Browsing Tag

Surah al-Baqarah

Surah al-Baqarah pendinding diri
Isu,

Surah al-Baqarah, pendinding diri daripada gangguan makhluk halus

Surah al-Baqarah, pendinding diri daripada gangguan makhluk halus

BUKAN hanya ‘orang biasa’, Surah al-Baqarah turut menjadi pilihan para perawat Islam (mu’alij) dalam proses rawatan terutama bagi memulihkan mangsa gangguan makhluk halus.

Menurut pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad, surah tersebut diaplikasikan dalam mengendalikan kes seperti ‘gangguan’ dalam rumah tangga, premis kediaman, insiden kerasukan dan sebagainya.

“Tidak sekadar itu, surah kedua dalam al-Quran ini juga begitu popular di rantau nusantara khususnya ketika ingin memagar rumah daripada gangguan makhluk halus,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Semua itu begitu tsabit dengan sebuah hadis. Sabda Rasulullah SAW: “Jangan jadikan rumah kamu seperti kubur, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya Surah al-Baqarah).” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Kenali al-Baqarah, surah yang digeruni syaitan

Menyambung hujah, Da’i Fuad yang turut memiliki kepakaran dalam rawatan Islam menjelaskan, betapa pentingnya Surah al-Baqarah kepada umat Islam apabila banyak dalil yang memerihalkan ia cukup efektif mendapatkan perlindungan ALLAH SWT dengan memuji-NYA berdasarkan bait-bait kalam suci berkenaan.

DA’I FUAD

Antara dalilnya termasuklah hadis Rasulullah SAW: “Barang siapa yang membaca dua ayat terakhir dari Surah al-Baqarah pada waktu malam, telah cukup baginya dengan keduanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam satu riwayat lain, ujar pendakwah itu, syaitan yang menyerupai manusia pernah meminta harta zakat daripada Abu Hurairah RA yang ketika itu diamanahkan menjaganya.

Kata Abu Hurairah: “Rasulullah SAW mewakilkanku untuk menjaga zakat Ramadan, lalu datang kepadaku seseorang dan mengaut makanan. Aku memegangnya dan berkata: “Sesungguhnya aku akan melaporkanmu kepada Rasulullah SAW.” Orang itu pun menceritakan apa yang berlaku, lalu berkata: “Apabila kamu ke tempat tidurmu, bacalah ayat Kursi, maka pemelihara daripada ALLAH akan sentiasa bersamamu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sehingga Subuh.” Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dia telah berkata benar kepadamu sementara dia adalah pendusta, dia itu ialah syaitan.”

Bagi sesiapa yang meninggalkan surah berkenaan, kata Da’i Fuad, mereka pasti akan merasai kekosongan dalam kehidupan dan porak-peranda dalam ‘perjalanan’.

“Masakan tidak, golongan itu tiada pagar dan benteng kerana jiwa mereka kosong.

“Andai ini berlaku, masalah akan mula menginap hingga menyebabkan seseorang berada dalam kesulitan yang dahsyat. Maka sebab itulah kita tidak boleh tinggalkan surah yang begitu signifikan ini,” terangnya.

Surah al-Baqarah pendinding diri

SURAH AL-BAQARAH pendinding diri yang ampuh untuk mendapatkan perlindungan daripada ALLAH SWT. Justeru, jangan tinggalkan surah berkenaan. -Foto: 123rf

Amalkan pendinding diri

Daripada 286 bait-bait dalam Surah al-Baqarah, ayat manakah yang boleh diamalkan sebagai pendinding diri daripada syaitan dan kejahatan sihir?

Baca juga 4 Amalan Pendinding Sihir Yang Ampuh Boleh Kita Lazimkan

Menjawab tanda tanya itu, Da’i Fuad menjelaskan, penggunaannya adalah secara konsensus.

“Andai tujuannya ingin memagar rumah, kita akan membaca surah berkenaan sebanyak tiga kali berturut-turut selama tiga hari. Jika masuk ke rumah baharu pula, maka kita akan baca keseluruhan ayat dalam surah tersebut dengan sempurna.

