Browsing Tag

Syaitan diikat

Syaitan diikat
Gaya Hidup,

Mengapa masih lakukan tabiat tidak baik walaupun syaitan diikat pada bulan Ramadan?

Mengapa masih lakukan tabiat tidak baik walaupun syaitan diikat pada bulan Ramadan?

WALAUPUN syaitan diikat pada bulan Ramadan, namun adakalanya segelintir daripada kita masih mengekalkan tabiat negatif yang lama.

Memang benar, kita solat dan berpuasa. Malah, amalan tadi bertambah dengan mendirikan solat tarawih, witir dan bertadarus al-Quran.

Bagaimanapun, ada sebahagian tabiat yang dianggap remeh sukar dikikis meskipun dalam bulan mulia berkenaan.

Contoh paling mudah adalah bersifat membazir! Masuk sahaja bazar Ramadan, habis semua diborongnya bagaikan tiada hari esok.

Namun apabila berbuka, hanya sedikit juadah yang dijamah. Banyak yang tidak terusik lagi hinggakan akhirnya ia terpaksa dibuang.

Baca juga Makanan yang dibuang, dicampak adalah habuan syaitan. Justeru jangan sesekali membazir apalagi mencela makanan

Persoalannya, siapakah yang menghasut kita jika syaitan sudah pun diikat dalam bulan Ramadan?

Menjawab pertanyaan itu, pendakwah Ustaz Adnin Roslan menjelaskan, manusia sebenarnya berhadapan dengan dua musuh utama iaitu syaitan dan nafsu.

USTAZ ADNIN -Foto: Instagram Ustaz Adnin

Dalam bulan penuh barakah itu, katanya, semua sedia maklum bahawa syaitan sudah dibelenggu.

Jadi, ini bermakna seteru kita hanya tinggal satu sahaja iaitu nafsu, ungkapnya.

“Ketahuilah, ini waktu terbaik untuk kita mengalahkan nafsu dalam diri dengan melawannya dan tidak tunduk kepadanya.

Baca juga Jangan Tunduk Pada Hawa Nafsu

“Ingatlah, Ramadan bulan untuk melawan nafsu dan bukannya melayan nafsu. Andai kita tidak mampu berbuat demikian pada bulan ini, bila lagi?

“Sedangkan dalam bulan-bulan lain, umat Islam perlu melawan dua musuh utama,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan di laman Instagram miliknya.

Maksud sebenar syaitan dibelenggu

Sesungguhnya, cerita syaitan diikat ada disebutkan dengan jelas dalam hadis.

Antaranya daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Apabila datangnya Ramadan, maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam satu riwayat lain, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila masuk bulan Ramadan, pintu-pintu rahmat dibuka, pintu-pintu Jahannam ditutup dan syaitan-syaitan pun dibelenggu.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menjelaskan maksud syaitan dibelenggu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Mohamad Al-Bakri dalam Maktabah Albakri menukilkan kenyataan Imam al-Qurtubi sebagaimana yang disebut oleh Al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani dalam Fath al-Bari:

DR ZULKIFLI

“Sesungguhnya gangguan syaitan hanya berkurang terhadap orang-orang berpuasa yang memelihara syarat-syarat puasa dan adab-adabnya.

Baca juga ENAM cara syaitan sesatkan manusia

“Atau yang dibelenggu hanya sebahagian syaitan sahaja, iaitu yang ganas dari kalangan mereka, bukan semuanya sebagaimana dinyatakan dalam sebahagian riwayat.

“Atau yang dimaksudkan adalah berkurangnya kejahatan dalam bulan Ramadan, dan ini merupakan perkara yang dapat dirasakan, di mana kejahatan ketika bulan Ramadan lebih sedikit jika dibandingkan dengan bulan-bulan selainnya.

“Jika syaitan dibelenggu (sekalipun), tidak bermakna bahawa tidak akan berlakunya kejahatan dan kemaksiatan, kerana sebab berlakunya kemaksiatan itu juga disebabkan oleh beberapa faktor lain seperti jiwa yang jahat, adat kebiasaan yang tidak baik, dan (pengaruh) syaitan daripada jenis manusia.”

Fakta berkenaan, ujar Dr Zulkifli, ia selari dengan pernyataan Abu al-’Abbas al-Qurtubi.

Beliau menyebut bahawa:

1. Syaitan diikat daripada orang yang mengerjakan puasa dengan menjaga syarat dan adab ketika berpuasa. Adapun, bagi mereka yang tidak mengerjakan puasa dengan benar, maka syaitan tidaklah terbelenggu daripadanya.

Syaitan diikat

PELIHARAH ibadah puasa masing-masing dengan menjaga syarat dan adab ketika berpuasa agar berkurangnya gangguan syaitan. -Foto: 123rf

2. Seandainya kita mengatakan bahawa syaitan tidak mengganggu orang yang berpuasa, maksiat tetap sahaja boleh berlaku disebabkan faktor lain. Misalnya, dorongan hawa nafsu yang selalu mengajak kepada kejahatan, adat kebiasaan dan gangguan daripada syaitan manusia.

Baca juga Orang Yang Rugi Ketika Ramadan

3. Boleh juga dengan maksud, syaitan yang diikat adalah syaitan secara umum dan yang memiliki pasukan, manakala yang tidak mempunyai pasukan tidaklah dibelenggu.

Berdasarkan kepada fakta berkenaan, tidak hairanlah mengapa masih ada individu melakukan perbuatan maksiat atau bersikap mazmumah walaupun syaitan sudah dibelenggu.

Apa pun, jalanilah ibadah puasa dengan adab dan syarat yang disyariatkan kepada kita. Semoga ibadah kita itu diterima oleh ALLAH SWT.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.