Browsing Tag

Syaitan takut dengar azan

Syaitan takut dengar azan
Aqidah,

Syaitan takut bila dengar azan?

DENGAR sahaja azan berkumandang, secara automatik kita akan ‘kaku’ di tempat sendiri. Niat untuk qada hajat terus sahaja terbantut.

Bukan apa, bimbang ‘bertembung’ dengan syaitan yang bertempiaran lari ke dalam tandas pada waktu itu.

Lebih-lebih lagi pada waktu Maghrib kerana detik itulah bermulanya ‘hari’ mereka.

Baca juga Larangan berkeliaran waktu Maghrib bukan mitos

Boleh dikatakan ramai yang bersikap sedemikian. Malah, ada yang mengalunkan azan apabila mencari orang hilang atau memagar rumah.

Memang benarkah syaitan takut bila dengar azan?

Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya, syaitan apabila mendengar azan, dia lari terkentut-kentut, hingga tidak terdengar lagi olehnya. Tetapi apabila azan telah selesai dia kembali lagi untuk mengganggu. Kemudian, apabila dia mendengar iqamat, dia pergi pula sehingga tidak terdengar lagi olehnya. Apabila iqamat telah selesai pula, dia kembali lagi dan mengganggu pula.” (Sahih Muslim)

Syaitan takut dengar azan

SYAITAN takut dengar azan sehinggakan ia dikatakan lari sambil terkentut. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Dalam satu lagi riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Jika azan dikumandangkan, syaitan akan lari sambil kentut hingga tidak mendengar suara azan. Apabila azan selesai, syaitan akan kembali. Dan apabila dibacakan iqamat, syaitan berlari lagi dan apabila telah dilafazkan iqamat, dia kembali lagi, lalu menyelinap ke dalam hati seseorang dan berkata, ‘Ingatlah ini dan itu’. Dan dia terus melakukan godaan ini sehingga seseorang tidak menyedari berapa banyak rakaat yang telah dia lakukan dalam solatnya.” (Muttafaqun Alaih)

Baca juga Gagal bersyahadah saat meninggal kerana bercakap ketika azan? Berikut penjelasannya

Melihat ungkapan berkenaan, portal Kalam Sindonews menjelaskan, sebahagian para ilmuan menyebut selain dilaungkan ketika waktu solat, terdapat sebab yang menunjukkan bahawa azan mengusir syaitan di luar waktu solat.

Ia sebagaimana dijelaskan oleh Imam al-Haitami dalam Kitab at-Tuhfah bahawa: “Azan itu dilakukan pada waktu-waktu selain daripada solat seperti azan untuk bayi, orang yang bersedih, orang yang kerasukan, orang yang beremosi, orang yang buruk akhlak dan azan di tengah-tengah tentera (ketika berlaku pergolakan), apabila ada kebakaran.” (Fatawa Islamweb)

Sememangnya, terdapat nas yang menyatakan, azan dilaungkan ketika diganggu jin dan syaitan.

Jabir bin Abdullah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Sekiranya al-ghilaan (jin dan syaitan) mengganggu (dengan bertukar rupa bentuk) maka laungkanlan azan.” (Hadis Riwayat an-Nasai dalam al-Sunan al-Kubra)

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam Maktabah Albakri menjelaskan, walaupun terdapat kritikan dalam hadis berkenaan, namun terdapat keadaan-keadaan lain yang disebutkan oleh para fuqaha tentang perihal melaungkan seruan mulia itu selain daripada waktu solat.

Baca juga Tak boleh Masuk Tandas Ketika Sedang Azan?

Selain pandangan yang dikemukan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Haitami Rahimahullah tadi, terdapat juga hasyiah-hasyiah kitab fiqh seperti Hasyiah al-Syabramallisi dan Hasyiah al-Qalyubi yang menyebut tentangnya.

Syaitan lari dengar azan

MESKIPUN syaitan takut dengar azan, jangan lupa berdoa untuk berdoa memohon kepada ALLAH SWT agar melindungi kita daripada sebarang gangguan makhluk terkutuk tersebut. -Foto: 123f

“Meskipun tiada dalil didatangkan bersama, namun setakat pemerhatian kami, mungkin sebab daripada azan yang dapat menjauhkan syaitan, ia dikiaskan pada keadaan-keadaan yang lain selain daripada solat sepertimana yang disebutkan oleh ulama berkenaan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi artikel #393: Azan Ketika Berlaku Huru-Hara.

Meskipun ada yang menolak kias hadis berkaitan syaitan terkentut dengan kuat ketika laungan azan agar tidak didengari dengan hanya melibatkan azan khas waktu solat dan bukan selainnya, Dr Zulkifli berpandangan, al-Syabramallisi mempunyai hujahnya tersendiri dalam hasyiahnya.

“Beliau mengatakan, tidak ternafi juga syaitan akan melarikan diri sekiranya mendengar azan dan tidak semestinya hanya azan untuk solat,” ungkapnya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.