Browsing Tag

syiah

Karbala 10 Muharam
Isu,

Ini kisah tragedi Karbala yang terjadi pada 10 Muharam

Ini kisah tragedi Karbala yang terjadi pada 10 Muharam

TAHUKAH anda, selain puasa Hari Asyura, tarikh 10 Muharam turut dikaitkan dengan Tragedi Karbala, iaitu kisah pembunuhan yang sangat menyayat hati berlaku dalam sejarah selepas kewafatan Nabi Muhammad SAW.

Memetik artikel portal tzkrh.com, dalam peristiwa itulah, Saidina Husain yang merupakan cucunda kesayangan Rasulullah SAW telah dibunuh dengan cara yang kejam di tempat bernama Karbala.

Untuk pengetahuan, sebelum kejadian terjadi, perpecahan dalam kalangan orang Islam sudah lama berlaku iaitu ketika terbunuhnya khalifah Islam ketiga, Saidina Uthman. Muawiyyah dan pengikutnya adalah kelompok yang tidak bersetuju dengan pelantikan Saidina Ali sebagai pemimpin yang seterusnya.

Setelah kematian Saidina Ali, umat Islam semakin berpecah. Muawiyyah yang sebelum itu telah berjaya meluaskan pengaruh dan kuasanya di Syria akhirnya merampas kekuasaan Khalifah dan mendirikan Empayar Umayyah pada tahun 661 Hijrah.

Baca juga Beristighfar memang banyak fadilatnya, namun kisah penjual roti bertemu Imam Ahmad kerana istiqamah istighfar adalah palsu

Karbala 10 Muharam

Dalam masa pemerintahan Muawiyyah, kaum Muslim semakin berpecah. Sebahagiannya menyokong Muawiyyah dan sebahagian lagi menentang termasuklah pengikut Saidina Ali yang masih tinggal, Ibnu Zubair dan sebahagian yang lain.

Ibnu Zubair mengecam sekerasnya apabila Muawiyyah melantik anaknya Yazid untuk menggantikannya ekoran Yazid adalah seorang yang masih mentah dan sukakan hiburan. Mereka juga berpendapat bahawa Muawiyyah cuba menukar sistem pemerintahan daripada konsep khalifah kepada pemerintahan beraja dan mengekalkan keturunannya dalam pemerintahan.

ARTIKEL BERKAITAN:

Ketika itu, banyak pengikut dan penyokong Saidina Ali berada di Iraq. Mereka mengutuskan surat kepada Husain yang berada di Mekah dan meminta beliau untuk berpindah ke Iraq.

Mereka berjanji akan membaiah Husain sebagai khalifah kerana mereka tidak menginginkan Yazid bin Muawiyyah menjawat jawatan Khalifah. Mereka bukan hanya mengutus surat, tetapi turut mengunjungi Husain di Mekah, dan mengajak beliau berangkat ke Kufah malah berjanji akan menyediakan pasukan jika sebarang perkara tidak diingini terjadi.

Para sahabat seperti Ibnu Abbas sering menasihati Husain supaya tidak mengikuti kehendak mereka, kerana ayahnya Saidina Ali bin Abi Talib turut dibunuh di Kufah dan Ibnu Abbas bimbang jika Husain turut dibunuh di sana. Namun Husain mengatakan, “Saya sudah melakukan istikharah dan akan berangkat ke sana.”

Karbala 10 Muharam

MENERUSI kisah ini, 10 Muharam menjadi tarikh penting bagi golongan Syiah Muslim. Foto: 123RF

Namun sayangnya, pengikut Saidina Ali di Kufah bukanlah seperti pengikut Nabi Muhammad SAW di Madinah ketika mereka menjemput Nabi SAW supaya berhijrah ke sana. Mereka di Kufah hanya menjemput Husain untuk kepentingan politik mereka menentang Yazid.

Natijahnya, apabila Husain dan pengikutnya berhadapan dengan tentera Yazid yang diketuai oleh pasukan Ubaidillah, pihak Kufah yang berjanji ingin melindungi dan menyediakan pasukan buat Husain lari menyelamatkan diri. Ubaidillah yang derhaka ini kemudian membunuh Husain dengan memenggal kepalanya sekalipun tindakan tersebut langsung tidak diperintahkan oleh Yazid.

Baca juga Ini kisah mengapa kopi diharamkan ulama Makkah suatu ketika dahulu

Husain terbunuh sebagai orang yang dizalimi dan sebagai syahid. Diceritakan bahawa setelah dibunuh, kepala Saidina Husain diletakkan di bejana (bekas air) lalu ‘Ubaidullah bin Ziyad menusuk-nusuknya dengan pedang.

Banyak riwayat-riwayat palsu yang muncul berkaitan dengan peristiwa ini. Ada yang menyatakan bahawa kepala Husain RA diarak sehingga diletakkan di hadapan Yazid.

PERISTIWA Karbala adalah antara detik penting dalam sejarah Islam. Foto: 123RF

Ada pula yang menceritakan bahawa para wanita dan keluarga Husain juga ditawan dan dirampas lalu dikelilingkan ke seluruh negeri dengan kenderaan tanpa pelana. Semua perkara ini merupakan kepalsuan yang dibuat oleh sesetengah pihak. Mengikut laporan, Yazid saat itu sedang berada di Syam, sementara kejadian menyayat hati ini berlangsung di Iraq.

Ekoran daripada peristiwa ini, golongan Syiah Muslim telah menjadikan 10 Muharam sebagai tarikh penuh ratapan dan kesedihan untuk memperingati kematian Husain. Mereka akan mengunjungi tempat pembunuhan Husain di Karbala, Iraq dan melakukan ritual tertentu seperti meratap menyebut nama Husain, memukul dan menyakitkan diri sendiri.

Baca juga Hibanya Nabi Musa tatkala bertemu Rasulullah SAW pada malam Israk dan Mikraj, ini sebabnya

Turut disyorkan Sebenarnya bukan Hawa pujuk Nabi Adam AS makan buah terlarang, itu cerita mitos

Hakikatnya, bukan Imam Husain sahaja yang dibunuh dengan kejam sepanjang sejarah Islam. Malah nabi-nabi sebelum Nabi Muhammad SAW serta pemimpin-pemimpin Islam sebelum itu juga ramai yang dibunuh.

Contohnya Saidina Umar ditikam dengan pisau bermata dua oleh lelaki yang bernama Abu Lu’luah ketika mengimamkan solat Subuh, manakala Saidina Uthman dibunuh oleh pasukan pemberontak yang diketuai oleh Abdullah bin Saba di kediaman Saidina Uthman sendiri.

Islam tidak menghalang umatnya daripada mengingati mana-mana pemimpin Islam, tetapi tidaklah sampai kepada keadaan yang boleh membahayakan diri sendiri. Hargailah pengorbanan yang telah dilakukan oleh mereka dengan terus mengamalkan Islam sebagai jati diri dan gaya hidup kita sehingga akhir hayat.

Sumber: Tzkrh

Foto: 123RF

Ini kisah tragedi Karbala yang terjadi pada 10 Muharam