Browsing Tag

tamak yang tidak merugikan

Tamak
Gaya Hidup,

Biar tamak lakukan kebaikan dalam ibadah, jangan haloba urusan dunia

Biar tamak lakukan kebaikan dalam ibadah, jangan haloba urusan dunia

BOLEH dikatakan agak kerap juga kita mendengar pernyataan ‘orang tamak selalu rugi’.

Meskipun ada benarnya frasa tersebut, namun masih terselit sesuatu yang bermanfaat di sebalik perkataan tamak tersebut.

Malah, ada masa tertentu kita dibenarkan untuk bersifat sedemikian.

Menurut Jabatan Mufti Negeri Perak, andai kita bersikap tamak melakukan kebaikan dalam ibadah untuk menyelamatkan diri daripada api neraka, itulah yang dinamakan sebagai tamak terpuji.

“Maknanya, kita tamak dalam melakukan kebaikan untuk mendapatkan pahala yang lebih daripada ALLAH SWT. Itu tidak mengapa,” katanya sebagaimana dipetik menerusi infografik yang disiarkan dalam laman sosial Facebook milik jabatan itu.

Tamak

INFOGRAFIK yang dikongsikan di laman sosial Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak tentang sikap tamak. -Sumber: Facebook Jabatan Mufti Negeri Perak

Bagaimanapun, Jabatan Mufti Negeri Perak menegaskan, sifat tamak dalam urusan dunia adalah dilarang sama sekali.

Baca juga Hidup di dunia jangan kedekut sangat, malaikat doakan kecelakaan pada golongan ini…ingat tu 

Sementara itu, pendakwah bebas Ustaz Suhaimi Jairi menjelaskan, manusia sememangnya tidak pernah puas dengan harta kerana itulah sifat mereka kecuali individu yang diberikan hidayah oleh ALLAH SWT.

“Benar, ada yang menghabiskan waktu hanya untuk urusan dunia hingga lupa tanggungjawabnya kepada ALLAH.

“Malah, ada yang tidak berkesempatan untuk menunaikan solat lima waktu, apalagi berjemaah di masjid atau menghadiri majlis-majlis ilmu.

“Sebaliknya, mereka begitu sibuk mengumpul harta tanpa henti. Harta benda yang sedia bertimbun seakan-akan tidak cukup, malah ada yang menginginkan lebih banyak lagi,” katanya sebagaimana dipetik menerusi serantaumuslim.org.my.

Sikap kelompok berkenaan bertepatan dengan sebuah hadis diriwayatkan oleh Ibn Abbas RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Seandainya seorang anak Adam memililiki satu lembah emas, tentu ia menginginkan dua lembah lainnya, dan sama sekali tidak akan memenuhi mulutnya (merasa puas) selain tanah (iaitu setelah mati) dan ALLAH menerima taubat orang-orang yang bertaubat.” (Hadis Riwayat al-Bukhari & Muslim)

Tamak

MANUSIA sememangnya tidak pernah puas dengan harta kerana itulah sifat mereka kecuali individu yang diberikan hidayah oleh ALLAH SWT. -Foto: Canva

Lantaran itu, beliau menitipkan pesan agar sifat tamak yang lahir dalam diri manusia seharusnya dikawal dengan didikan akidah yang sahih iaitu bersumberkan al-Quran dan hadis.

Usaha itu, katanya, ia akan membibitkan keyakinan bahawa sebanyak mana pun harta dunia, hakikatnya hanyalah sedikit dan bersifat sementara.

Baca juga Jangan terlalu lokek, tak kurang sedikit pun harta kita kalau bersedekah atau berwakaf

“Maka sudah tentulah kita tidak akan menjadikannya sebagai buruan, tetapi jambatan menuju ke akhirat,” ungkapnya.

Suatu perkara yang perlu difahami, ujar Ustaz Suhaimi, harta kekayaan merupakan rezeki kurniaan ALLAH kepada hamba-hamba-NYA.

Malah, kita juga digalakkan untuk mengumpulkan harta daripada sumber yang halal dan mengikut landasan syarak agar ia membawa keberkatan di dunia dan akhirat.

“Ingatlah, ia hanya pinjaman semata-mata. Bila-bila masa ia akan lenyap daripada pegangan kita kerana pemilik hakikinya hanyalah ALLAH SWT.

“Bahkan, harta tersebut turut akan dipersoalkan dari mana sumbernya, bagaimana perbelanjaan dan penggunaannya kelak kerana Islam melarang daripada melakukan pembaziran ataupun mensia-siakan harta, di samping menganjurkan cara hidup bersederhana,” katanya.

Tamak

KETAHUILAH bahawa setiap daripada harta yang kita peroleh akan ditanya dari mana sumbernya, bagaimana perbelanjaan dan penggunaannya di akhirat kelak. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Dalam pada itu, pendakwah itu mengingatkan, Islam pada hakikatnya menyeru umatnya mengejar kekayaan dunia dengan tujuan untuk membantu orang lain yang tidak berkemampuan.

Baca juga Kaya juga satu ujian. Ini yang perlu kita tahu

“Masakan tidak, dengan harta tadi kita dapat mengeluarkan zakat, bukannya menjadi penerima sahaja. Semakin banyak harta, maka semakin besarlah zakatnya.

“Dengan harta itulah digunakan untuk membantu orang kurang bernasib baik seperti fakir miskin, mangsa banjir, saudara Islam di Palestin dan Syria,” katanya.

Pendek kata, biarlah harta yang dimiliki membuatkan kita dekat dengan ALLAH SWT melalui amal-amal soleh dan sedekah jariah.

Semoga kesenangan yang dikurniakan dapat memberikan kebaikan untuk diri, keluarga, masyarakat dan agama sama ada di dunia mahupun akhirat.

Itulah sifat ‘tamak’ yang tidak mendatangkan kerugian.