Browsing Tag

Suami isteri tinggal sebumbung

Suami isteri tinggal sebumbung
Hukum,

Bolehkah suami isteri tinggal sebumbung dalam tempoh idah?

Bolehkah suami isteri tinggal sebumbung dalam tempoh idah?

MESKIPUN sudah bercerai, tetapi ada pasangan suami isteri tetap tinggal sebumbung. Situasi itu membangkitkan tanda tanya ramai sama ada ia dibolehkan atau tidak dalam agama Islam.

Persoalan tersebut hangat diperkatakan akhir-akhir ini. Semuanya kerana penangan drama Perempuan Itu.

Biarpun sudah tiga hari berlalu selepas episod terakhir ditayangkan, ternyata nashkah berkenaan masih menjadi bualan. Ia terutamanya membabitkan insiden suami dan isteri tinggal serumah ketika masih dalam tempoh idah.

Memandangkan ramai masih keliru tentang isu itu, Sinar Islam Plus memetik pandangan yang dilontarkan peguam syarie, Ustazah Maryam Shakirah Zulfakar yang dipetik daripada laman web Majlis Ulama ISMA (Muafakat Ilmuan Islam Malaysia).

Baca juga Natijah Duduk Serumah Walaupun Sudah Bercerai, Peguam Syarie Kongsi Nasihat Berguna

Jelas Ustazah Maryam Shakirah, mengikut Mazhab Syafie, pasangan suami isteri yang sudah bercerai tidak boleh tinggal bersama, malah boleh dihukum berkhalwat jika berbuat demikian.

“Bahkan, aurat antara mereka mesti dijaga sebagaimana dengan bukan mahram.

Suami isteri tinggal sebumbung

AURAT suami isteri selepas bercerai adalah sebagaimana dengan bukan mahram yang lain. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

“Adapun, Mazhab Hanafi membenarkan pasangan suami isteri tersebut tinggal sekali untuk menimbulkan kasih sayang dan menggalakkan berlakunya rujuk semula. Namun, ia hanya terpakai bagi talak raji iaitu talak yang boleh dirujuk,” terangnya sambil menjelaskan, Malaysia berpegang kepada Mazhab Syafie dan menasihatkan semua berbuat demikian.

Andai lafaz cerai dilakukan di luar mahkamah, pengamal undang-undang syarie itu menasihatkan agar pasangan (sebaiknya suami) perlu segera membuat pengesahan lafaz talak tersebut di mahkamah syariah.

Baca juga Jangan ikutkan hati dan amarah. Ingat, penceraian bukan satu permainan

“Kadangkala kita rasa tidak jatuh lafaz berkenaan, tetapi sebenarnya jatuh talak.

“Adakalanya kita rasa bahawa kita lafazkan talak yang boleh dirujuk, rupanya sudah tiga kali kita mengungkapkannya, tetapi kita yang tidak ingat. Begitulah,” terangnya panjang lebar dalam laman web muis.org.my.

Menurut perspektifnya, Ustazah Maryam Shakirah berpendapat, pasangan suami isteri yang sudah berpisah tidak boleh sama sekali tinggal bersama.

“Siapa yang perlu keluar rumah? Jawapannya menurut Surah at-Talaq dan peruntukan undang-undang, suami perlu keluar dari rumah kelamin tersebut selagi mana dalam tempoh idah.

“Selepas habis waktu berkenaan, suami boleh ambil semula kediaman berkenaan.

“Hikmah ALLAH suruh isteri tinggal di rumah kelamin sebab tidak mahu menyusahkan wanita kerana suami masih perlu bayar nafkah kepada isteri dalam tempoh idah,” jelasnya.

Baca juga Jangan terus kahwin, lelaki juga ada tempoh iddah

Sekiranya talak itu termasuk sebagai talak raji (boleh dirujuk) dan masih dalam tempoh idah, peguam syarie itu menjelaskan, pasangan berkenaan boleh dirujuk semula jika timbul semula perasaan kasih sayang, di samping rujuk itu baik untuk kedua-dua belah pihak.

Suami isteri tinggal sebumbung

SELEPAS lafaz cerai, pasangan perlu mendapatkan pengesahan talak daripada mahkamah syariah. -Foto: 123rf

“Selepas lafaz rujuk dibuat oleh suami, maka suami dan isteri secepatnya hendaklah ke pejabat agama bagi pengesahan dan mendaftarkan rujuk mereka.

“Kemudian, barulah suami tadi boleh kembali ke rumah dan hidup semula sebagai suami isteri,” hurainya panjang lebar.

Seperkara lagi, Ustazah Maryam Shakirah mengingatkan, rujuk memang menjadi kuasa suami dan sah walaupun tanpa izin isteri, menurut Mazhab Syafie.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan supaya para suami hendaklah merujuk dengan niat yang baik, mengambil kira kemaslahatan isteri dan lakukanlah secara ihsan.

Baca juga Minta cerai atas sebab ‘shiqaq’, apa maksudnya?

“Andai suami tahu sememangnya isteri tidak boleh hidup bersama dengan suami lagi, maka berilah isteri menghabiskan idahnya dengan sempurna.

“Perihal hubungan suami isteri, hati dan perasaan ini hanya mereka dan ALLAH SWT sahajalah yang tahu. Kahwin ini, ALLAH SWT jualah saksinya. Begitu juga halnya dengan perceraian dan rujuk.

“Maka bertakwalah kepada ALLAH dalam urusan rumah tangga. Semoga DIA akan memudahkan dan memberi jalan keluar yang tidak disangka-sangka di dunia ini,” ungkapnya.

***Foto: Freepik

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.