Browsing Tag

Tanah Suci

Jemaah Haji
Berita Semasa, Dalam Negara,

Bakal jemaah haji positif Covid-19 perlu lalui prosedur

BAKAL jemaah haji perlu menjalani prosedur saringan sebelum menjalani ibadah haji bagi memastikan mereka bebas daripada Covid-19.

Seramai 14,306 jemaah Malaysia akan menunaikan ibadat haji di Arab Saudi pada tahun ini dan mereka dijadualkan tiba di Madinah serta Makkah secara berperingkat.

Terbaharu, penerbangan kumpulan ketujuh (KT07B) melibatkan 297 jemaah haji tempatan telah selamat tiba di Madinah semalam.

Ketika ini dianggarkan 1,172 jemaah haji sudah berada di Tanah Suci sejak penerbangan kumpulan pertama pada Sabtu lalu.

jemaah haji positif

IDRIS AHMAD

Sepanjang proses dijalankan, Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad mengingatkan agar bakal jemaah haji sentiasa mematuhi kawalan kendiri dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, terutamanya ketika mengadakan kenduri doa selamat.

Seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian, beliau berkata demikian susulan tiga jemaah haji dalam kumpulan pertama yang didapati positif penyakit C ovid-19.

“Saya harap bakal jemaah haji lebih berjaga-jaga sewaktu penganjuran kenduri sebelum bertolak. Hendak buat kenduri tidak salah.

Tetapi perlu sentiasa jaga SOP, kita bimbang jadual penerbangan bakal jemaah akan terjejas. Ini kerana saya dimaklumkan terdapat bakal jemaah haji yang positif, disyaki dijangkiti sewaktu kenduri,” katanya pada Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Memanah Kejohanan Sukan Sekolah Menengah Agama (MESMA) Peringkat Kebangsaan pada Ahad lalu.

Baca juga 6 ciri dalam aplikasi Muslim Pro ini bakal bantu jemaah haji

Tambah Idris, bakal jemaah haji tidak perlu bimbang jika mereka didapati positif Covid-19 kerana masih berpeluang untuk mengerjakan haji pada musim ini memandangkan jadual penerbangan terakhir pada Julai.

“Jika mereka positif, mereka ada masa lagi (untuk mengerjakan haji) kerana penerbangan akhir kita (mungkin) pada 2 atau 3 Julai nanti. Sekiranya sudah sihat Insya-ALLAH mereka boleh terbang (ikut kumpulan lain).

“Tidak akan ada (penerbangan tambahan) kecuali satu kapal terbang positif (Covid-19), boleh buat (penerbangan tambahan). Jika seorang atau dua itu mungkin tidak ada masalah, TH (Lembaga Tabung Haji) boleh uruskan,” jelasnya.

Jemaah haji Covid positif

IBADAH haji tahun ini hanya boleh dilaksanakan oleh 1 juta jemaah seperti yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi.

Pengarah Eksekutif Haji Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman pula berkata, bakal jemaah haji yang positif hendaklah segera memaklumkan kepada pihak TH.

Prosedur terbaru Kerajaan Arab Saudi menetapkan bahawa jemaah yang mempunyai ujian PCR negatif sahaja yang dibenarkan untuk menunaikan fardu haji.

Baca juga Kos ibadah haji tahun ini dijangka meningkat

“Ini supaya kita boleh menasihati mereka dan membuat perancangan yang seterusnya supaya dapat membantu mereka juga untuk menunaikan fardu haji pada tahun ini,” ujarnya ketika ditemui media di Pusat Konvensyen Movenpick pada Sabtu lepas.

Selain itu, dalam situasi jemaah berpasangan di mana salah seorang dijangkiti Covid-19, pilihan diberikan sama ada mahu meneruskan secara solo atau menunggu giliran seterusnya untuk pergi bersama.

Sumber: Sinar Harian & Harian Metro

Foto: BERNAMA & Pexels

Wanita tunai umrah tanpa mahram
Antarabangsa, Berita Semasa,

Wanita 45 tahun ke atas dibenarkan tunai umrah tanpa mahram

SELEPAS ibadah haji musim lalu dibenarkan kepada wanita tanpa mahram pada Jun tahun lepas, kali ini Kerajaan Arab Saudi mengambil pendekatan yang sama bagi ibadah umrah pula.

Ia susulan keputusan Kementerian Haji dan Umrah negara berkenaan sebagaimana yang dilaporkan oleh portal berita Saudi Gazette pada Selasa.

Dalam laporan sama, berita baik itu bagaimanapun hanya dikhususkan untuk wanita berusia 45 tahun ke atas.

“Mereka boleh mendapatkan visa umrah dalam ‘kumpulan wanita’ bagi kaum Hawa yang datang dari luar negara untuk menunaikan umrah.

“Ejen (pengendali umrah) tempatan yang diberi kuasa harus membentuk kumpulan wanita,” kata kementerian berkenaan dipetik menerusi laporan saudigazette.com.sa.

