Browsing Tag

Syawal

Lafaz sumpah
Isu,

Puasa Enam Tampung Kekurangan Puasa Ramadan

no comment

SAMBUTAN Aidilfitri normal baharu pada tahun ini sedikit berbeza. Apatah lagi tiada tradisi kunjung-mengunjungi dibenarkan berbanding dengan tahun sebelumnya yang boleh dilakukan pada Hari Raya pertama untuk ahli keluarga terdekat.

Semuanya dek kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi menyekat penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan. Ia juga demi kemaslahatan kita bersama.

Disebabkan aktiviti rumah terbuka juga tidak dibenarkan, alangkah baiknya jika kita dapat memanfaatkan tempoh PKP dengan sebaiknya. Inilah masanya untuk kita kembali berpuasa sepertimana ibadah yang dilakukan pada bulan Ramadan tempoh hari.

Cuma bezanya pada kali ini, kita berpuasa sunat enam pada bulan Syawal. Walaupun ia hanya puasa sunat dan tidak berdosa sekalipun kita tidak menunaikannya, namun terasa rugi andai tidak dilakukan.

Puasa enam

SETELAH meraikan Hari Raya Aidilfitri dengan juadah yang enak, apa kata kita mulakan puasa sunat enam hari sepanjang Syawal ini.

Bukan apa, terlalu banyak fadilat dan ganjaran yang bakal diraih kepada mereka yang melazimkannya. Tambahan pula, bukannya selalu peluang itu ada di depan mata. Tidak salah rasanya kita merebutnya.

Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang berpuasa di bulan Ramadan, kemudian diikuti dengan enam hari di bulan Syawal, ianya bersamaan dengan berpuasa sepanjang tahun.” (Riwayat Muslim)

Lihat betapa besarnya imbalan yang bakal diraih hinggakan disebut bahawa sesiapa yang berpuasa enam ibarat telah menyempurnakan pahala amalan berpuasa selama setahun!

Subhanallah, begitu cinta-NYA ALLAH SWT kepada hamba-hamba-NYA hingga memberikan ganjaran sedemikian rupa.

Sebenarnya, ada banyak lagi kelebihan puasa enam yang mungkin ramai tidak sedar.

Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi menjelaskan, antara hikmah disyariatkan puasa enam itu adalah supaya amalan sunat tersebut membantu menampung kekurangan yang berlaku dalam ibadah fardu puasa Ramadan yang lalu.

DR AHMAD SANUSI

Katanya, ia berdasarkan pandangan yang merujuk kepada hadis yang menyebut bahawa kekurangan solat fardu akan ditampung dengan amalan solat sunat.

Rasulullah SAW bersabda: “Perkara pertama yang akan dihitung oleh ALLAH pada hari kiamat nanti adalah solat. ALLAH berkata kepada malaikat: ‘Perhatikan solat hamba-KU, apakah ianya sempurna atau ada kekurangan. Sekiranya solatnya sempurna, maka tuliskan baginya pahala yang sempurna. Namun sekiranya ada kekurangan, maka lihatlah andai sekiranya hamba-KU ada menunaikan solat sunat. Sekiranya dia menunaikan solat sunat, maka sempurnakannya pahala solat fardunya itu tadi dengan pahala solat sunat kemudian ambillah pahala amalan tersebut dan berikanlah ganjaran’.” (Riwayat Abu Daud)

Baca juga Sama-sama Kita Faham Apakah Itu Zionisme?

Bukan itu sahaja, Dr Ahmad Sanusi turut menukilkan pandangan al-Imam Ibn Rajab tentang kelebihan apabila kita menunaikan puasa enam.

“Kata al-Imam Ibn Rajab dalam Lataif Maarif, ‘Sesungguhnya puasa enam dan puasa Syaaban adalah seperti amalan solat sunat rawatib sebelum dan sesudah solat fardu. Amalan sunat ini menampung kekurangan yang ada pada amalan fardu tersebut sekiranya berlaku kelompongan pada amalan fardu’,” jelasnya.

Ahli akademik itu menambah, para sarjana hadis juga menjelaskan bahawa setiap amalan manusia akan dilipat gandakan menjadi 10 pahala.

