleh saja jika kita solat dalam keadaan duduk di kerusi. Bukanlah ruang menjadi alasan untuk kita tidak mendirikan solat.

TERUTAMA bagi mereka yang bermusafir dengan kapal terbang. Pelbagai alasan yang diberikan dek kerana ruang yang agak sempit di atas kapal terbang itu sehingga ada yang tidak solat dengan alasan akan qada sesudah sampai ke destinasi.

Menurut Ustazah Asma’ lagi, dalam hal ini kita hendaklah melihat kepada dua keadaan:

1. Bagi kapal terbang yang besar, jika terdapat ruang untuk dirikan solat seperti biasa dan kawasan yang bersesuaian untuk melakukannya, maka pilihlah untuk melaksanakan solat secara berdiri supaya lebih banyak rukun fi’li yang dapat kita lakukan dengan lebih sempurna.

2. Sebaliknya, jika kapal terbang itu bersaiz kecil dengan bilangan penumpang yang padat serta seseorang itu tidak boleh berdiri bagi menunaikan solat, maka dibolehkan untuknya solat di tempat duduknya sahaja.

Artikel Berkaitan 

Imam Nawawi berkata dalam karyanya, Al Majmu’ Syarah Al Muhazzab:

Maksudnya: “Ada pun orang yang sedang menaiki kapal maka wajib ke atas dirinya menghadap kiblat dan menyempurnakan segala rukun sama ada kapal tersebut berhenti atau sedang berlayar kerana sesungguhnya tiada kesukaran padanya dan ini telah disepakati para ulama.”

Tetapi, terdapat beberapa keadaan yang perlu diraikan. Antaranya:

– Halakan tubuh badan ke arah kiblat dari awal solat hingga selesai.

– Laksanakan rukun solat sekadar yang termampu.

– Segala rukun qauli (bacaan yang wajib) hendaklah dilaksanakan dengan sempurna.

– Syarat-syarat sah solat hendaklah dilakukan sebaik mungkin.