Baca juga Jalan kaki lebih 6,000 km ke Makkah untuk tunaikan haji

Wanita tunai umrah tanpa mahram

PADA bulan Jun tahun lalu, Kerajaan Arab Saudi membenarkan jemaah haji wanita menunaikan ibadah berkenaan tanpa mahram bersama jemaah wanita lain.

Pengumuman itu sekali gus membuka ruang kepada wanita Islam di seluruh dunia yang berhasrat untuk menunaikan umrah di Tanah Suci.

Kepada wartawan The National News, seorang ejen pelancongan di Jeddah yang enggan dikenali berkata, peraturan baharu kerajaan itu menggembirakan ramai wanita Islam kerana mengurangkan peraturan dan tekanan ke atas mereka untuk menziarahi Makkah dan Madinah.

“Setakat ini, hanya wanita dibenarkan datang dalam kumpulan wanita bagi menunaikan umrah atau haji ataupun mereka bersama dengan mahram masing-masing,” katanya.

Bagi seorang warga Indonesia yang bermastautin di Arab Saudi, Donna Mohammed, pendekatan tersebut disifatkan menjimatkan wang untuk ramai keluarga.

Ini kerana biasanya wanita perlu membawa anak lelaki, abang atau adik lelaki jika mereka merupakan seorang janda atau sekiranya suami masing-masing tidak dapat berkelana.

Baca juga Lebih 4,000 kakitangan steril di dalam Masjidil Haram setiap hari demi keselamatan para jemaah

“Sebab itulah wanita kadangkala terpaksa mengeluarkan wang daripada poket masing-masing supaya ahli keluarga lelaki dapat menemani mereka, sekali gus menggandakan kos perjalanan dan perbelanjaan kerana perlu membayar mahram.

“Saya rasa langkah ini bagus untuk golongan wanita yang lebih berusia terutama mereka yang tidak semestinya mempunyai kemampuan atau ketersediaan mahram,” katanya sebagaimana dipetik menerusi portal thenationalnews.com.

Wanita tunai umrah tanpa mahram

JEMAAH wanita berdoa di Gunung Arafah di Makkah.

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan Arab Saudi telah mengumumkan beberapa kelonggaran sekatan dan membuka sempadannya kepada jemaah yang tidak divaksin untuk menunaikan umrah dan solat di dua masjid suci andai mereka tidak dijangkiti Covid-19 atau berhubung dengan pesakit virus berkenaan.

Pada masa sama, kerajaan negara berkenaan turut membatalkan syarat pengesahan status kesihatan kepada semua jemaah melalui aplikasi Tawakkalna.

Foto: Pexels, The National News & Saudi Gazette

Ibadah haji
Isu, Pilihan Editor,

Perlu Reda Terima Keputusan Penangguhan Haji Demi Keselamatan Bersama

no comment

Oleh DATUK DR ANHAR OPIR

BARU-BARU ini, kerajaan Arab Saudi mengumumkan berita penangguhan haji ekoran penularan virus Covid-19 yang masih berleluasa kini. Sesungguhnya, pendekatan itu dilakukan demi menjaga keselamatan dan kesihatan semua.

Hanya 60,000 rakyat dan pemastautin di Arab Saudi sahaja yang dibenarkan melaksanakan ibadah berkenaan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Keputusan itu turut memberi kesan kepada bakal jemaah haji dari Malaysia. Namun begitu, sebagai seorang Muslim, sememangnya kita yakin ada hikmah di sebalik penangguhan haji buat kali kedua selepas keputusan sama diputuskan pada tahun lalu.

Seperti yang kita sedia maklum, penularan wabak itu telah meragut jutaan nyawa di seluruh dunia. Ia telah memberi kesan bukan sahaja dalam sektor ekonomi dan sosial, malah pelaksanaan ibadah seperti solat berjemaah di masjid dan surau.

Seandainya difikirkan secara mendalam, penangguhan itu sebenarnya adalah satu keputusan yang wajar. Ini kerana wabak Covid-19 boleh mengancam nyawa jutaan jemaah haji dari seluruh dunia disebabkan kesesakan semasa menunaikan ibadah tersebut.

Ibadah haji


UMAT Islam perlu reda menerima keputusan penangguhan ibadah haji bagi mereka yang berada di luar Arab Saudi demi kemaslahatan bersama.

Hakikatnya, kewajipan dan pelaksanaaan ibadat haji sepertimana yang kita maklum bergantung pada syarat istito‘ah (kemampuan) yang meliputi aspek kesihatan, kewangan, keselamatan dan kebenaran atau kuota yang diperuntukkan kepada setiap negara.