Puasa enam

ALLAH SWT menjanjikan syurga khas yang dikenali sebagai pintu al-Rayyan kepada mereka yang melazimi ibadah berpuasa, selain ganjaran pahala.

Sabda Rasulullah SAW: “ALLAH menjadikan setiap kebaikan dengan 10 kali ganda ganjaran. Maka puasa sebulan itu (sekiranya digandakan dengan 10 akan) bersamaan puasa 10 bulan, dan puasa enam (pahala yang menjadi 60 hari bersamaan dua bulan) akan melengkapkan bilangan puasa seperti puasa setahun.” (Riwayat an-Nasa’i)

“Melihat kepada kelebihan yang ditonjolkan dalam hadis-hadis yang disebutkan, apa kata sementara kita masih duduk di rumah dan tidak ke mana-mana, marilah berusaha menunaikan ibadah puasa enam.

“Semoga ALLAH membimbing kita,” coretnya menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Senada dengan Dr Ahmad Sanusi ialah pendakwah Asma’ Harun. Ujar beliau, antara kelebihan lain berpuasa enam ialah ALLAH SWT menyediakan satu pintu syurga khas yang digelar sebagai pintu al-Rayyan bagi mereka yang melazimi ibadah puasa.

ASMA’

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sesungguhnya di dalam syurga nanti ada pintu dinamakan al-Rayyan yang akan dimasuki oleh orang-orang berpuasa pada hari kiamat kelak. Tiada siapa yang memasuki pintu tersebut selain mereka. Dikatakan: ‘Di mana orang-orang berpuasa?’ Maka mereka memasukinya. Apabila orang terakhir memasukinya, maka pintu itu akan ditutup dan tiada siapa lagi dapat memasukinya.” (Riwayat al-Bukhari)

Mengulas tentang gabung niat puasa enam dengan puasa qada pada bulan Syawal, Asma’ menjelaskan, terdapat dua pandangan mengenainya:

Pendapat pertama: Puasa qada terlebih dahulu.

Yusuf al-Qaradawi cenderung untuk bersegera menggantikan puasa qada terlebih dahulu: “Saya memilih wanita itu mesti menggantikan puasa qada terlebih dahulu, kemudian barulah berpuasa sunat. Ini kerana manusia tidak terjamin usianya. Orang sihat boleh jatuh sakit, orang muda akan menjadi orang tua dan orang yang kuat boleh menjadi orang yang lemah.”

Puasa enam

AJAKLAH ahli keluarga bersama-sama untuk menunaikan puasa enam kerana banyak fadilat yang bakal diraih.

Pendapat kedua: Boleh memilih sama ada puasa qada atau puasa enam terlebih dahulu.

Jumhur ulama menyatakan hujah berdasarkan firman ALLAH SWT: “Dan sesiapa yang sakit atau dalam safar (bermusafir), maka (bolehlah dia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain.” (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Berdasarkan kalimah suci itu, ia tidak menyatakan bahawa wajib menggantikan puasa dengan kadar segera. Justeru, dibolehkan sekiranya ingin melakukan puasa enam pada bulan Syawal terlebih dahulu berbanding puasa qada.

Melihat dua pandangan tersebut, Asma membantu kita membuat kesimpulan mudah untuk difahami. Ujar beliau, menurut pandangan yang muktamad, lebih baik (afdal) jika kita mengasingkan niat puasa enam pada bulan Syawal dengan puasa qada.

“Namun begitu, tiada masalah dan sah sekiranya kita menggabungkan niat puasa enam pada bulan Syawal dengan puasa qada serta mendapat ganjaran pahala kedua-duanya,” jelasnya.

Dalam pada itu, Asma’ turut mencadangkan agar kita berpuasa enam pada tarikh-tarikh seperti berikut:

i. 20 Mei 2021 (8 Syawal) – Hari Khamis.

ii. 24 Mei 2021 (12 Syawal) – Hari Isnin.

iii. 25 Mei 2021 (13 Syawal) – Hari Putih.

iv. 26 Mei 2021 (14 Syawal) – Hari Putih.

v. 27 Mei 2021 (15 Syawal) – Hari Putih dan Khamis.

vi. 31 Mei 2021 (19 Syawal) – Hari Isnin.

