Browsing Tag

solat tiang agama

Solat tanpa berpakaian dalam
Ibadah,

‘Solat tidak boleh dikompromi dengan sebarang urusan lain’ – Mufti Wilayah Persekutuan

SOLAT merupakan tiang agama yang menjadi teras utama dalam Islam. Sebagaimana bangunan yang tidak kukuh tanpa tiangnya, begitu jugalah dengan ibadah berkenaan.

Begitulah analogi mudah bagi memberikan kefahaman orang ramai tentang kefarduan tersebut.

Kepada Sinar Islam Plus, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Luqman Abdullah menegaskan, sesibuk mana pun, sebagai umat Islam, kita tidak boleh mempermain-mainkan kewajiban berkenaan dengan alasan tersebut.

“Kita perlu fahamkan pihak berkaitan bahawa solat merupakan satu perkara teras atau tiang agama yang tidak boleh dikompromi dengan sebarang urusan lain.

DR LUQMAN

“Ketahuilah, apabila solat, ertinya kita tunduk kepada satu teras dalam agama ini. Apa-apa sahaja urusan lain daripada perlu perlu dihentikan apabila tiba waktu untuk sembahyang,” katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Baca juga Solat tidak jejaskan urusan, prestasi seseorang – Mufti Pulau Pinang

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkaitan isu solat yang diperkatakan susulan kenyataan berbaur perkauman dan menyentuh perihal kewajipan umat Islam itu sehingga menjejaskan urusan kerja oleh bekas pemain pelapis percubaan badminton kebangsaan, Bong Guang Yik menerusi akaun TikTok miliknya baru-baru ini.

Bagaimanapun, bekas pemain tersebut sudah membuat permohonan maaf melalui akaun media sosial miliknya.

Menyambung perkongsian ilmunya, Dr Luqman menjelaskan betapa pentingnya hubungan kita dengan ALLAH SWT dan sesama manusia.

Bahkan, katanya, sembahyang merupakan hubungan manusia dengan ALLAH SWT dan pada masa sama, kita turut melaksanakan tugasan harian dan sebagainya. Ia sama sekali tidak pernah menjejaskan urusan harian.

“Apa pun, keutamaan mesti diberikan kepada solat. Kelompok yang mempertikaikan perihal (ibadah) itu barangkali terhasil daripada kesilapan mereka terhadap teras kepada agama suci ini.

Solat

TUNAIKANLAH sembahyang mengikut waktunya dan usah melengah-lengahkannya. -Foto: Bernama

“Tambahan pula, solat fardu tersebut tidak mengambil masa hingga berjam-jam lamanya. Hanya beberapa minit sahaja kita tunaikannya. Ia adalah perkara ubudiyah kepada ALLAH SWT,” ungkapnya.

Baca juga Wajib qada solat walaupun sudah puluhan tahun tinggalkan

Kepada satu soalan, agamawan itu menjawab: “Apabila bercakap tentang kefarduan solat, kita perlu meletakkan manfaat (sembahyang) itu nombor dua. Pertama sekali (yang diutamakan adalah) ketundukan kita kepada perintah ALLAH SWT.

“Soal bermanfaat atau tidak, kita serahkan kepada ALLAH. Sebagai hamba-NYA dan umat Islam, sewajarnya kita patuh dengan semua arahan-NYA dan beramal dengannya tanpa bertanyakan tentang manfaat dan sebagainya.

“Itu yang perlu ditekankan, bukannya soal manfaat (sembahyang). Sekalipun tiada manfaat, kita tetap kena laksanakan sebab ia merupakan perintah ALLAH SWT.”

Suatu perkara menarik tentang Rukun Islam kedua itu, jelas Dr Luqman, ia berbeza dengan kefarduan ibadah-ibadah lain dalam Islam.

Bayangkan kewajipan solat itu difardukan semasa peristiwa Israk dan Mikraj yang mana ia diterima secara langsung daripada ALLAH SWT tanpa melalui perantaraan Malaikat Jibril AS sepertimana kebiasaan penerimaan wahyu.

Baca juga Selain kefarduan solat, berikut perkara lain semasa peristiwa Israk dan Mikraj

“Bahkan, penerimaan solat itu (berlaku) di langit, bukan di bumi. Sebab itulah ia menjadi tiang agama. Maknanya ia suatu perkara khas yang istimewa. Demikianlah kedudukan solat dalam Islam,” katanya.

Solat

KEFARDUAN sembahyang lima waktu disyariatkan ketika peristiwa Israk dan Mikraj. -Foto: 123rf

Sebelum peristiwa perjalanan agung itu, beliau menjelaskan, solat sudah sedia ada, tetapi asasnya adalah mengikut syariat Nabi Ibrahim AS yang berbeza dari segi jumlah rakaat dan waktu.

“Disebabkan itulah, ada diriwayatkan sebelum peristiwa Israk dan Mikraj berlaku, Nabi Muhammad SAW menunaikan solat bersama para anbia yang lain atas syariat Nabi Ibrahim.

“Selepas syariat diterima pada peristiwa Mikraj itu, maka bermulanya solat dengan syariat Nabi Muhammad SAW yang kita amalkan sampai sekarang,” ujar beliau.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.