“Begitupun, sekiranya digunakan secara khusus, maka ada beberapa perbincangan berkaitan hal itu.

“Sebagai contoh, dalam sebuah hadis, ada dinyatakan bahawa sesiapa yang membaca 10 ayat dalam Surah al-Baqarah pada satu malam iaitu empat ayat terawal, ayat Kursi dan dua ayat berikutnya serta tiga ayat terakhir surah berkenaan, syaitan tidak akan masuk ke dalam rumah itu. Ia digunakan sememangnya untuk mencapai hajat tersebut,” terangnya panjang lebar.

Jika matlamatnya untuk membentengi diri, maka Da’i Fuad mengesyorkan saranan daripada Shaikh Wahid Abdul Salam Bali dengan membaca ayat 102 dari Surah al-Baqarah.

“Ayat itu antara lain menceritakan bagaimana Nabi Sulaiman AS berjaya menjatuhkan kelompok yang cuba menjadi penguasa dalam kalangan syaitan untuk menentang serta mengajar orang ke arah kemungkaran.

Surah al-Baqarah pendinding diri

TERLALU banyak keistimewaan yang terdapat dalam Surah al-Baqarah, selain memberi manfaat kepada pembacanya termasuk sebagai pendinding diri. -Foto: 123rf

“Ia khususnya perihal bagaimana Nabi Sulaiman berjaya mengawal dan mentadbir urus alam jin sehingga mereka gerun dengan Baginda,” ungkapnya.

Kepada satu soalan lain, Da’i Fuad menjawab, mereka yang memasang rakaman atau radio yang memainkan Surah al-Baqarah untuk memagar rumah pada hakikatnya tidak memberikan implikasi tersebut.

“Ini kerana ia tidak sesuai dengan niat si pembaca ayat berkenaan. Pembaca itu membuat rakaman bagi tujuan berkenaan, bukan kerana untuk memagar kediaman.

Baca juga Lakukan amalan ini untuk ‘pagar’ rumah daripada gangguan syaitan

“Justeru, jika ingin ‘pagar’ rumah, ia mesti diniatkan secara khusus, barulah akan memberikan kesan. Bagaimanapun, andai setakat ikhtiar, maka tiada masalah,” katanya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

Al-Baqarah
Isu,

Kenali al-Baqarah, surah yang digeruni syaitan

DALAM sebuah hadis masyhur, ada dinyatakan bahawa syaitan dan iblis akan bertempiaran lari dari rumah yang dibacakan Surah al-Baqarah.

Ia sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Jangan jadikan rumah kamu seperti kubur, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya surah al-Baqarah).” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Betapa agungnya surah berkenaan sehinggakan makhluk terkutuk itu ‘gerun’ dengannya. Sudah tentu ia memiliki keistimewaan tersendiri.

Apakah kelebihan yang ada pada surah berkenaan? Mengapa ia sering menjadi surah pilihan sebagai pelindung daripada iblis?

Puncak al-Quran

Menelusuri asbabun nuzul (sebab-sebab turunnya ayat), Penolong Pendaftar Kanan Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara, Cawangan Kelantan, Ustazah Shalwati Ramli menjelaskan, surah terpanjang dalam al-Quran itu diturunkan secara berperingkat dan bertahap selama sembilan tahun lamanya.

USTAZAH SHALWATI

Mengandungi 286 ayat, surah kedua dalam al-Kitab itu sebahagian besarnya diturunkan di Madinah pada permulaan tahun Hijrah.

“Kecuali ayat 281, menurut riwayat masyhur, ia diturunkan di Mina pada Haji Wida’ iaitu haji Nabi Muhammad SAW yang terakhir.

Baca juga Jangan tinggalkan al-Quran, setidaknya bacalah 2 ayat terakhir Surah al-Baqarah setiap malam

“Jadi, keseluruhan ayat dalam surah ini merupakan ayat Madaniyyah. Ia dinamakan al-Baqarah kerana mengandungi kisah berkaitan Bani Israel dengan Nabi Musa AS tentang penyembelihan lembu betina (menerusi ayat 67-74) yang kemudiannya mengelaskan sifat kaum Yahudi yang sangat keras hatinya,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Begitu istimewanya surah itu apabila ia turut terkenal dengan jolokan Fusthaatul-Quran iaitu puncak al-Quran dan yang tertinggi kedudukannya, ungkap beliau.