Puasa enam

BOLEH menggabungkan niat puasa enam dan puasa qada kepada mereka yang meninggalkan puasa Ramadan tempoh hari kerana uzur yang dibenarkan oleh syarak.

Ini kerana tarikh yang disarankan itu adalah disebabkan berhimpunnya tiga fadilat yang meliputi puasa enam Syawal, puasa sunat Isnin dan Khamis serta puasa Hari Putih.

“Bagaimanapun, puasa enam sebenarnya boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sepanjang Syawal melainkan 1 Syawal. Tidak semestinya pada tarikh yang dicadangkan itu.

“Mudah-mudahan kita berjaya memperoleh ganjaran kebaikan daripada amalan ini,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini.

Foto: Freepik

masjid-pogung-dalangan-TmEAmLgVzMc-unsplash
Gaya Hidup,

Tanda taubat diterima akhlak berubah baik, mudah lakukan ibadat

BULAN Ramadan telah pun melabuhkan tirainya. Antara keistimewaan Ramadan ialah ALLAH SWT mengurniakan keampunan-NYA kepada sesiapa sahaja yang memanfaatkan peluang berada dalam bulan itu.

Sesungguhnya setiap manusia sama sekali tidak terlepas daripada melakukan dosa dan kesilapan. Mungkin setiap hari manusia terjebak melakukan perkara yang mendatangkan dosa. Itu fitrahnya manusia yang pasti melakukan kesilapan sama ada dengan sebab godaan syaitan ataupun runtuhnya benteng nafsu dalam diri.

Ramai yang menngambil kesempatan di bulan yang penuh rahmat itu untuk memohon keampunan. Bagaimana untuk mengetahui ALLAH telah menerimanya? Apakah tanda-tanda ALLAH SWT menerima taubat seseorang?

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya. Surah al-Nur (31)

Menurut Ibn Kathir berkata: Lakukanlah apa yang aku perintahkan kamu dengannya dan semua sifat-sifat yang mulia dan akhlak yang terpuji. Pada saat yang sama, tinggalkanlah perangai ahli jahiliah dan sifat buruk mereka. Ini kerana kejayaan dan kemenangan yang sebenar dengan melaksanakan perintah Allah dan Rasul serta meninggalkan larangan-NYA. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/50)

Taubat nasuha

Bagi mengetahui taubat diterima ALLAH, ada beberapa pendapat majoriti ulama’ menyebut bahawa orang yang benar-benar bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat taubat, maka dapat dipastikan penerimaan taubatnya di sisi ALLAH SWT. Hal ini seperti mana disebut oleh Ibn Rajab:

أَنَّ مَنْ تَابَ إِلَى اللَّهِ تَوْبَةً نَصُوحًا، وَاجْتَمَعَتْ شُرُوطُ التَّوْبَةِ فِي حَقِّهِ، فَإِنَّهُ يُقْطَعُ بِقَبُولِ اللَّهِ تَوْبَتَهُ، كَمَا يُقْطَعُ بِقَبُولِ إِسْلَامِ الْكَافِرِ إِذَا أَسْلَمَ إِسْلَامًا صَحِيحًا، وَهَذَا قَوْلُ الْجُمْهُورِ، وَكَلَامُ ابْنِ عَبْدِ الْبَرِّ يَدُلُّ عَلَى أَنَّهُ إِجْمَاعٌ

Orang yang bertaubat kepada ALLAH dengan taubat nasuha, memenuhi semua syarat taubat bagi dirinya, maka boleh dipastikan ALLAH menerima taubat dirinya. Ini seperti mana boleh dipastikan Islam orang kafir yang masuk Islam dengan benar. Inilah pendapat majoriti ulama’. Keterangan Ibn Abd al-Bar menunjukkan bahawa perkara tersebut telah menjadi kesepakatan ulama’. (Lihat Jami’ al-‘Ulum wa al-Hikam, 1/418)

Baca juga Jangan suka tangguhkan amalan. Ini sebabnya…

Perbuatan syirik tidak diampuni

 

Walaupun begitu, dosa yang disebabkan oleh perbuatan syirik. Syirik ialah perbuatan menyekutukan Allah, baik dengan keyakinan, ucapan atau perbuatan serta percaya adanya kuasa ghaib selain Allah seperti memuja berhala. Perbuatan syirik merupakan dosa besar yang paling besar.

