Browsing Tag

sunat berbelanja besar untuk keluarga pada hari Asyura

Asyura
Ibadah,

Sunat berbelanja besar untuk keluarga pada hari Asyura

ESOK merupakan hari Asyura yang jatuh pada 10 Muharam. Selain galakan berpuasa, ada lagi satu perkara yang boleh dilakukan pada hari berkenaan.

Ketahuilah bahawa umat Islam disunatkan berbelanja besar untuk keluarga pada hari Asyura.

Ia dinyatakan dengan jelas dalam sebuah hadis yang mana Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang meluaskan berbelanja pada anak isterinya pada hari Asyura, ALLAH meluaskan rezekinya sepanjang tahun.” (Hadis Riwayat al-Baihaqi dan at-Tabarani)

Demikian yang ditulis pendakwah Ustaz Salman Maskuri atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Salman menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

PU SALMAN

Meskipun hadis itu daif dan ulama berselisih pandangan tentang sanadnya, jelas beliau, ulama empat mazhab utama utama dalam Islam sepakat mengatakan, sunat melakukan demikian.

Baca juga Begitu istimewa Hari Asyura, Rasulullah SAW pun turut mengejar kebaikannya

“Sekalipun ada sanad yang daif, tetapi jika dihimpunkan, ia menjadi kuat.

“Bahkan, salafus soleh telah mengujinya dan ternyata hasilnya rezeki luas sepanjang tahun,” ungkapnya.

Bukan setakat membelanja keluarga, tetapi juga penceramah itu menjelaskan, ia termasuklah membuat bubur Asyura untuk diagihkan kepada rakan mahupun handai taulan.

Menguatkan lagi hujahnya, PU Salman turut menghimpunkan pandangan empat mazhab yang menyatakan sunat berbelanja besar untuk ahli keluarga dan kaum kerabat seperti berikut:

1. Imam Sowi (Mazhab Maliki).

– Sunat berbelanja besar pada hari 10 Muharam untuk keluarga dan kaum kerabat.

Baca juga Puasa sunat hari Asyura hari ini. Boleh ke hanya puasa 10 Muharram saja. Ini penjelasannya… 

2. Syeikh al-Jamal (Mazhab Syafie).

Asyura

JANGAN lepaskan peluang belanja keluarga pada hari 10 Muharam kerana ia merupakan antara perkara yang disunatkan. -Foto: 123rf

– Dalam Hasyiah alal Fathil Wahhab, Syeikh al-Jamal mengatakan: “Sunat berbelanja besar pada hari Asyura untuk keluarga dan kaum kerabat, sedekah pada fakir miskin tanpa memaksa-maksa. Jika tiada wang, maka elokkanlah akhlak dan jauhi daripada kezaliman.”

3. Imam Buhuti (Mazhab Hanbali).

– Sunat berbelanja besar pada hari Asyura untuk keluarga.

4. Ibnu Abidin (Mazhab Hanafi).

– Beliau berkata dan Hasyiahnya: “Ya, hadis meluaskan belanja diterima dan sahih menurut Imam Suyuti dalam kitab Durur. Oleh itu, harus meluaskan belanja hari Asyura seperti yang disebut dalam hadis.”

Justeru, marilah kita sama-sama melakukan sunnah berkenaan jika mempunyai wang lebih. Alangkah bahagianya hati apabila melihat insan kesayangan kita mengukir senyuman indah.