Masakan tidak, penceramah itu menjelaskan, ini kerana surah tersebut memuatkan beberapa hukum yang tidak disebutkan dalam mana-mana surah yang lain.

“Bahkan, al-Baqarah juga dikenali sebagai surah alif lam mim kerana dimulakan dengan bait-bait huruf hijaa’ berkenaan pada permulaan ayatnya,” terangnya.

Jika mahu disingkap satu persatu, terlalu banyak perkara unggul tentang surah yang mengandungi ayat terpanjang itu.

Salah satunya, jelas Ustazah Shalwati, ia membawa keberkatan dan keharmonian dalam kehidupan umat Islam.

Menambah ketakjuban Sinar Islam Plus apabila pendakwah itu membutirkan bahawa al-Baqarah memberi keamanan kepada setiap rumah daripada gangguan syaitan!

Al-Baqarah

ORANG yang membacakan Surah al-Baqarah di dalam rumahnya akan memberi keamanan kepada setiap kediaman daripada gangguan syaitan. -Foto: Unsplash

Itu pun jika kita melazimkan diri membacanya setiap masa dan ketika.

“Tidak hairanlah jika surah ini dapat menghindarkan diri daripada anasir jahat seperti amalan sihir, khianat dan perbuatan jahat manusia. Bukan sekadar itu, setiap pembacanya akan dinaungi daripada kepanasan dan azab di padang mashyar kelak, sekali gus memberi syafaat kepada pengamalnya,” hurainya panjang lebar.

Fadilat kepada pembaca

Sesungguhnya, Surah al-Baqarah bukan calang-calang. Banyak dalil yang memerihalkan tentang keistimewaannya. Antaranya, ujar Ustazah Shalwati, kediaman yang sentiasa dipenuhi dengan bait-bait kalamullah berkenaan tidak akan dimasuki syaitan. Abdullah bin Mas’ud berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang membaca 10 ayat dari Surah al-Baqarah iaitu ayat satu hingga lima, ayat Kursi dan dua ayat berikutnya serta ayat 284 hingga 286, nescaya syaitan tidak akan memasuki rumahnya pada hari dan malam tersebut.”

Baca juga [VIDEO] Tinggalkan rumah dengan rakaman Surah al-Baqarah yang terpasang. Ini yang wajib kita ambil tahu…

Di samping itu, katanya, begitu beruntungnya orang yang membaca al-Baqarah kerana malaikat akan sentiasa bersama dengan kelompok berkenaan.

Ia sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari daripada al-Laits dan daripada Usaid bin Hudhair yang menceritakan keadaan kudanya berputar-putar ketika beliau membaca surah berkenaan.

Tatkala bacaannya dihentikan, kuda tersebut kembali tenang. Lantaran itu, beliau menceritakan perihal tersebut kepada Rasulullah SAW dan baginda bersabda: “Tahukah engkau apa itu?” “Tidak,” jawabnya. Baginda bersabda: “Itulah malaikat yang mendekati dan mendengar suara bacaanmu. Seandainya kamu terus membacanya (sampai pagi), nescaya pagi ini manusia akan dapat melihatnya tanpa terhalang.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Bahkan, dalam satu riwayat lain yang masyhur, surah berkenaan begitu ampuh menjadi benteng daripada terkena sihir dan gangguan makhluk halus.

Al-Baqarah

SURAH kedua dalam al-Quran itu menjadi benteng diri daripada terkena sihir dan gangguan makhluk halus. -Foto: 123rf

“Kepada individu yang menghafaz surah berkenaan pula, ketahuilah bahawa mereka akan memperoleh kedudukan yang sangat tinggi,” ungkapnya.

Bilakah waktu terbaik membaca Surah al-Baqarah?