Antara firman ALLAH:

إِنَّ اللَّـهَ لَا يَغْفِرُ أَن يُشْرَكَ بِهِ وَيَغْفِرُ مَا دُونَ ذَٰلِكَ لِمَن يَشَاءُ

Maksudnya: “Sesungguhnya ALLAH tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apa jua), dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya).” Surah al-Nisa’ (48)

Ibn Kathir berkata ALLAH memberitahu bahawa Dia tidak mengampuni perbuatan syirik dengan maksud Dia tidak mengampuni seseorang hamba yang menemui-Nya (mati) dalam keadaan musyrik.

Sebaliknya ALLAH mengampuni dosa yang selain itu bagi mereka yang dikehendaki-Nya daripada kalangan hamba-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 2/327)

Begitu juga dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:
إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا اعْتَرَفَ بِذَنْبِهِ ثُمَّ تَابَ تَابَ اللَّهُ عَلَيْهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya hamba, jika dia mengakui dosanya dan kemudian dia bertaubat, nescaya ALLAH SWT menerima taubatnya.Riwayat al-Bukhari (2661)

Menurut Mulla Ali al-Qari dalam Mirqat al-Mafatih (4/1616) menyebut iaitu seseorang yang menyedari keadaan dirinya yang berdosa, kemudian dia bertaubat dengan memenuhi segala rukun dan syarat-syaratnya seperti menyesal, meninggalkannya, berazam dan berusaha memperbaiki diri maka ALLAH akan menerima taubatnya berdasarkan firman-NYA:

وَهُوَ الَّذِي يَقْبَلُ التَّوْبَةَ عَنْ عِبَادِهِ

Maksudnya: Dan Dialah Tuhan yang menerima taubat dari hamba-hamba-NYA (yang bertaubat).
Surah al-Syura (25)

Manakala Al-Qurtubi berkata ALLAH pasti mengampunkan sebarang bentuk dosa iaitu dari perlakuan syirik sebelum mereka Islam. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan dari kebaikan dan kejahatan. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 7/27)

Perubahan sikap

Kedua, berkenaan tanda-tanda ALLAH menerima taubat seseorang apabila sikap dan akhlaknya berubah, jiwa menjadi dekat dan kasih dengan masjid, akhlak dan bahasa yang baik, seseorang itu merasa seronok untuk melakukan ibadat serta berterusan memohon keampunan kepada ALLAH. Maka dengan tanda-tanda ini ALLAH telah menerima ibadatnya.

Menurut Abu al-Laith al-Samarqandi dalam kitabnya Tanbih al-Ghafilin menyatakan bahawa sebahagian hukama menyebut taubat seseorang dapat diketahui pada empat perkara:

• Jika dia sudah dapat mengawal lidahnya daripada berkata dusta, mengumpat dan kata-kata yang tidak penting / sia-sia.
• Jika sudah tidak ada rasa hasad, dengki, iri hati terhadap semua manusia.
• Jika telah menjauhi rakan taulan yang jahat.
• Sentiasa bersiap sedia menghadapi mati dan selalu beristighfar menyesali dosa-dosanya yang lalu serta bersungguh-sungguh dalam melakukan ibadah kepada ALLAH (Lihat Tanbih al-Ghafilin bi Ahadith Sayyid al-Anbiya’ wa al-Mursalin, hlm. 109)

Baca juga Ini tip kerohanian yang dianjurkan Islam ketika menghadapi peperiksaan

Sebahagian ahli hikmah telah ditanya: “Adakah ada tanda bahawa taubat seseorang itu telah diterima?” Mereka menjawab: “Ya, empat tanda taubatnya diterima, iaitu:

