Browsing Tag

syurga

9305fa06-65ca-4731-8d44-edb74e18c129
Isu,

Liberalisme dan Pluralisme: Jangan rosakkan akidah

Pengenalan

Fahaman Liberalisme dan Plularisme telah diwartakan sebagai bahaya oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 10 Oktober 2013 (31 Julai 2014).  Ini kerana kedua-dua fahaman tersebut bertentangan dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Antara kandungan fatwa yang diwartakan adalah gesaan terhadap mana-mana individu yang berpegang kepada fahaman Liberalisme dan Pluralisme agama hendaklah segera bertaubat dan kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Sebenarnya, fatwa sedemikian bukan sesuatu yang baharu. Pada Julai 2006, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Ugama Islam Ke-74 yang menghimpunkan semua mufti di negeri-negeri juga memutuskan perkara yang sama, iaitu Liberalisme adalah ajaran sesat dan menyeleweng daripada syariat Islam.

Sejauh manakah seriusnya bahaya dan ancaman Liberalisme dan Pluralisme ini?

Lahirnya Liberalisme dan Pluralisme

Liberalisme atau kadang-kadang disebut juga dengan Islam Liberal merujuk kepada suatu fahaman yang menyeru kepada pemahaman dan pengamalan agama secara bebas tanpa terikat dengan pemahaman para ulama Islam terdahulu.

Tidak keterlaluan untuk menyimpulkan bahawa Liberalisme adalah jelmaan Muktazilah zaman moden, manakala Pluralisme pula berpegang kepada prinsip bahawa agama yang benar tidak hanya eksklusif kepada agama Islam sahaja.

Dengan kata lain pendokong Pluralisme berpegang kepada pendirian bahawa bukan sahaja Islam agama yang benar serta memimpin manusia masuk ke syurga, bahkan agama-agama lain juga boleh membawa penganutnya ke syurga dan selamat dari neraka.

Liberalisme agama muncul akibat pertembungan antara mazhab-mazhab dalam agama Kristian yang dimulai dengan gerakan Reformation pimpinan Martin Luther. Liberalisme semakin rancak berkembang seiring dengan gerakan Enlightenment dan Renainsans yang menyeru kepada pembebasan manusia daripada kerangka kuasa gereja yang mengongkong kehidupan masyarakat dalam semua hal.

Liberalisme dalam masyarakat Eropah membuahkan kemajuan yang menyilaukan sebahagian intelektual Muslim. Mereka menyangka dengan melakukan pembaharuan terhadap agama Islam dengan meninggalkan akar tradisi dan keilmuan para ulama silam, umat Islam akan lebih maju sebagaimana masyarakat barat. Manakala Pluralisme adalah salah satu produk yang lahir dari ‘rahim’ Liberalisme.

Sekian lama umat Islam memahami bahawa hanya ajaran Islam yang membimbing manusia ke syurga, kini dipaksa pula umat Islam untuk percaya bahawa Islam adalah salah satu agama yang benar, tanpa menafikan kebenaran agama-agama lain.

Pluralisme agama muncul dan berkembang secara agresif pada abad ke-20 adalah natijah daripada andaian bahawa pertumpahan darah dan permusuhan yang berlaku di dunia adalah disebabkan oleh sikap eksklusif dalam mendakwa kebenaran.

Oleh itu, pemikir barat antaranya John Hick beranggapan bahawa Pluralisme agama adalah satu-satunya jalan keluar bagi menangani sikap saling memusuhi dan tidak toleran masyarakat beragama. Jadi, di manakah bahayanya kedua-dua fahaman ini?

Sumber imej: Al-Fatih Media Dakwah

Kesan buruk anutan Liberalisme dan Pluralisme

Kedua-duanya iaitu Liberalisme dan Pluralisme tidak sekadar ideologi dan teori yang bersifat intelektual semata-mata, malah mampu mendatangkan bekas dan kesan terhadap tingkah laku para penganutnya.

Kedua-duanya adalah ibarat wabak yang menyerang saraf iman sehingga melumpuhkan keyakinan akidah seseorang Muslim. Sekurang-kurangnya terdapat lima kesan buruk yang sangat berbahaya terhadap akidah muslim.