Baca juga 11 Amalan Yang Pahalanya Setara Seperti Tunaikan Haji, Umrah

ALLAH SWT berfirman: “Dan ALLAH mewajibkan ke atas manusia untuk mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu bagi sesiapa yang mampu untuk sampai kepadanya.“ (Surah Ali ‘Imran, ayat 97)

Begitupun, pada hari ini, masih ada pertembungan pendapat tentang apa yang perlu diutamakan iaitu antara kemestian melaksanakan Rukun Islam atau mencegah kemudaratan semasa melaksanakan ibadah.

Keutamaan

Jika dilihat kepada lima dhoruriyat Maqasid Syariah, menjaga agama (Hifzu ad-Din) adalah lebih tinggi atau utama daripada menjaga nyawa (Hifzu an-Nafs). Oleh itu, ada yang berpandangan menunaikan ibadah haji lebih utama daripada mencegah kemudaratan.

Pun demikian, kita perlu meneliti dengan lebih mendalam apakah menunaikan ibadah haji termasuk dalam pengertian Hifzu ad-Din yang terkandung dalam Maqasid Syariah tersebut?

Ibadah haji

KEPUTUSAN penangguhan haji yang diputuskan adalah demi kemaslahatan bersama. Berdoalah agar wabak Covid-19 yang masih menular ini akan berakhir secepat mungkin.

Ketahuilah, menjaga nyawa sangat penting. Ia selaras dengan firman ALLAH SWT: “Dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu dalam bahaya kebinasaan.“ (Surah al-Baqarah, ayat 195)

Berdasarkan kalamullah itu, Islam secara jelas mengutamakan pencegahan keburukan terutama yang melibatkan nyawa manusia.

Pihak pemerintah tidak seharusnya mendedahkan jemaah haji kepada kemudaratan wabak Covid-19 yang akan memberi kesan kepada kesihatan dan keselamatan mereka, tetapi juga pada ahli keluarga, sekali gus berkemungkinan mewujudkan kluster baharu.

Justeru, umat Islam perlu reda dan terus bersabar dengan penangguhan ibadah haji pada tahun ini.

Bagi warga emas pula, jika ditakdirkan tidak berkesempatan untuk menyempurnakan ibadah yang begitu diidam-idamkan sejak sekian lama disebabkan sudah melepasi syarat umur yang ditetapkan, maka Islam menyediakan ruang untuk mereka melaksanakannya secara badal haji iaitu menerusi pihak lain sekiranya mereka berkemampuan dari segi kewangan.

Kepada mereka yang tidak dapat menunaikan haji pada tahun ini juga, janganlah khuatir kerana niat yang baik untuk mengerjakan ibadah haji tetap akan mendapat ganjaran di sisi ALLAH SWT.

Berdasarkan Ibnu Abbas RA daripada Nabi Muhammad, ALLAH SWT berfirman: “Sesungguhnya ALLAH SWT telah menetapkan (balasan) setiap kebaikan (pahala) dan setiap kejahatan (dosa). Kemudian beliau menjelaskannya: Maka sesiapa berniat melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya (kerana keuzuran), maka ALLAH SWT menulis kebaikan itu disisi-NYA sebagai satu kebaikan yang sempurna untuknya. Sekiranya dia berniat untuk melakukan kebaikan, lalu dia melakukannya, maka ALLAH SWT menulis kebaikan itu disisi-NYA sebanyak 10 kebaikan hingga 700 gandaan, sehingga gandaan kebaikan yang banyak untuknya. (Sebaliknya) Jika dia berniat melakukan kejahatan, tetapi dia tidak melakukannya (kerana takut kepada ALLAH SWT), maka ALLAH SWT menulis disisi-NYA satu kebaikan yang sempurna baginya. Sekiranya dia berniat melakukan kejahatan, lalu dia melakukannya, maka ALLAH SWT akan menulis kejahatan itu baginya hanya sebagai satu kejahatan.“ (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibadah haji


KEPADA para bakal jemaah haji tahun ini, bersabarlah tidak dapat menjejakkan kaki ke Tanah Suci dan percayalah pasti tersirat hikmat di sebaliknya.

Sesungguhnya, halangan yang menyebabkan jemaah haji luar dari Arab Saudi tidak boleh menunaikan haji pada tahun ini dan tahun lalu bukanlah sesuatu yang dapat dielakkan. Tiada sesiapa yang meminta perkara itu terjadi.

Gara-gara wabak Covid-19 yang mengancam nyawa menyebabkan ibadah mulia itu sekali lagi tidak dapat dikerjakan khususnya bagi mereka yang berada di luar negara Arab Saudi pada musim ini.

Ia bersesuaian dengan anjuran Rasulullah SAW sebagaimana sabda baginda: “Apabila kamu mendengar bahawa taun (wabak) menimpa sesuatu tempat, maka janganlah kamu masuk ke dalam kawasan tersebut. Dan apabila kamu berada dalam kawasan yang terdapat padanya taun (wabak) maka janganlah kamu keluar darinya.“ (Riwayat al-Bukhari)

***Datuk Dr Anhar Opir ialah Timbalan Mufti Selangor & Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji-Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Foto: Freepik, Arab News & Reuters