Browsing Tag

solat Isyak pukul 5 pagi

Solat tarawih
Ibadah,

Sahkah solat Isyak pukul 5 pagi?

JAM menunjukkan pukul 5 pagi. Diri termangu-mangu seketika melihat jarum jam berpusing mengikut arahnya.

Apabila sudah sedar sepenuhnya, mata terbuntang melihat alat mengukur waktu itu. Masakan tidak, baru tersedar rupanya diri sendiri masih belum menunaikan solat Isyak lagi!

Satu persatu ingatan semalam menerpa dalam ruang fikiran. Pulang ke rumah malam tadi, badan terlalu letih dan fikiran pula seakan terbejat kerana kepenatan bekerja dan menguruskan rutin kehidupan.

Bolehkah solat Isyak tersebut ditunaikan pada jam 5 pagi? Apakah status solat berkenaan?

Sebelum menjawab tanda tanya itu, lebih elok seandainya kita fahami terlebih dahulu waktu bermulanya solat Isyak.

Baca juga Selalu tertinggal solat Subuh dan Isyak termasuk ciri-ciri orang munafik?

Memetik artikel bertajuk Solat Isyak di Penghujung Malam Sebelum Subuh yang disiarkan dalam laman web Maktabah al Bakri, waktu solat Isyak bermula apabila mega merah telah hilang di atas langit.

“Adapun, para ulama berselisih pendapat dalam perihal tempoh berakhirnya waktu solat berkenaan. Terdapat tiga pandangan dalam hal itu.

5 pagi

PARA ulama berbeza pandangan dalam tempoh berakhirnya waktu solat Isyak, tetapi pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie menyatakan, ia tamat apabila terbitnya fajar sadiq. -FOTO: 123RF

“Pendapat pertama menyatakan, solat Isyak tamat pada hujung satu pertiga malam pertama, manakala pendapat kedua pula mengatakan, ia berlaku pada separuh malam. Sementara itu, satu lagi pendapat menyatakan, waktu Isyak tamat sehingga terbit fajar sadiq,” katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web maktabahalbakri.com.

Bagaimanapun, pendapat muktamad dalam Mazhab Syafie menyatakan, waktu Isyak tamat apabila terbitnya fajar sadiq.

“Waktu ikhtiyar (terbaik dan terpilih) untuk menunaikan solat Isyak adalah pada sehingga satu pertiga malam dan terdapat pendapat lain mengatakan, sehingga pertengahan malam.

Baca juga Mahu Berjaya Dalam Hidup, Bersolatlah Di Awal Waktu

“Selain itu, waktu diharuskan adalah sehingga sebelum waktu Subuh.

“Terdapat sebahagian ulama berpandangan, makruh melewatkan solat Isyak melepasi separuh malam kerana keluar daripada khilaf. Kenyataan itu dikuatkan lagi dengan pandangan al-Syeikh Abu Hamid dalam Fath al-Qarib al-Mujib bahawa waktu makruh bagi solat Isyak adalah di antara dua fajar iaitu fajar sadiq dan kazib,” katanya.

Berdasarkan hujah tadi, Maktabah al Bakri menyimpulkan, solat Isyak yang ditunaikan sebelum terbit fajar sadiq iaitu sebelum masuknya Subuh tidak kiralah pada jam 5 pagi atau selainnya adalah sah.

“Ia selagi mana masih belum masuknya waktu Subuh kerana masa berkenaan masih lagi berada dalam waktu yang diharuskan untuk solat Isyak sebagaimana pendapat dalam Mazhab Syafie.

J5 pagiam 5

SOLAT Isyak jam 5 pagi dikira sah jika ditunaikan sebelum terbit fajar sadiq iaitu sebelum masuknya waktu Subuh. -FOTO: PEXELS

“Bagaimanapun, terdapat sebahagian ulama yang berpandangan makruh melewatkan solat Isyak melepasi separuh malam kerana keluar daripada khilaf,” katanya.

Seperkara lagi, lebih baik andai solat didirikan pada awal waktu secara berjemaah kerana banyak nas yang menyebutnya.

Baca juga Berdosakah melewat-lewatkan solat fardu? Ini penjelasannya

Antaranya, dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah, beliau berkata: “Aku bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: “Apakah amalan yang paling disukai oleh ALLAH SWT?” Baginda menjawab: “Menunaikan solat pada waktunya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Justeru, peliharalah solat kita dan tunaikannya sebaik sahaja masuk waktu.

***Foto: Pexels