Pertama: Menghalalkan yang haram

 Pendokong Liberalisme tidak segan silu menghalalkan perkara yang diharamkan oleh ALLAH SWT dalam al-Quran. Pakar rujuk Jaringan Islam Liberal (JIL) di Indonesia, Prof. Musdah Mulia secara terang-terangan menegaskan bahawa perlakuan homoseksual adalah normal kerana naluri tersebut adalah datang daripada Tuhan.

Ironinya, beliau adalah profesor di sebuah Universiti Islam di Indonesia! Agaknya berapa ramai lagi muridnya yang bakal menuruti jejak langkah beliau? Prof. Musdah Mulia dengan beraninya menyatakan bahawa ulama Muslim beraliran sederhana dan progresif menegaskan bahawa tiada alasan dan dalil yang kukuh untuk menolak homoseksual.

Pengharaman homoseksual oleh majoriti para ulama adalah berdasarkan penafsiran yang sempit dan jumud. Seandainya perlakuan homoseksual yang merupakan sekeji-keji kemungkaran dalam Islam dan juga dalam peradaban manusia normal itu dihalalkan, apakah lagi perkara-perkara haram lain yang juga bakal diperakukan halal oleh pendokong Liberalisme?

Kedua: Normalisasi hukum murtad

 Apabila pendokong Pluralisme yang berpegang kepada tanggapan bahawa kebenaran tidak hanya eksklusif kepada agama Islam sahaja, maka sudah pastinya isu murtad dalam kalangan umat Islam tidak lagi dianggap serius. Umat Islam boleh sahaja diberikan hak untuk mencuba agama-agama lain dengan berpandukan kepada kebebasan memilih.

Pendokong Liberalisme secara beraninya menyandarkan dakwaan ini kepada nas al-Quran yang ditafsirkan menurut selera mereka iaitu “Tiada paksaan dalam agama” (surah al-Baqarah: 256). Mereka mendakwa kononnya Islam tidak memaksa penganutnya untuk kekal dalam agama Islam. Padahal ijmak keseluruhan ahli tafsir menegaskan bahawa ayat ini hanya terpkai kepada golongan bukan Islam sahaja.

 Ketiga: Usaha dakwah bakal sia-sia

 Usaha dakwah juga sudah tidak relevan jika Pluralisme ini tertanam dalam minda umat Islam. Apakah kewajaran untuk seseorang penganut agama lain menganut agama Islam seandainya agama yang mereka anuti juga adalah benar dan mampu menjamin keselamatannya di akhirat kelak?

Apa gunanya nabi Muhammad SAW menghantar surat-surat kepada pembesar Rom yang beragama Kristian dan pembesar Parsi yang beragama Majusi kalau tidak kerana mengajak kepada kebenaran agama Islam?

Sandainya kebenaran dan jaminan keselamatan di akhirat juga terdapat dalam agama-agama lain, sudah pastinya para sahabat baginda tidak bersusah payah meninggalkan Makkah dan Madinah yang penuh barakah, demi semata-mata memastikan cahaya Islam bersinar ke seluruh pelosok alam.

Keempat: Meremehkan tihad ulama silam

Sekian lama tokoh-tokoh empat mazhab yang unggul, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Sya’e dan Imam Ahmad menempati kedudukan yang istimewa di hati umat Islam, khususnya golongan cendiakawan dan intelektual.

Pandangan-pandangan dan hasil ijtihad mereka disantuni dengan penuh sopan sekalipun tidak dianggap maksum. Namun, sikap sebegini tidak wujud sama sekali dalam minda penganut Liberalisme.

Walaupun tidak dianggap seumpama kain buruk, pandangan para ulama silam tidak lebih seumpama warisan sejarah yang hanya layak ditempatkan di muzium untuk kenang-kenangan sahaja.

 Penutup

Bahaya Liberalisme dan Pluralisme tidak boleh dipandang ringan. Oleh itu, cendikiawan Muslim Indonesia, Dr. Adian Husaini secara sinis menggambarkan ideologi Sekularisme, Pluralisme dan Liberalisme dengan ungkapan ‘SIPILIS’, iaitu suatu penyakit berbahaya (siflis) akibat daripada perlakuan seksual songsang.

