Browsing Tag

tak mampu ganti puasa dan bayar fidyah

Puasa
Ibadah,

Jika tak mampu ganti puasa dan bayar fidyah, apa patut dibuat?

KEPADA mereka yang masih belum ganti puasa ditinggalkan pada bulan Ramadan lalu, masih sempat lagi untuk menunaikannya sekarang.

Bukan apa, ia merupakan kewajipan kita yang wajib dilakukan kerana melibatkan ‘hutang’ dengan ALLAH SWT.

Barangkali ada yang kurang jelas dengan situasi bila mana seseorang itu perlu menggantikan puasa dan dikenakan fidyah.

Baca juga Usah batalkan puasa ganti sesuka hati, ini penjelasannya

Mengupas tentang perincian tentang golongan dikenakan fidyah, Sinar Islam Plus merujuk kepada laman web Majlis Agama Islam Negeri Johor:

1. Orang yang meninggalkan puasa Ramadan kerana uzur syarie (musafir, haid atau nifas atau wiladah) atau sakit yang ada harapan sembuh.

– Kelompok ini wajib mengqadakan puasa.

– Andai dirinya tidak sempat menggantikan puasa sehingga datang Ramadan berikutnya, maka wajib dia qada puasa dan membayar fidyah.

Puasa

BAGI mereka yang masih belum menggantikan puasa Ramadan lalu, segeralah berbuat demikian. -FOTO: FREEPIK

2. Orang sakit yang tiada kemungkinan atau harapan untuk sembuh yang disahkan oleh doktor, tidak boleh berpuasa.

– Tidak wajib qada puasa.

– Wajib bayar fidyah pada tahun tersebut.

Baca juga Jangan Culas Bayar Fidyah

3. Ibu hamil atau masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan dengan sebab bimbang kesihatan dirinya sahaja atau bimbang kesihatan diri dan anaknya/ janinnya.

– Wajib qada puasa.

– Tidak wajib bayar fidyah.

– Bagaimanapun, sekiranya individu itu tidak menggantikan puasanya sehingga datang bulan Ramadan berikutnya, maka dia wajib qada puasa dan membayar fidyah.

4. Ibu hamil atau masih menyusui anaknya yang tidak berpuasa pada bulan Ramadan dengan sebab bimbang akan kesihatan janinnya/ anaknya sahaja.

– Wajib qada puasa.

– Wajib bayar fidyah.

5. Orang yang telah meninggal dunia dan tidak sempat menggantikan puasanya.

– Tanggungjawab membayar fidyah si mati dilaksanakan oleh waris-warisnya mengikut bilangan hari yang ditinggalkan.

Bagaimana pula jika seseorang individu itu tidak mampu untuk ganti puasa dan membayar fidyah?

Baca juga Wajibkah anak ganti puasa ibu bapa yang sudah meninggal dunia?

Sinar Islam Plus mengajukan persoalan tersebut kepada Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari, Universiti Teknologi MARA, Ustazah Sharifah Fadylawaty Syed Abdullah.

USTAZAH SHARIFAH FADYLAWATY

Jelas beliau, bagi individu yang tidak mampu membayar fidyah disebabkan keadaan ekonomi yang sukar dan pada masa sama tidak mampu berpuasa bagi menggantikan hutang puasanya disebabkan kekangan seperti sakit tua atau kronik, maka kewajipan fidyah itu gugur ke atasnya.

Ini kerana ia termasuk dalam kategori orang susah (mu’sir), sedangkan pemberian fidyah disyaratkan kepada orang fakir, ungkapnya.

“Istilah mu’sir (orang susah) merujuk kepada individu yang tidak berkemampuan membayar fidyah di mana mereka tidak memiliki harta bagi tujuan tersebut kerana harta yang ada hanya cukup untuk menampung keperluannya sahaja,” katanya.

Ujar ahli akademik itu, pengguguran pembayaran fidyah itu selari dengan pandangan Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ Syarh al-Muhadzzab: “Liabiliti fidyah itu gugur (bagi orang mu’sir) dan tidak wajib juga membayarnya apabila sudah senang. Sama seperti hukum membayar zakat fitrah, kerana dia lemah semasa keadaan taklif (tidak mampu ketika diberi tanggungjawab) sedangkan dia tidak dikenakan apa-apa balasan kerana suatu perbuatan jenayah atau seumpamanya.”

Baca juga Terlupa bilangan puasa untuk diqada, ini kaedah disarankan

Bagaimanapun, seandainya orang itu mempunyai kemampuan untuk membayarnya pada suatu hari kelak, Ustazah Sharifah Fadylawaty menjelaskan, terdapat dua pandangan dalam hal itu.

Puasa

BAGI golongan tidak berkeupayaan membayar fidyah disebabkan keadaan ekonomi yang sukar dan pada masa sama tidak mampu berpuasa bagi menggantikan hutang puasanya disebabkan kekangan seperti sakit tua atau kronik, maka kewajipan fidyah itu gugur ke atasnya.

“Menurut pandangan pertama, ia perlu dibayar, manakala pendapat lagi satu menyatakan, tidak perlu menggantikan hutang-hutangnya yang lalu kerana kewajipan tersebut telah gugur bagi orang mu’sir dan tidak juga wajib membayarnya apabila sudah senang.

“Namun, sekiranya ada pihak lain yang ingin membayar fidyah bagi individu tersebut, maka hukumnya adalah sunat. Bagaimanapun, sumbangan tersebut perlu memberi keutamaan terhadap keperluan dan nafkah individu mu’sir terlebih dahulu serta mendapat keizinannya,” terang beliau.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.