Browsing Tag

Surah al-Baqarah pendinding diri

Surah al-Baqarah pendinding diri
Isu,

Surah al-Baqarah, pendinding diri daripada gangguan makhluk halus

Surah al-Baqarah, pendinding diri daripada gangguan makhluk halus

BUKAN hanya ‘orang biasa’, Surah al-Baqarah turut menjadi pilihan para perawat Islam (mu’alij) dalam proses rawatan terutama bagi memulihkan mangsa gangguan makhluk halus.

Menurut pendakwah Ustaz Ahmad Fuad Mohamad Mokhtar atau lebih dikenali sebagai Da’i Fuad, surah tersebut diaplikasikan dalam mengendalikan kes seperti ‘gangguan’ dalam rumah tangga, premis kediaman, insiden kerasukan dan sebagainya.

“Tidak sekadar itu, surah kedua dalam al-Quran ini juga begitu popular di rantau nusantara khususnya ketika ingin memagar rumah daripada gangguan makhluk halus,” katanya kepada Sinar Islam Plus.

Semua itu begitu tsabit dengan sebuah hadis. Sabda Rasulullah SAW: “Jangan jadikan rumah kamu seperti kubur, sesungguhnya syaitan akan lari dari rumah yang dibaca di dalamnya Surah al-Baqarah).” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Baca juga Kenali al-Baqarah, surah yang digeruni syaitan

Menyambung hujah, Da’i Fuad yang turut memiliki kepakaran dalam rawatan Islam menjelaskan, betapa pentingnya Surah al-Baqarah kepada umat Islam apabila banyak dalil yang memerihalkan ia cukup efektif mendapatkan perlindungan ALLAH SWT dengan memuji-NYA berdasarkan bait-bait kalam suci berkenaan.

DA’I FUAD

Antara dalilnya termasuklah hadis Rasulullah SAW: “Barang siapa yang membaca dua ayat terakhir dari Surah al-Baqarah pada waktu malam, telah cukup baginya dengan keduanya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Dalam satu riwayat lain, ujar pendakwah itu, syaitan yang menyerupai manusia pernah meminta harta zakat daripada Abu Hurairah RA yang ketika itu diamanahkan menjaganya.

Kata Abu Hurairah: “Rasulullah SAW mewakilkanku untuk menjaga zakat Ramadan, lalu datang kepadaku seseorang dan mengaut makanan. Aku memegangnya dan berkata: “Sesungguhnya aku akan melaporkanmu kepada Rasulullah SAW.” Orang itu pun menceritakan apa yang berlaku, lalu berkata: “Apabila kamu ke tempat tidurmu, bacalah ayat Kursi, maka pemelihara daripada ALLAH akan sentiasa bersamamu, dan syaitan tidak akan mendekatimu sehingga Subuh.” Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dia telah berkata benar kepadamu sementara dia adalah pendusta, dia itu ialah syaitan.”

Bagi sesiapa yang meninggalkan surah berkenaan, kata Da’i Fuad, mereka pasti akan merasai kekosongan dalam kehidupan dan porak-peranda dalam ‘perjalanan’.

“Masakan tidak, golongan itu tiada pagar dan benteng kerana jiwa mereka kosong.

“Andai ini berlaku, masalah akan mula menginap hingga menyebabkan seseorang berada dalam kesulitan yang dahsyat. Maka sebab itulah kita tidak boleh tinggalkan surah yang begitu signifikan ini,” terangnya.

Surah al-Baqarah pendinding diri

SURAH AL-BAQARAH pendinding diri yang ampuh untuk mendapatkan perlindungan daripada ALLAH SWT. Justeru, jangan tinggalkan surah berkenaan. -Foto: 123rf

Amalkan pendinding diri

Daripada 286 bait-bait dalam Surah al-Baqarah, ayat manakah yang boleh diamalkan sebagai pendinding diri daripada syaitan dan kejahatan sihir?

Baca juga 4 Amalan Pendinding Sihir Yang Ampuh Boleh Kita Lazimkan

Menjawab tanda tanya itu, Da’i Fuad menjelaskan, penggunaannya adalah secara konsensus.

“Andai tujuannya ingin memagar rumah, kita akan membaca surah berkenaan sebanyak tiga kali berturut-turut selama tiga hari. Jika masuk ke rumah baharu pula, maka kita akan baca keseluruhan ayat dalam surah tersebut dengan sempurna.

“Begitupun, sekiranya digunakan secara khusus, maka ada beberapa perbincangan berkaitan hal itu.

“Sebagai contoh, dalam sebuah hadis, ada dinyatakan bahawa sesiapa yang membaca 10 ayat dalam Surah al-Baqarah pada satu malam iaitu empat ayat terawal, ayat Kursi dan dua ayat berikutnya serta tiga ayat terakhir surah berkenaan, syaitan tidak akan masuk ke dalam rumah itu. Ia digunakan sememangnya untuk mencapai hajat tersebut,” terangnya panjang lebar.

Jika matlamatnya untuk membentengi diri, maka Da’i Fuad mengesyorkan saranan daripada Shaikh Wahid Abdul Salam Bali dengan membaca ayat 102 dari Surah al-Baqarah.

“Ayat itu antara lain menceritakan bagaimana Nabi Sulaiman AS berjaya menjatuhkan kelompok yang cuba menjadi penguasa dalam kalangan syaitan untuk menentang serta mengajar orang ke arah kemungkaran.

Surah al-Baqarah pendinding diri

TERLALU banyak keistimewaan yang terdapat dalam Surah al-Baqarah, selain memberi manfaat kepada pembacanya termasuk sebagai pendinding diri. -Foto: 123rf

“Ia khususnya perihal bagaimana Nabi Sulaiman berjaya mengawal dan mentadbir urus alam jin sehingga mereka gerun dengan Baginda,” ungkapnya.

Kepada satu soalan lain, Da’i Fuad menjawab, mereka yang memasang rakaman atau radio yang memainkan Surah al-Baqarah untuk memagar rumah pada hakikatnya tidak memberikan implikasi tersebut.

“Ini kerana ia tidak sesuai dengan niat si pembaca ayat berkenaan. Pembaca itu membuat rakaman bagi tujuan berkenaan, bukan kerana untuk memagar kediaman.

Baca juga Lakukan amalan ini untuk ‘pagar’ rumah daripada gangguan syaitan

“Justeru, jika ingin ‘pagar’ rumah, ia mesti diniatkan secara khusus, barulah akan memberikan kesan. Bagaimanapun, andai setakat ikhtiar, maka tiada masalah,” katanya.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.