Tambahan, di zaman langit terbuka dan masyarakat banyak menghabiskan masa di rumah melayari media sosial lantaran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), anasir-anasir pemikiran songsang sangat mudah menerobos masuk dalam minda umat Islam.

Satu-satunya benteng kukuh bagi mendepani cabaran ini adalah pertahanan ilmu yang diperkuatkan dengan benteng akidah. Jadi, umat Islam wajib mendalami ilmu berkaitan asas-asas agama ditambah dengan ilmu yang memperkenalkan syubhah-syubhah musuh Islam.

Maka, dengan kelengkapan ilmu ini, masyarakat Islam tidak akan mudah dimomokkan dengan ideologi-ideologi sesat yang boleh menghakis keimanan dan merosakkan akidah!

rachid-oucharia--5KiYzyuqV8-unsplash
Panduan,

Ustaz Ebit senaraikan 6 perkara perlu pelihara jaminan Muslim ke syurga

SEMUA orang Muslim berkeinginan untuk masuk syurga dan tiada sesiapa yang sanggup untuk menjadi penghuni neraka walaupun sesaat sekali pun.

Namun, tujuan Allah menjadikan syurga dan neraka itu ada sebab-sebabnya.

Syurga itu mempunyai nikmat yang tidak terperi hebatnya bagi mereka yang soleh.

Syurga turut digambarkan yang cukup indah, penghuninya boleh bersenang-lenang dengan pelbagai jenis buah-buahan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syurga terdiri daripada seratus tingkat, jarak antara dua tingkatnya seperti jarak antara langit dan bumi, Allah menyediakannya untuk orang yang berjihad pada jalanNya.” – [Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim].

Dalam surah ar-Rahman, ayat 52 Allah berfirman yang maksudnya; “Pada kedua-dua syurga itu terdapat dua macam daripada tiap-tiap jenis buah-buahan (yang biasa dan yang luar biasa).”

Seperti yang dikongsi pendakwah bebas terkenal, Ebit Irawan Ibrahim Lew atau lebih dikenali dengan gelaran Ustaz Ebit dalam Channel Telegram miliknya.

Daripada ‘Ubadah bin Ash Shamit bahawa Nabi SAW bersabda: “Jaminlah enam perkara untukku dari diri kalian, nescaya aku akan menjamin syurga untuk kalian; jujurlah jika berbicara, tepatilah jika kalian berjanji, tunaikanlah amanah jika kalian diserahi amanah, jagalah kemaluan kalian, tundukkan pandangan kalian dan tahanlah tangan kalian.” (HR Ahmad No: 21695) Status: Hadis Hasan.

Bulan Rejab

Menurut beliau, Rasulullah SAW memberi jaminan setiap Muslim akan masuk syurga jika memelihara enam perkara:

1. Jujur jika berbicara

Ibnu Qayyim berkata: Kejujuran adalah jalan yang lurus dimana orang yang tidak jujur, dia akan celaka dan binasa. Kejujuran akan membezakan antara munafik dan beriman.

2. Menepati janji

Tidak memenuhi janji adalah di antara sifat munafik.

3. Menunaikan amanah

Amanah berkaitan dengan hak Allah dan hak manusia yang wajib ditunaikan.

4. Memelihara kemaluan (kecuali untuk pasangan yang sah)

5. Menundukkan pandangan

Ibnu Qayyim berkata: Menjaga pandangan adalah modal pokok untuk menjaga kemaluan. Siapa yang tidak menjaga pandangannya, dia telah menempatkan dirinya ke tempat kehancuran.

Baca juga Jiwa kacau, cuba ubati dengan pendekatan dianjurkan oleh agama

6. Menahan tangan

Seorang Muslim tidak menganggu, menyakiti saudara Muslim yang lain, teman, maupun tetangganya baik dengan lisan ataupun tangannya.

Mereka merasa aman dengan kehadiran dirinya.

Ayuh kita berlaku jujur, tepati janji, tunaikan amanah, jaga kemaluan, tundukkan pandangan dan menahan tangan.

Semoga bermanfaat!

