Browsing Tag

syafakillah

doa
Gaya Hidup,

Keliru dengan ucapan ‘syafakallah’ dan ‘syafakillah’, ini penjelasannya

MENDOAKAN kebaikan orang lain dalam keadaan dia tidak mengetahuinya adalah amalan yang sangat mulia, kerana Islam mendidik umatnya agar tidak mementingkan diri sendiri.

Contohnya seperti ucapan ‘syafakallah’ (semoga ALLAH menyembuhkan penyakitmu segera, untuk wanita: syafakillah), ‘barakallahu fik’ (semoga ALLAH memberkati kamu), ‘jazakumullah khairan’ (semoga ALLAH membalas kebaikan kamu), dan lain-lain.

Seperti dikongsi penceramah bebas terkenal, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid, inilah tabiat yang baik dan perlu ditanam dalam diri setiap orang Islam. Dengan membiasakan ucapan berdoa dalam bahasa arab, kita sebenarnya sudah memartabatkan bahasa al-Quran.

Dengan ucapan doa ini juga, walaupun tidak mengenali saudara kita, namun sebagai Muslim kita haruslah membiasakan diri untuk sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka.

Baca Juga Doa ini nampak ‘simple’ namun besar fadilatnya

Dalam sebuah hadis, daripada Abu Darda’, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud “Doa seorang Muslim kepada saudara Muslimnya secara ghaib (tanpa pengetahuan saudaranya) adalah mustajab (diterima), di sisi kepalanya malaikat yang diutus ALLAH setiap kali dia mendoakan saudara Muslimnya dengan doa yang baik dan berkatalah malaikat itu, amin! engkau juga beroleh manfaat yang sama.” (Riwayat Muslim)

Dalam riwayat lain turut menyatakan, doa yang paling cepat dimakbulkan ALLAH ialah doa secara ghaib iaitu dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakan. Maka berdoalah kerana sebenarnya, amalan itu menyebabkan diri kita turut menerima doa daripada malaikat.

DOA yang paling cepat dimakbulkan ALLAH ialah doa secara ghaib iaitu dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakan. 

Maksud ucapan ‘syafakallah’ dan ‘syafakillah’

Berikut merupakan maksud sebenar penggunaan kata doa yang sering kita katakan atau tulis melalui penulisan sama ada di platform media sosial dan sebagainya.

Makna perkataan dan kepada siapa perkataan tersebut sesuai diberikan atau diucapkan:

LELAKI

1. Syafakallah – Bermaksud semoga ALLAH SWT memberi kesembuhan kepadamu dan diucapkan untuk pesakit LELAKI.

2.Syafakumullah – Bermaksud semoga ALLAH SWT memberi kesembuhan pada kalian dan diucapkan untuk pesakit LELAKI.

3. Syafahullah – Bermaksud semoga ALLAH SWT memberi kesembuhan padanya dan diucapkan untuk pesakit LELAKI.

4.Syafahumullah – Bermaksud semoga ALLAH SWT memberi kesembuhan pada mereka dan diucapkan untuk pesakit LELAKI.

WANITA/PEREMPUAN

5. Syafahallah – Bermaksud semoga ALLAH SWT memberi kesembuhan padanya dan diucapkan untuk pesakit WANITA/PEREMPUAN.

6. Syafakillah – Bermaksud semoga ALLAH SWT memberi kesembuhan padamu dan diucapkan untuk pesakit WANITA/PEREMPUAN.

7. Syafahunnallah – Bermaksud semoga ALLAH SWT memberi kesembuhan pada mereka dan diucapkan untuk pesakit WANITA/PEREMPUAN.

 

ARTIKEL BERKAITAN