• Memutuskan hubungan dengan kawan-kawannya yang tidak baik dan bergaul dengan orang-orang yang soleh.
• Menghentikan semua jenis maksiat dan rajin melakukan ibadat.
• Hilang rasa untuk bersenang-senang dengan dunia dan selalu mengingati kesusahan hari akhirat.
• Percaya dan yakin dengan jaminan ALLAH dalam soal rezeki lalu dia menyibukkan dirinya dengan melakukan apa yang diperintahkan oleh ALLAH. (Lihat Tanbih al-Ghafilin, 110)

Justeru, mereka menyebut apabila terdapat semua sifat tersebut, maka termasuklah dia dari kalangan mereka yang disebut oleh ALLAH SWT:

إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ

Maksudnya: “Sesungguh-Nya Allah mengasihi orang-orang yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.” Surah al-Baqarah (222)

Atha’, Muqatil bin Sulaiman dan al-Kalbi mentafsirkan ayat ini bahawa Allah suka kepada mereka yang sentiasa bertaubat dari dosa dan suka menyucikan diri dengan air daripada sebarang hadas dan najis. (Lihat Ma’alim al-Tanzil, 1/259)

Sebagai kesimpulan, bukanlah bermakna seseorang yang telah mempunyai tanda-tanda taubatnya diterima ALLAH itu sudah boleh berhenti memohon keampunan.

Malah keinsafan seseorang itu dapat dilihat apabila dia sentiasa istiqamah dan berterusan dalam memohon taubat kepada ALLAH sepanjang hayatnya sebagaimana yang digambarkan oleh Nabi Muhammad SAW sendiri yang diriwayatkan beristighfar dalam sehari sebanyak 100 kali.

Ini sebagaimana yang disebutkan oleh Baginda SAW dalam hadis yang diriwayatkan daripada al-Aghar al-Muzani:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ
Maksudnya: Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali.

Semoga kita termasuk dalam kalangan mereka yang sentiasa bertaubat dan diterima taubatnya di sisi ALLAH.

Sumber: Al-Afkar #52: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan

Foto: Unsplash

photo-1467810563316-b5476525c0f9
Berita Semasa, Gaya Hidup, Gaya Hidup, Jendela Dunia, Pilihan Editor,

Ramadan Diingati Kemenangan Dirai

no comment

Adakah ini Ramadan terakhir kita? Apakah kita akan bertemu lagi dengan Ramadan akan datang? Segala persoalan bermain dalam fikiran umat Islam apabila bulan yang penuh keberkatan itu akan meninggalkan kita.

Berdoalah moga dipertemukan Ramadan akan datang.

Perasaan sayu, sebak, sedih antara emosi yang sangat dirasai menjelang terbenamnya mentari petang ini, namun Allah tetap mahu menggembirakan umat Islam yang berpuasa dengan menggantikan bulan itu dengan 1 Syawal, bulan kemenangan atau Aidilfitri.

Kira-kira dua billion umat Islam dari seluruh dunia akan menyambut Aidilfitri menandakan berakhirnya bulan keampunan, Ramadan Al Mubarak.

Dalam keadaan biasa, Aidilfitri dimulakan dengan solat Aidilfitri, makan bersama ahli keluarga dan ziarah sesama Islam dan bermaaf-maafan.

Maswood Ahmed

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pendidikan, Majlis Muslim Britain, Maswood Ahmed, berkata Aidilfitri adalah perayaan besar yang dianugerahkan kepada umat Islam setelah berjaya melaksanakan salah satu dugaan paling besar buat manusia iaitu mengawal segala hawa nafsu dan berpuasa dari menahan diri dari lapar dan dahaga.

“Kemenangan ini dirai umat Islam untuk lebih mengeratkan hubungan persaudaraan sesama Islam, meluangkan masa bersama keluarga, saudara-mara, jiran tertangga dan rakan taulan.

“Kita akan dapat saksikan ramai umat Islam akan berpelukan di jalan sebagai sebahagian daripada perayaan lebaran. Lelaki akan memeluk lelaki lain sebagai tanda persahabatan dan wanita akan melakukan hal yang sama dengan sesama wanita.