Foto: Facebook

eiliv-sonas-aceron-YlAmh_X_SsE-unsplash
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Pilihan Editor,

Makanan Paling Lazat Di Dunia dan Syurga

no comment

Pandangan agama dan sains, seolah-olah bercanggah berhubung pemakanan daging merah. Namun jika diteliti lebih mendalam kedua-dua pandangan ada asasnya dari segi penjagaan kesihatan.

Daging merah atau laham dalam bahasa Arab (daging daripada binatang berkaki empat) dalam konteks umat Islam selalunya merujuk kepada daging lembu dan kambing.

Manakala daging putih merujuk kepada daging ayam, itik, burung dan ikan. Dalam Islam, daging merah disyorkan dalam diet seseorang tapi tidak secara berlebih-lebihan dan disediakan mengikut kaedah tertentu. Manakala dalam banyak kajian sains, daging merah harus dielakkan kerana didakwa menyumbang kepada pelbagai penyakit termasuk kanser.

Pandangan sudut Islam berdasarkan kepada beberapa hadis, antaranya sabda Rasaulullah S.A.W.
Penghulu segala makanan penduduk di dunia dan di syurga ialah daging (laham).”
Manakala dari hadis Buraidah meriwayatkan, “Sebaik-baik lauk di dunia adalah daging (laham).

Nikmati daging secara sihat.

Ini membuktikan daging merah adalah makanan terlazat di atas dunia juga di syurga dan hadis-hadis ini menggambarkan bahawa manusia memang gemar memakan daging merah.

Sebaliknya, banyak kajian sainstifik membuktikan dan memperakui pengurangan pengambilan daging merah boleh memanjangkan usia seseorang.

Malah menikmati daging merah, seseorang itu berisiko untuk mati lebih awal.

Pengarah kajian Dana Kajian Kanser Sedunia, Dr Giota Mitrou menyatakan kajian yang diterbitkan di dalam NHS Eatwell membuktikan pemakanan daging merah dan makanan diproses meningkatkan lagi risiko kanser.

Pengarah kajian Dana Kajian Kanser Sedunia, Dr Giota Mitrou

“Hasil kajian menunjukkan mereka yang menambah pengambilan daging merah sekurang-kurangnya setengah saiz hidangan selama lapan tahun berisiko 10 peratus kematian awal.

“Bagi yang mengurangkan pengambilan daging merah dan menukarkannya kepada ayam, ikan dan telur, risiko peratus kematian mampu dikurangkan,” katanya.

Kajian terdahulu juga menunjukkan pemakan daging merah dan makanan diproses berkait rapat dengan kencing manis, penyakit jantung dan kanser usus.

“Kita akui kandungan makanan mungkin dipengaruhi persekitaran tempat tinggal dan kemampuan seseorang. Berikutan itu, kami menggesa kerajaan mengambil langkah dan memperkenalkan polisi seperti subsidi harga ke atas makanan sihat seperti sayur dan buah-buahan yang membolehkan mereka mengubah gaya pemakanan masing-masing.

“Kami cadangkan jangan ambil lebih dari tiga hidangan daging merah setiap minggu. Ini memberikan keseimbangan antara kelebihan daging merah sebagai sumber nutrien.

Bagaimanapun, kami mencadangkan jangan makan langsung daging diproses,” kata Dr Mitrou.

Memang terdapat banyak kajian yang dijalankan pelbagai pihak yang memperakui pengurangan pengambilan daging merah dan digantikan dengan daging putih seperti ayam dan ikan boleh memanjangkan usia seseorang.

Kajian dikeluarkan Universiti Harvard, misalnya mendakwa menghentikan pengambilan daging merah lebih memberi banyak manfaat kepada kesihatan.

Hanya menggantikan satu hidangan daging merah setiap hari dengan kepingan ikan risiko kematian awal disebabkan pelbagai penyakit dapat dikurangkan sebanyak 17 peratus.

Jika digantikan dengan ayam tanpa kulit atau sayuran dapat mengelakkan kematian sebanyak 10 peratus, daging kepada telur (8 peratus) dan daging kepada bijirin penuh (12 peratus).

Manakala kajian yang diterbitkan Jurnal Perubatan British yang menilai tabiat diet lebih 81,000 penduduk turut mencadangkan pengurangan makanan daging merah.

Kajian itu memantau perubahan tabiat makanan selama lapan tahun dan tambahan lagi lapan tahun untuk mengesan impak diet ke atas tahap kesihatan subjek.

