Browsing Tag

Tak solat Jumaat

Qada puasa jika waswas
Berita Semasa,

Menteri Agama jawab hukum 3 kali berturut-turut tak solat Jumaat akibat PKP

HARI ini genaplah tiga kali solat Jumaat ditiadakan suslan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak 18 Mac lalu.

Ini bermakna, kebanyakan kita tidak dapat menunaikan solat Jumaat di rumah ALLAH. Namun begitu, solat Jumaat itu digantikan dengan solat Zuhur di rumah masing-masing.

Sedikit sebanyak timbul kegusaran dalam hati kerana takut dianggap sebagai munafik gara-gara tidak pergi menunaikan solat Jumaat.

Ini kerana, ada hadis yang menyatakan sedemikian seandainya tidak menunaikan solat Jumaat selama tiga hari berturut-turut.

Terpanggil untuk menjawab segala kemusykilan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri ada menulis jawapannya di laman sesawang miliknya.

ZULKIFLI

Jom kita ikuti perkongsian beliau:

“Benar terdapat hadis sedemikian, tetapi ia perlu dibaca secara menyeluruh. Antaranya apa yang diriwayatkan oleh Abu al-Ja‘di al-Dhamriy RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَنْ تَرَكَ الْجُمُعَةَ ثَلاَثًا طَبَعَ اللهُ عَلَى قَلْبِهِ وَجَعَلَ قَلْبَهُ فَهُوَ قَلْبُ الْمُنَافِقِ

Maksudnya: “Sesiapa yang meninggalkan Jumaat tiga kali nescaya ALLAH akan mencap hatinya, dan ALLAH menjadikan hatinya itu seperti hati orang munafik.” (Riwayat al-Tirmizi, al-Nasa’ie dan Ibn Khuzaimah) 

Namun demikian, dalam lafaz yang lain ada menjelaskan sebab ia dilabel sebagai munafik seperti sabda Rasulullah SAW:
مَنْ تَرَكَ الجُمُعَةَ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ تَهَاوُنًا بِهَا طَبَعَ اللَّهُ عَلَى قَلْبِهِ

Maksudnya: “Barang siapa yang meninggalkan solat Jumaat tiga kali kerana meringan-ringankannya, ALLAH akan mengunci hatinya.” (Riwayat al-Tirmizi) 

Perkataan “تَهَاوُنًا” (kerana meringan-ringankannya) jelas menunjukkan sifat kemalasan dan tidak menghadiri Jumaat tanpa uzur dan sebarang sebab.

Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan bahawa ia bermaksud meninggalkannya kerana mengambil mudah, manakala al-‘Aini pula menyebut: Erti perkataan “تَهَاوُنًا بِهَا” adalah meninggalkannya disebabkan sikap malas dan culas dalam melaksanakannya. (Lihat Mirqat al-Mafatih, 3/1024)

Dalam riwayat Jabir bin Abdillah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang meninggalkan solat Jumaat sebanyak tiga kali tanpa sebarang darurat, maka ALLAH akan mengunci mati jantung hatinya.” (Riwayat Al-Nasa’ie)

Maksud hadis ini adalah meninggalkan dengan sengaja tanpa darurat atau sebarang uzur Syar’ie.

Sedangkan isu yang melanda ini juga termasuk dalam bab keuzuran.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda: “Barang siapa yang mendengar azan tetapi dia tidak menjawabnya (yakni datang menunaikannya), maka tidak ada solat baginya melainkan kerana uzur.” Mereka (para sahabat) bertanya: “Apakah keuzuran itu?” Baginda menjawab: “Ketakutan dan sakit.” (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

Perkataan al-maradh adalah penyakit bagi individu dan untuk maslahat perseorangan. Akan tetapi, dalam isu Covid-19 ini, ia adalah satu wabak penyakit berjangkit.

Justeru, ia lebih bersifat maslahah ‘ammah (kemaslahatan umum) yang kita disuruh untuk kuarantin dan duduk di rumah (stay at home) yang perlu lebih lagi diutamakan.

Perkara ini juga sudah dibincangkan bersama pihak-pihak seperti  Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga pakar-pakar berkenaan isu ini.

Ia selaras dengan satu kaedah yang menyebut: “Menghukum sesuatu perkara adalah cabang daripada gambaran mengenainya.”

Begitu juga nas ILAHI turut menyebut: “Maka bertanyalah kepada orang yang mempunyai pengetahuan jika kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Nahl, ayat 43)

Ahl al-Zikr dalam isu ini adalah pakar perubatan dan kesihatan termasuk yang berkaitan isu ini seperti pakar kawalan penyakit berjangkit.

Maka, kami katakan golongan yang dilabel sebagai munafik itu ialah mereka yang meninggalkan tiga kali Jumaat dengan sengaja tanpa sebarang keuzuran.

Sedangkan situasi yang berlaku sekarang ialah umat Islam sedang berada dalam keadaan darurat kesihatan disebabkan penularan wabak penyakit berjangkit Covid-19.

Justeru, kami dengan rendah diri merayu agar seluruh umat Islam di negara ini kekal meletakkan kepatuhan yang tinggi terhadap arahan kerajaan dan fatwa pihak berkuasa agama.

Sesungguhnya kita semua mahu segera keluar daripada kemelut pandemik ini, namun ia memerlukan komitmen dan kerjasama semua pihak terutama diri kita sendiri.

Akhir kalam, jangan pergi masjid! Solatlah Zuhur berjemaah di rumah atau di tempat masing-masing,” nasihat Zulkifli.

Semoga jawapan ini memberi pencerahan kepada mereka yang musykil tentang hal ini.

Apa pun, jaga diri kita dan orang di sekeliling demi kemaslahatan bersama. Patuhi arahan pihak berkuasa dan kerajaan dalam mengekang penularan wabak Covid-19 ini.

Semoga kita semua sentiasa dalam peliharaan-NYA.

(Sumber: Kalamuna Siri 3: Solatlah Zuhur di Rumah, Jangan Pergi Masjid, portal zulkifliflialbakri.com)