Bermaaf-maafan amat dituntut oleh Islam.

“Sekiranya anda keluar di jalan, orang asing atau siapa sahaja yang mereka temui, mereka akan memeluk tanda persahabatan dan bermaaf-maafan. Syawal adalah waktu untuk mencuba dan mewujudkan perasaan yang baik, segala perasaan permusuhan akan dimaafkan,” katanya.

Walaupun terdapat banyak perkara yang akan dilakukan setiap orang pada hari lebaran, dengan kira-kira 2 bilion umat Islam di seluruh dunia, tidak menghairankan bahawa setiap orang mempunyai cara tersendiri merayakan perayaan suci ini.

close up view of traditional turkish baklava with pistachio on a black board

Sebahagian besar di negara timur tengah menganggap Syawal adalah ‘Pesta Gula’ di mana kebanyakkan sajian yang dihidangkan untuk tetamu adalah menu pencuci mulut.
Namun setiap negara di dunia mempunyai kegemaran yang berbeza seperti Turki terkenal dengan gula-gula Turki seperti baklava, kunafa dan pelbagai lagi untuk diberikan kepada rakan, keluarga dan jiran sebagai hadiah semasa lebaran.

Jika negara Iraq dan Arab Saudi, kurma adalah menu yang sangat penting sepanjang Ramadan dan Syawal yang boleh dimakan pada bila-bila waktu siang dan malam hari. Di kedua negara ini kuih tradisi mereka adalah Kleichas yang merupakan biskut berperisa mawar dan berisi kacang serta kurma. Mereka menganggap Kleichas adalah biskut kebangsaan mereka.

Kleichas berinti kacang dan kurma

Di Yaman, kuih tradisi mereka adalah Bint al sahn atau disebut sebagai kek madu. Ia dihiasi dengan biji habbatussauda dan sangat disukai pelbagai golongan masyarakat Yaman.

Berbeza di Rusia, masyarakatnya akan membuat kiuh tradisional yang dikenali sebagai manti yang sangat popular pada Aidilfitri. Manti biasanya diisi dengan sejenis daging ayam, kambing atau lembu yang disalut dengan lapisan kulit diperbuat dari tepung dan dikukus.

Makanan tradisi Islam Rusia, Manti berinti daging dimakan pada pagi Syawal.

Manakala di Malaysia, Aidilfitri tidak akan meriah tanpa lemang, ketupat, rendang ayam dan daging serta pelbagai biskut manis dengan pelbagai perisa. Jika dulu sebelum pandemik Covid-19, aktiviti memasak lemang, ketupat atau mengacau dodol akan dilakukan secara bergotong-royong, acara ini dilakukan bagi mengeratkan hubungan sesama Islam baik keluarga, saudara-mara, jiran tetangga mahupun kenalan baik.

Tidak meriah Aidilfitri tanpa lemang.

Tidak lupa masyarakat Islam China meraikan Aidilfitri dengan makanan tradisi mereka iaitu You Xiang yang diperbuat dari tepung, air dan roti ragi yang digoreng dalam minyak. Ia diberikan sebagai hadiah atau dimakan pada pagi 1 Syawal.

Ucapan lebaran juga adalah salah satu perkara yang paling umum kita mendengarnya, di negara timur tengah kebiasaannya menyebut ‘Eid Mubarak’ yang bermaksud ‘Idul Fitri’ atau ‘yang diberkati’ dan merupakan cara untuk menyatakan ucapan perayaan. Anda mungkin juga mendengar ‘Eid sa’id’ yang bererti ‘Selamat Hari Raya’.

Negara-negara lain mempunyai ucapan yang berbeza. Di Nigeria, masyarakatnya cenderung mengucap ‘Balla da Sallah’. Di Malaysia, Aidilfitri disebut sebagai Selamat Hari Raya.

Tradisi lain juga yang agak unik dirai masyarakat Islam di dunia seperti di Afghanistan. Aidilfitri disambut berbeza di mana masyarakatnya akan melukis telur rebus dan berlawan sesama mereka. Permainan ini dikenali sebagai Tokhm-Jangi. Semua orang akan terlibat dan tujuannya adalah untuk memecahkan telur lawan sambil memastikan telur sendiri tidak pecah.