Kajian itu mendapai jika sosej dan kepingan sandwic daging ditukar dengan ikan boleh memanjangkan usia subjek sebanyak 25 peratus, manakala tukar kepada ayam 17 peratus dan sayur-sayuran 18 peratus.

Profesor Frank Hu

Ketua kajian berkenaan, Profesor Frank Hu, mencadangkan diet ‘mediterranean’ yang menjurus kepada ikan, kekacang dan sayur sebagai kaedah terbaik memanjangkan usia.

Kajian jangka panjang itu menawarkan bukti bahawa mengurangkan daging merah dengan sumber protein lain dan sayuran mungkin menghentikan kes kematian pramatang.

Untuk membaiki tahap kesihatan sangat penting mengamalkan diet mediterranean yang menekankan pemakanan sihat,” katanya.

Kajian demi kajian yang tidak berpihak kepada pemakanan daging merah itu membuat Ketua Eksekutif Persatuan Pemproses Daging British, Nick Allen mengeluh.

Menurut Allen permintaan terhadap daging merah menurun sejak beberapa tahun lalu, dan kini pemakanan daging merah oleh penduduk Britain berada di bawah saranan garis panduan pihak berkuasa negara itu.

Nick Allen

“Sejak berjuta tahun, daging merah membekalkan nutrien, protein, zat besi dan vitamin. Pengguna perlu berfikir sejenak sebelum beralih meninggalkan produk yang memainkan peranan penting dalam tumbesaran tubuh,” katanya.

Sebenarnya, pandangan dalam Islam tidak bercanggah dengan hasil penemuan kajian saintifik berkenaan.

Apa yang ditekankan dalam Islam ialah pemakanan daging merah harus tidak berlebihan dan penyediaannya harus mengikut kaedah tertentu.

Begitupun jelas, di dalam beberapa hadis dan al-Quran telah menerangkan, Islam yang menjadi panduan dan gaya hidup menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W sendiri memakan daging merah serta hasil tenusu daripada haiwan ternakan.

Daging perlu diambil dalam nisbah yang secukupnya.

Baginda juga tidak melarang umat Islam mengambil daging merah sesuai dengan syariat yang menghalalkan daging, melainkan khinzir dan beberapa kategori lain, misalnya daging bangkai, haiwan yang tidak disembelih, haiwan mati tersepit, mati kemalangan, haiwan liar dan sebacainya menurut ilmu fikah.

Islam menetapkan panduan dan cara menikmati daging secara sihat dan memberi manfaat kepada pemakan. “… makan dan minumlah dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31). Baginda Rasullulah S.A.W. juga di dalam Hadis Riwayat Bukhari “Sesungguhnya kamu mempunyai tanggungjawab untuk menunaikan hak terhadap tubuh badan kamu”.

Terdapat beberapa cara dan panduan yang diajar mengikut pandangan Islam yang di sebut dari hadis dan al-Quran, antaranya:

* Cara memakan daging

Daging perlu diambil dalam nisbah yang secukupnya, tidak lebih dan tidak kurang. Begitu juga cara masakan dan kuantiti daging yang diambil turut mempengaruhi kesihatan seseorang. Mengikut panduan piramid makanan, daging perlulah diambil secara sederhana, iaitu sebanyak dua hingga tiga hidangan sehari. Elakkan pengambilan secara berlebihan kerana kewujudan penyakit amat berkait rapat dengan apa-apa yang dimakan.

* Kurangkan daging dalam menu

Makanlah apa-apa jua daging yang disukai selagi halal, tetapi jangan makan berlebihan kerana daging mengandungi banyak lemak, terutamanya lemak tepu. Semasa hendak memasak, lapisan lemak harus dibuang terlebih dahulu sebelum dimasukkan ke dalam kuali. Menanggalkan kulit ayam juga mengurangkan kandungan lemak yang masuk ke dalam badan anda. Untuk mengambil zat daripada daging, sebaik-baiknya pilihlah daging tidak berlemak.

