Browsing Tag

Solat apabila azan masih berkumandang

Solat apabila azan masih berkumandang
Ibadah,

Tak sah solat apabila azan masih berkumandang? Hadam dulu penjelasan ini

Tak sah solat apabila azan masih berkumandang? Hadam dulu penjelasan ini

MENDENGAR sahaja azan berkumandang, ada orang bingkas bangun untuk mendirikan solat. Walhal, seruan masuknya waktu untuk umat Islam mendirikan sembahyang itu belum habis lagi dilafazkan.

Ya, memang terdapat segelintir individu yang bersikap sedemikian. Perbuatan itu kelihatan seolah-olah tidak ‘menyempat-nyempat’ pula hendak sembahyang.

Dari satu segi, nampak seperti kurang sopan pula apabila berbuat begitu. Apakah pandangan Islam mengenainya?

Menjawab persoalan itu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Universiti Sains Islam Malaysia, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Albakri menjelaskan, solat seseorang yang didirikan ketika azan masih lagi dikumandangkan adalah sah.

DR ZULKIFLI

Ini kerana katanya, dengan bermulanya azan tadi, ia menunjukkan bahawa telah masuknya waktu solat fardu.

Baca juga Makruh tak jawab azan lebih-lebih lagi bila kita dengar dengan jelas

“Tidak disyaratkan seseorang itu untuk menunggu sehingga selesai azan bagi mengerjakan solat.

“Bagaimanapun, disunatkan bahkan lebih baik dan afdal andai seseorang itu mendengar azan yang dilaungkan oleh muazin serta menjawabnya,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Maktabah Albakri.

Saranan itu selari dengan hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Apabila kamu mendengar seruan muazin, maka jawablah sepertimana yang diucapkannya. Kemudian berselawatlah ke atasku kerana sesiapa yang berselawat ke atasku sebanyak sekali, maka ALLAH akan berselawat ke atasnya sebanyak 10 kali. Kemudian mohonlah kepada ALLAH wasilah untukku iaitu satu kedudukan di dalam syurga yang tidak dikurniakan kecuali kepada seorang hamba dalam kalangan hamba-hamba ALLAH, dan aku berharap akulah orang tersebut. Sesiapa yang memohon kepada ALLAH wasilah untukku, pastilah dia mendapat syafaat.” (Hadis Riwayat Muslim)

Baca juga Jika tengah solat pada hujung waktu dan dengar azan, jangan berhenti, teruskan sembahyang

Mantan Mufti Wilayah Persekutuan itu menasihatkan agar kita merebut peluang yang disediakan oleh ALLAH SWT itu dengan melakukan segala perkara sunat semasa azan dilaungkan.

Solat apabila azan masih berkumandang

SOLAT seseorang yang didirikan ketika azan masih lagi dikumandangkan adalah sah. Akan tetapi, disunatkan bahkan lebih baik dan afdal andai seseorang mendengar azan dilaungkan oleh muazin dan menjawabnya sebelum mendirikan solat. -Foto: 123rf

“Ia termasuklah dengan menjawab seruan azan, berselawat dan memohon doa kepada ALLAH SWT.

“Mudah-mudahan kita memperoleh keampunan daripada ALLAH SWT dan meraih ganjaran besar yang dijanjikan oleh Rasulullah SAW,” katanya.

***Foto: Pexels

Ikuti kami di TiktokInstagramFacebookTwitter dan Youtube Sinar Islam Plus.