Browsing Tag

Surah al-Fatihah

Sebut lafaz amin
Ibadah,

Sebut ‘amin’ selepas imam baca al-Fatihah, akan berguguranlah dosa yang telah lalu

SETIAP kali solat berjemaah, makmum akan sebut lafaz amin dengan kuat selepas imam menyudahkan bacaan Surah al-Fatihah.

Ramai yang menganggap ia hanyalah perbuatan biasa ketika menunaikan solat bersama-sama.

Ketahuilah bahawa terselit imbalan yang bukan calang-calang daripada perilaku tersebut.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila salah seorang kamu menyebut amin (آمِينَ) dan para malaikat di langit pun mengucapkan amin, lalu (berlaku) serentak ucapan antara satu sama lain, nescaya dosanya yang telah lalu diampunkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Menerusi satu lagi hadis lain yang diriwayatkan juga oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila imam mengucapkan amin, maka ucapkanlah amin kerana sesungguhnya sesiapa yang ucapan aminnya serentak (bertepatan) dengan ucapan amin para malaikat, nescaya dosanya yang telah lalu diampunkan.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Mengulas lanjut tentang hadis itu, pendakwah Ustaz Azhar Idrus menjelaskan, dua riwayat berkenaan menerangkan perintah sebut lafaz amin selepas membaca Fatihah.

USTAZ AZHAR IDRUS. Foto: Google

“Dalam riwayat tersebut, begitu jelas dinyatakan kelebihan menyebut amin serentak dengan sebutan amin para malaikat oleh mereka yang solat. Tidak kiralah sama ada imam atau makmum lelaki atau wanita; atau solat sendirian; dan sama ada solat orang yang sihat atau solat orang sakit; dan sama ada solat ketika mukim atau ketika musafir; atau selesai membaca Fatihah di luar solat.

Baca juga Makna Lafaz Amin Ketika Solat, Usai Berdoa

“Dalam kedua-dua hadis di atas dan hadis-hadis lain memang jelas menyebut bahawa para malaikat juga menyebut amin apabila Surah al-Fatihah dibacakan sama ada di dalam mahupun di luar solat, kata para ulama,” katanya sepertimana dipetik menerusi perkongsian di Instagram miliknya.

Dalam sebuah hadis Riwayat Imam al-Baihaqi, Rasulullah SAW bersabda: “Apabila imam membaca غير المغضوب عَلَيْهِم وَلَا الضَّالّين dan berkata orang di belakangnya amin dan muafakat yang demikian itu oleh ucapan penduduk langit, nescaya diampunkan baginya apa yang telah lalu daripada dosanya.”

Menurut Ustaz Azhar Idrus, sesetengah ulama menyatakan, apa yang dimaksudkan dengan ‘penduduk langit’ adalah para malaikat.

“Sebahagian ulama pula menyatakan, malaikat yang dimaksudkan dalam hadis menyebut amin itu adalah sekalian para malaikat,” katanya.

Begitupun, penceramah terkemuka itu mengingatkan agar lafaz amin yang disebutkan oleh makmum biarlah seiring atau muafakat bersama imam.

“Maksud muafakat adalah amin yang disebut oleh makmum dan amin yang dilafazkan oleh imam adalah bersamaan masa sebutannya dari awal hingga akhir.

“Seperkara lagi, sesiapa yang menyebut amin serentak dengan sebutan para malaikat, pasti dosanya itu diampunkan kerana ucapan tersebut adalah doa. Apabila malaikat yang berdoa, doa mereka adalah ikhlas dan tiada riak, maka ia akan dimakbulkan. Maka apabila disebut bahawa dosa orang yang sebut amin akan diampunkan, maka sudah pasti akan dimaafkan.

“Namun begitu, Imam al-‘Aini dalam kitab Syarah Sunan Abi Daud menjelaskan, biarlah ungkapan amin yang dilafazkan tersebut seperti amin para malaikat iaitu tanpa rasa ujub dan sum’ah serta tiada riak. Mudah kata, dalam keadaan ikhlas kerana ALLAH SWT, maka ketika itu akan diberi keampunan kepadanya,” ujarnya.

Hukum tak sebut amin selepas imam baca Fatihah

Apakah hukumnya jika makmum tidak membaca amin selepas imam selesai membaca Surah al-Fatihah?

Memetik artikel Irsyad al-Fatwa ke-689: Hukum Tidak Menyebut Amin Setelah Imam Selesai Membaca Surah al-Fatihah, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, bacaan amin selepas imam membaca Fatihah adalah sunat.

Ia sebagaimana disebut oleh Imam al-Nawawi dalam Raudah al-Talibin wa Umdah al-Muftin bahawa disunatkan bagi setiap orang yang membaca Surah al-Fatihah sama ada di dalam mahupun di luar solat untuk mengucapkan amin usai membacanya.

Baca juga Al-Fatihah tidak boleh ditinggalkan dalam solat kerana itu dialog kita bersama ALLAH SWT

“Oleh itu, andai makmum tidak sempat menyebut amin selepas imam menyudahkan surah berkenaan, maka solatnya tidak terbatal.

Lafaz amin

SUNAT menyebut amin selepas membaca Surah al-Fatihah termasuklah mereka yang solat secara bersendirian. -FOTO: 123RF

“Hukum sunat menyebut amin selepas bacaan Fatihah tadi ini meliputi imam dan juga makmum serta mereka yang solat secara bersendirian. Bahkan, mereka perlu melantangkan suara ketika menyebutnya selepas bacaan Surah al-Fatihah oleh imam,” katanya.

Justeru, ringan-ringankanlah mulut untuk menyebut lafaz mulia berkenaan agar kita dapat meraih kelebihan yang dijanjikan.