Menjawab persoalan itu, Ustazah Shalwati menjelaskan, seorang Muslim dibolehkan membacanya pada setiap hari, dua hari atau sebulan sekali.

“Pendek kata, tiada hari atau waktu khusus untuk membaca Surah al-Baqarah. Bahkan, kita boleh membacanya pada bila-bila masa.

“Cuma, suka saya kongsikan, terdapat beberapa pendapat mengenai waktu terbaik melazimkannya iaitu pada malam hari dan malam Jumaat serta mengamalkan ayat Kursi usai setiap solat fardu akan diberikan imbalan yang bukan calang-calang,” ungkapnya.

Baca juga Ayat Kursi Paling Agung Dalam Al-Quran, Rugi Jika Kita Tidak Amalkannya

ANEKDOT

Ekstra tentang Surah al-Baqarah

– Nama al-Baqarah (sapi/ lembu betina) diambil dari kisah dalam ayat 61-71 tentang penyembelihan seekor sapi.

– Ayat-ayat berkenaan memerihalkan kecerewetan kaum Yahudi yang diperintahkan Tuhan menyembeli lembu, tetapi begitu banyak pertanyaan tentang ciri-ciri sapi yang perlu dikorbankan diajukan sehingga akhirnya menyulitkan mereka.

– Surah itu dimulai dengan huruf muqatha-ah (dibaca secara terputus-putus) iaitu alim lam mim yang bertujuan menarik perhatian pembacanya pada pesanan dan suruhan ALLAH SWT.

– Dalam surah berkenaan, turut dinyatakan tentang hukum-hakam syariat seperti perintah mengerjakan solat, menunaikan zakat, berpuasa, haji dan umrah, hukum qisas, berkaitan halal dan haram dalam Islam, cara menyantuni anak-anak yatim, larangan riba, hukum berkaitan fiqh serta tegahan mengahwini wanita musyrik dan berkaitan peperangan.

– Selain itu, turut diceritakan tentang kisah Nabi Adam, Musa dan Ibrahim AS, di samping ceritera larangan dalam bulan-bulan haram.

– Istimewanya Surah al-Baqarah apabila ia mengandungi ayat teragung iaitu ayatul Kursi yang sering dihafaz dan diamalkan sebagai bacaan untuk mendapatkan perlindungan serta keredaan ALLAH SWT.

Al-Baqarah

TERLALU banyak keistimewaan yang terdapat dalam Surah al-Baqarah, selain memberi manfaat kepada pembacanya. -Foto: 123rf

Inti pati terpenting Surah al-Baqarah

– Kisah perbalahan kaum Bani Israel dengan Nabi Musa AS tentang penyembelihan lembu betina akhirnya menjelaskan sifat kaum Yahudi yang keras hati.

–  Surah itu juga menyentuh tentang sifat-sifat orang beriman, kafir dan munafik yang mana menjelaskan tentang hakikat keimanan, kekufuran dan kemunafikan, selain membandingkan di antara orang yang bahagia dan sengsara.

– Sesungguhnya, kekuasaan ALLAH SWT mengatasi segalanya dan ALLAH MAHA AGUNG dan MAHA BERKUASA.

– Tersingkapnya kisah penciptaan Nabi Adam AS dan peristiwa-peristiwa sewaktu proses berkenaan dalam surah itu menunjukkan penghormatan yang diberikan ALLAH SWT kepada manusia.

– Sama seperti surah Madaniyyah yang lain yang banyak memfokuskan aspek syariat, Surah al-Baqarah turut merangkumi persoalan undang-undang dan hukum-hakam yang diperlukan oleh umat Islam dalam menjalani kehidupan bermasyarakat.

– Terdapat juga beberapa pensyariatan hukum seperti ibadah puasa, tatacara memberikan hutang kepada seseorang dan lain-lain.

– Ia antara lain turut mengandungi seruan kepada orang beriman supaya sentiasa bertaubat dan kembali kepada ALLAH SWT, di samping mengajak umat memohon bantuan serta berdoa untuk beroleh kebaikan di dunia dan akhirat.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.