* Utamakan yang lebih baik

Islam mengutamakan makanan yang baik berbanding dengan yang kurang baik. Contohnya, antara ayam, burung dan itik, burung lebih diutamakan berbanding dengan itik manakala itik lebih diutamakan berbanding dengan ayam. Burung haiwan yang cergas dan bijak. Daging itik dan angsa lebih baik berbanding dengan ayam kerana haiwan ini lebih banyak bersenam. Daging haiwan ini mempunyai lebih banyak lemak mono tepu dan lemak tidak tepu. Mereka juga jauh daripada suntikan hormon dan antibiotik berbanding dengan ayam daging yang diternak semata-mata untuk dipasarkan. Di samping itu, ada juga ayam yang diternak dengan menggunakan bahan-bahan organik seperti penggunaan herba habbatus-sauda’. Namun, jumlahnya masih berkurangan.

* Gilirkan karbohidratdan protein

Otak kita mempunyai tiga jenis bahan kimia utama untuk berfungsi dengan baik. Salah satu bahan kimia yang diperlukan ialah serotonin yang membantu meningkatkan mood, menguatkan ketahanan badan, meningkatkan kualiti tidur dan mengawal selera makan.

Pengambilan karbohidrat dan protein mempengaruhi jumlah triptofan, iaitu bahan yang menghasilkan serotonin. Kajian yang dijalankan ke atas pesakit stres menyimpulkan, mengambil lebih karbohidrat dan kurang protein membantu meningkatkan jumlah serotonin dan menyebabkan emosi bertambah baik dan pesakit mudah tidur. Kaedah ini sebaik-baiknya diambil semasa makan malam.

Berbeza dengan makan tengah hari, sebaik-baiknya mengambil rendah karbohidrat dan tinggi protein. Cara makan begini membantu menghasilkan dopamin yang berperanan mengatur pergerakan, menjadikan kita aktif dan bermotivasi serta berada dalam mood yang baik.”

* Cara masak yang sihat

Di samping memberikan kesan baik, daging juga boleh menyebabkan kanser. Cara masak memainkan peranan utama, sebaik-baiknya daging direbus atau dikukus. Gantikan masakan berlemak seperti santan kepada masakan sup. Daging bakar dan panggang mengandungi karsinogen yang menyebabkan kanser. Permukaan daging bakar atau panggang yang hangus terdapat hidrokarbon poliakrilamida (PAH). PAH ialah karsinogen yang boleh merosakkan DNA serta merangsang kanser. Oleh itu, makanlah daging bersama-sama sayur dan buah yang banyak bertindak sebagai antioksida yang menentang sel-sel kanser.
Menurut Karen Collins, R.D., daging banyak menyumbang kepada kanser kolorektal. Kajian itu dilakukan ke atas warga Eropah dengan cara mereka diberi makan daging selama lima tahun. Hasilnya dirumuskan, seorang individu yang banyak makan daging berisiko 36 kali ganda mendapat kanser berbanding dengan mereka yang kurang memakan daging.

* Makan Kurang Daging untuk Menjaga Bakteria Perut

Jumlah daging yang anda makan mempengaruhi bakteria yang hidup di dalam perut. Bakteria ini bertugas memfermentasikan sisa makanan yang tidak dicerna sama ada untuk menghasilkan zat ataupun toksik. Pengambilan daging yang banyak meningkatkan kadar bakteria bahaya yang menghasilkan toksin.

Info

—–
• Makanlah pelbagai buah-buahan dan sayur-sayuran segar setiap hari untuk mengekalkan kecerdasan tubuh badan.

• Makanan asas pada kentang, roti, nasi, pasta atau karbohidrat secara keseluruhannya sangat baik untuk kesihatan.

• Makan 30 gram serat sehari sama seperti makan semua lima bahagian buah-buahan dan sayur-sayuran termasuk bijirin gandum, dua keping tebal roti gandum dan kentang panggang berkulit.

• Cari alternatif untuk memilih tenusu (seperti minuman soya) untuk mendapatkan lemak rendah dan pilihan gula rendah.

• Ambil sumber protein lain seperti ikan, telur atau daging setiap minggu dan salah satunya perlu berminyak.

• Pilih minyak tak tepu untuk dimakan setiap hari.

• Minum enam hingga lapan gelas air putih sehari

• Orang dewasa harus mempunyai kurang daripada enam gram garam dan 20 gram lemak sehari.