AX8U4834
Berita Semasa, Gaya Hidup,

24 Rancangan Berunsur Kerohanian Bakal di Tayangkan Di TV AlHijrah Ramadan dan Syawal Tahun ini.

no comment

Kuala Lumpur- TV AlHijrah bakal menyajikan pelbagai rancangan kerohanian yang menyuntik rasa keinsafan dengan temanya ‘Andai ini Ramadan Terakhir’ .

Kempen berkenaan bermula 6 April lalu dan akan dilaksanakan sehingga berakhirnya Ramadan 1442H.

Sebanyak 24 rancangan menarik disusun untuk disajikan merangkumi pelbagai genre yang bersesuaian untuk seisi keluarga.

Antara program baharu berunsurkan kerohanian adalah ‘Aura Al-Qadar, Ihya Ramadan, Ittabiouni dan My #HadithTime yang mengetengahkan keperibadian Rasul SAW, serta cara-cara dan amalan di bulan Ramadan serta program penghayatan al-Quran dan Hadith.

Agihan bubur lambuk resepi istimewa Kampung Baru akan menggunakan khidmat 10 orang rider motosikal yang akan membuat edaran di lokasi tumpuan ramai sekitar Kuala Lumpur dan Selangor

Selain itu turut diperkenalkan program masakan iaitu Camca Edisi Ramadan dan rancangan kanak-kanak Omar dan Hana.

Majlis pelancaran program Ramadan dan Syawal 1442H yang berlangsung pada 6 April lalu di Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri ( Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri. Turut hadir Pengerusi TV AlHijrah, Datuk Hussamuddin Yaacub.

Datuk Dr. Zulkifli ketika ditemui berkata, dengan adanya cara yang telah diusahakan oleh Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, maka banyak program yang menarik dan bermanfaat bakal disajikan sepanjang Ramadan ini.

Tambahnya lagi, pihaknya sentiasa menyokong usaha melalui medium televisyen dalam meningkatkan kefahaman agama kepada umat Islam khususnya di negara ini.

Menurut Pengerusi TV AlHijrah, Datuk Hussamuddin , selain barisan rancangan siaran televisyen, TV AlHijrah turut memperkenalkan dua lagi inisiatif baru iaitu inisiatif di platform media digital TV AlHijrah dan program tanggung jawab sosial korporat (CSR) iaitu Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah.

Inisiatif platform digital merangkumi pertandingan menulis esei ‘Andai Ini Ramadan Terakhir’ serta siaran tiga rancangan di facebook TV AlHijrah iaitu Ah-Liow Kitchen, Sabar With Sabran dan Video Tinjauan (vox pop) Andai ini Ramadan Terakhir.

Kempan Ramadan dan Syawal 1442H tambah menarik dengan kehadiran Skuad Bubur Lambuk TV AlHijrah yang memilih untuk menyantuni masyarakat, dakwah melalui kumpulan barisan hadapan.

Agihan bubur lambuk resepi istimewa Kampung Baru akan menggunakan khidmat 10 orang rider motosikal yang akan membuat edaran di lokasi tumpuan ramai sekitar Kuala Lumpur dan Selangor seperti di Hospital Besar Kuala Lumpur, Kawasan sekitar Chow Kit, stesen LRT, dan masjid-masjid terpilih.

Sementara itu TV AlHijrah turut melancarkan program yang bakal menghiasi Syawal, dan buat pertama kali rancangan komedi berunsurkan Islamik dilancarkan antaranya bual bicara sitkom ‘Tau Tau Raya’ yang mengisahkan sebuah keluarga dan jiran tetangganya. Mereka berkongsi kisah dan pengalaman raya masing-masing.

Juga bakal ditayangkan pada syawal nanti, telefilm ‘Bapa Posa Anak Raya’; ‘Gema Haflah Istimewa Syawal’; ‘Dokumentari Sudirman Chow Kit Road’ dan banyak lagi.