Browsing Tag

solat jamak

Jamak solat
Ibadah,

Bolehkah jamak solat disebabkan sakit?

SOLAT jamak sering dikaitkan dengan individu yang bermusafir atau melakukan perjalanan jarak jauh. Itu antara rukhsah yang diberikan kepada golongan berkenaan.

Masakan tidak, solat merupakan tiang agama dan menjadi perkara pertama yang bakal ditanya di akhirat kelak. Keringanan diberikan itu menunjukkan betapa indahnya Islam dalam memberikan kemudahan kepada hamba-NYA untuk menunaikan kewajipan sebagai Muslim dalam apa jua keadaan.

Baca juga Rahsia kehebatan pergerakan solat di sebalik sains

Lantaran itu, terdapat segelintir orang yang bertanyakan rukhsah berkenaan sama ada terpakai untuk orang sakit atau tidak. Jika kelompok tersebut dibolehkan untuk jamak solat, sakit bagaimana yang dimaksudkan dan apakah indikatornya?

Menjawab pertanyaan warganet, Ketua Penolong Mufti (Bahagian Penyelidikan), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Syed Shahridzan Syed Mohamed menjelaskan, sakit bukan keuzuran yang membenarkan seseorang untuk menjamakkan dua solat. Demikian pandangan Mazhab Syafie.

DR SYED SHAHRIDZAN

Sekalipun dalam keadaan tenat, jelas beliau, mereka tidak boleh menjamakkan dua solat menurut pendapat yang muktamad.

“Akan tetapi, berdasarkan pendapat kedua Imam Syafie iaitu menurut kenyataan al-Azra’i dan al-Isnawi serta pandangan peribadi Imam al-Nawawi, orang sakit diharuskan menjamakkan dua solat sama ada takdim atau takhir,” katanya sebagaimana dipetik menerusi hantaran di laman sosial Facebook miliknya.

Hal itu disebutkan dengan jelas oleh Sheikh Shato al-Bakri menerusi karyanya, I’anat al-Talibin: “Tidak boleh (haram) menjamakkan solat disebabkan lumpur (di jalanan disebabkan hujan) dan sakit menurut pendapat yang masyhur (rajih) menurut Mazhab Syafie. Tetapi pendapat yang terpilih (di sisi al-Nawawi) sepertimana seseorang yang demam panas (kuat) misalnya (dijangka berlarutan dan bertambah) pada waktu yang kedua, lalu melakukan jamak takdim dengan syarat-syarat jamak takdim, atau sakit itu bermula pada waktu solat yang pertama lalu ditakhirkan dengan niat jamak pada waktu solat yang pertama.”

Baca juga Redah lebih 100km dari rumah ke tempat kerja, bolehkah solat jamak dan qasar?

Mengulas lanjut, Dr Syed Shahridzan berkata, majoriti ulama mutakhir Syafi’iyyah menyokong pandangan Imam al-Nawawi dan qaul kedua Imam Syafie yang mengharuskan jamak solat bagi orang sakit kerana kekuatan dalilnya.

Jamak solat

MAJORITI ulama mutakhir Syafi’iyyah menyokong pandangan Imam al-Nawawi dan qaul kedua Imam Syafie yang mengharuskan untuk menjamakkan solat bagi orang sakit dengan syarat tertentu. -FOTO: CANVA

Ia dinyatakan sendiri oleh Sheikh Zainuddin al-Malibari dalam kitab Fath al-Mu’in: “Harus menjamakkan solat secara takdim dan takhir disebabkan sakit menurut pandangan yang dipilih (oleh Imam al-Nawawi).”

Piawaian sakit yang dibenarkan jamak

Sebagaimana rukhsah yang lain, sudah tentu ada syarat-syarat tertentu untuk solat berkenaan ditunaikan oleh orang sakit.

Jelas Dr Syed Shahridzan, ulama mutakhir Mazhab Syafie menetapkan piawaian sakit yang membenarkan kelompok berkenaan untuk menjamakkan dua solat sebagaimana dijelaskan dalam kitab I’anat al-Talibin.

Berikut perinciannya:

i. Imam al-Nawawi dan ulama mutakhir Mazhab Syafie berpandangan, orang yang ditimpa sakit harus menjamakkan antara dua solat sama ada jamak takdim atau takhir. Oleh yang demikian, masyarakat boleh beramal dengan pandangan tersebut.

ii. Sakit yang mengharuskan dua solat dihimpunkan dalam satu waktu itu mestilah sakit yang kuat atau teruk sehingga pesakit itu sukar untuk mendirikan sembahyang pada setiap waktu akibat sakit tenat yang dialaminya. Contohnya seperti sakit yang susah untuk berwuduk dengan sendiri, sakit yang tidak boleh bangun dan sakit ketika hendak bersalin.

Baca juga Solat jamak ketika banjir, adakah dibolehkan? Berikut perinciannya.

iii. Bagi mereka yang sakit ringan seperti pening kepala dan demam ringan, tidak dibenarkan solat jamak sepertimana yang dinyatakan oleh Sheikh Shato al-Bakri dalam I’anat al-Talibin.

Jamak solat

SAKIT ringan seperti pening kepala dan demam ringan, tidak dibenarkan solat jamak. -FOTO: CANVA

iv. Solat jamak dalam perbahasan itu hanya melibatkan jamak sahaja, iaitu tidak diharuskan mengqasarkan solat dalam keadaan sakit, melainkan si pesakit berada dalam keadaan musafir.

Kepada mereka yang sakit kuat, gunakanlah kemudahan yang diberikan ini dengan sebaiknya jika memenuhi piawaian ditetapkan.

Ingatlah, hanya solat jamak sahaja yang boleh ditunaikan iaitu menghimpunkan doa sembayang dalam satu waktu. Tidak boleh melakukan solat qasar iaitu memendekkan atau meringkaskan solat fardu menjadi dua rakaat.

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.

***Foto: Canva